Jambatan besi baharu redakan banjir di Bawang Assan
- Admin UKK
- Berita
SIBU, 14 Ogos: Pembinaan jambatan besi baharu di Jalan Kwong Ming Hilir, Sungai Bidut, dilihat sebagai langkah penting bagi meningkatkan keselamatan penduduk dan mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut.
Projek itu hasil kerjasama antara komuniti setempat dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu, susulan aduan yang disalurkan oleh pemimpin tempatan.
Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, jambatan kayu lama bukan sahaja tidak stabil, malah menyebabkan sungai menjadi sempit.
“Dengan pembinaan jambatan besi ini, struktur lebih kukuh manakala aliran air sungai menjadi lebih lancar.
“Kerja pembinaan yang bermula sejak pertengahan Julai lalu dipantau rapi oleh penduduk, pemimpin komuniti dan pegawai JPS bagi memastikan ia siap mengikut jadual,” katanya.
Kevin juga menegaskan selain mengurangkan risiko kemalangan, pelebaran saluran sungai di bawah jambatan juga diyakini dapat mengurangkan risiko banjir sekali gus memperbaiki sistem saliran di kawasan tersebut.- TVS