Jalan di kawasan tumpuan banjir Kelantan diselenggara
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan sedang melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di kawasan berisiko tinggi banjir sebagai langkah awal menghadapi musim tengkujuh.
Pengarahnya, Nik Soh Yaacoub berkata, lima arahan kerja telah dikeluarkan melibatkan laluan utama di beberapa daerah yang dikenal pasti sebagai ‘titik panas’ banjir saban tahun.
Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan yang meliputi laluan Persekutuan dan negeri itu mendapat kerjasama dari dua syarikat konsesi dilantik.
“Langkah ini bagi memastikan rangkaian jalan raya kekal selamat dan boleh digunakan sepanjang musim hujan.
“Persediaan kali ini dilaksanakan lebih teratur dan menyeluruh. Setiap JKR jajahan telah digerakkan untuk memantapkan kekuatan logistik dan keanggotaan, agar bersedia bertindak pantas apabila banjir melanda,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Kembara Merdeka JKR Kelantan 2025 di Ibu Pejabat JKR Kelantan, di sini hari ini. – UTUSAN