PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Banjir: KPWKM Hantar Sukarelawan Tambahan Bantu Urus Mangsa Banjir – Noraini

KOTA BHARU, 2 Dis – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menghantar sukarelawan tambahan kepada negeri terjejas banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut bagi membantu pengurusan mangsa terlibat.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, setakat ini terdapat 9,782 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berdaftar di seluruh negara dan 101 sukarelawan tambahan telah dihantar ke negeri ini, Sabtu lepas.

Beliau berkata, usaha itu bagi memenuhi permintaan JKM Kelantan selepas negeri itu mengalami banjir luar jangka hingga lebih 96,000 orang terpaksa berpindah ke 264 PPS.

“Di Kelantan kita (KPWKM) ada kira-kira 697 sukarelawan JKM namun berikutan banyak PPS (pusat pemindahan sementara) dibuka, maka kita hantar sukarelawan (tambahan 101 orang) Sabtu lepas bagi menambah kekuatan yang ada,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 2 di sini pada Isnin yang menempatkan 219 mangsa daripada 57 keluarga.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan menghadapi gelombang banjir seterusnya, Noraini berkata, pada masa ini terdapat 458 pangkalan hadapan di seluruh negara dengan 190 daripadanya di Kelantan, yang mampu menyediakan bekalan makanan mencukupi kepada mangsa banjir.

“Sekiranya mana-mana PPS mengalami masalah bekalan makanan, boleh terus maklumkan kepada JKM dan kami sememangnya sedia untuk membantu.

“Selaku jabatan yang mengambil kira kebajikan mangsa sudah semestinya JKM tidak mahu perkara sebegitu (masalah bekalan makanan) berlaku,” katanya sambil menafikan dakwaan berlaku kejadian bantuan makanan tidak sampai kepada mangsa banjir di beberapa PPS di negeri ini.

Terdahulu, Noraini turut memantau banjir melalui udara dengan helikopter Polis Diraja Malaysia dan menghantar bantuan makanan di Kawasan Rukun Tetangga Lubok Setol, Rantau Panjang serta PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial yang terputus jalan darat. – Bernama

Status air sungai menaik, JPS keluar amaran banjir di Perak

KUALA LUMPUR: Jabatan pengairan dan saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir dijangka berlaku bermula hari ini hingga 6 Disember di Perak susulan status aras air sungai diramalkan menaik dan akan melebihi aras bahaya.
Menerusi kenyataan di portal publicinfobanjir, JPS memaklumkan ramalan banjir di Hilir Perak meliputi kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer (5km) berhampiran Sungai Bidor di Changkat Jong.
 
Kawasan yang dijangka terjejas adalah Kampung Batu 6, 7, 7 ½, 8, 9, Jalan Changkat Jong Batu 7, 71/2, 8, 9, Kampung Limau, Taman Maharani, Kampung Selat Manggis, Kampung Selabak Luar, Kampung Merdeka, Kampung Glouster, Sungai Kerawai, Taliair 1 Parit 3 Sungai Manik.
 
Selain itu, 7-5I & 7-3I di Block 5a Chenderong Balai, Parit Pembuang 7-4 5l Labu Kubong, Kampung Guru Langkap, Jalan Klinik, Kampong Tukang Sidin Dan Chikus.
Kenyataan memaklumkan banjir yang diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan bergantung kepada keadaan hujan yang signifikan berlaku di kawasan terlibat.
 
Orang ramai di minta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana banjir.

Situasi banjir di seluruh negara tunjuk tanda pemulihan - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di seluruh negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan trend penurunan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
 
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata setakat pukul 1 tengah hari tadi, jumlah PPS yang masih beroperasi berkurang sebanyak 13.69 peratus kepada 561 PPS, manakala jumlah keluarga terjejas menurun sebanyak 8.7 peratus kepada 37,759 keluarga.
 
Beliau berkata dua negeri yang paling teruk terjejas iaitu Kelantan dan Terengganu, turut merekodkan trend yang sama, dengan jumlah PPS yang masih beroperasi di Kelantan menurun sebanyak 11.07 peratus kepada 217 PPS, manakala jumlah keluarga yang terjejas juga berkurang sebanyak 9.57 peratus kepada 24,238 keluarga.
 
Situasi di Terengganu juga semakin baik, dengan jumlah PPS menurun sebanyak 16.25 peratus kepada 237 PPS dan jumlah keluarga terjejas berkurang sebanyak 6.14 peratus kepada 9,990 keluarga," katanya dalam hantaran di media sosial.
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa walaupun keadaan ini membawa sedikit kelegaan, namun semua pihak yang terkesan harus terus berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.
"Janganlah bermain atau mendedahkan diri kepada air banjir, walaupun paras air semakin surut. Air banjir sering tercemar dan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan seperti jangkitan kulit, penyakit bawaan air atau gigitan haiwan berbahaya," katanya.
Beliau juga menasihatkan mereka yang terjejas supaya menjaga kebersihan diri dan kawasan tempat tinggal, terutama selepas kembali ke rumah masing-masing daripada PPS, serta terus mematuhi arahan pihak berkuasa.
Bagi yang masih berada di PPS, beliau menasihati mereka agar terus bersabar dan memberikan kerjasama sebaiknya kepada pasukan penyelamat serta petugas yang membantu, sambil turut mendoakan agar keadaan musibah ini akan terus bertambah baik.
-- BERNAMA
 

Pertama kali Arena Kepayang Putra dilanda banjir

IPOH - Hujan lebat berterusan sejak malam Sabtu menyebabkan ratusan rumah penduduk di Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini pada Ahad dinaiki air kira-kira 1.5 meter.

Kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu disifatkan penduduk sebagai luar jangka apabila pertama kali berhadapan banjir dalam tempoh 28 tahun mendiami perumahan terbabit.

Ahli perniagaan, Datuk Amaluddin Mohd Ismail berkata, empat kenderaan mewah miliknya ditenggelami air menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.

"Lapan kenderaan antaranya Porche, Volvo, Toyota Vellfire dan BMW yang parkir di garaj tidak sempat dibawa keluar kerana air naik terlalu cepat.

"Selama 28 tahun tinggal di kawasan ini, kita tidak jangka ia naik setinggi ini. Kebiasaannya banjir hanya setakat jalan dan akan surut tidak lama kemudiannya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Penduduk, Chong Yet Yong, 71, berkata, ketika kejadian dia berada di gereja sejak pagi dan hanya suaminya tinggal sendirian di rumah berkenaan.

"Dalam tengah hari tadi, suami telefon beritahu air mula masuk rumah dengan segala kelengkapan rumah seperti peti ais dan mesin basuh terbalik.

"Setibanya kawasan rumah ini, pihak berkuasa tidak membenarkan masuk kerana air mula naik. Saya minta suami selamatkan ubat-ubatan kerana ada tiroid dan darah tinggi selain sakit tulang.

"Saya hanya tunggu pihak penyelamat dapat bawa keluar suami saya yang masih terperangkap dan kami akan tinggal di saudara sementara tunggu air surut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, kerja-kerja menyelamat dengan membawa keluar mangsa sedang dijalankan.

Menurut beliau, seramai 114 penduduk berjaya dibawa keluar setakat jam 5.30 petang.

"Bagaimanapun, kita menjalankan kerja-kerja 'sweeping' di setiap lorong perumahan memastikan tiada mangsa yang tertinggal," katanya.

Tambah Sayani, penduduk diminta beri kerjasama agar kerja-kerja menyelamat dapat berjalan lancar.

"Hujan berterusan jangka naik di beberapa tempat termasuk di Batu Gajah. Paras air Sungai Kinta juga meningkat.

"Kita lihat trend air mula sedikit turun tetapi memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu kita minta penghuni kawasan perumahan ini kemaskan dokumen penting dan pergi ke tempat selamat," katanya.

Jelasnya, operasi dibantu pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Simpang Pulai, Meru Raya serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru dan Menglembu menggunakan tujuh bot termasuk milik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta jawatankuasa Kampung Datuk Ahmad Said.

 

Penduduk, pasukan penyelamat harungi air banjir berminyak

IPOH - Menjijikkan. Itulah yang boleh digambarkan apabila penduduk dan pasukan penyelamat terpaksa mengharungi air yang dipenuhi sampah dan berminyak dalam kejadian banjir di Arena Kepayang Putra, Fair Park pada Ahad.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Muhammad Hamzah Md Hamdan berkata, keadaan itu berlaku melibatkan sebuah lorong kawasan perumahan berkenaan ketika membantu membawa keluar mangsa yang terkandas banjir.

"Pada awalnya kita tidak pasti punca keadaan itu dan hasil makluman penduduk, sampah banyak timbul apabila syarikat konsesi yang bertanggungjawab menguruskan kutipan sampah tidak dapat berbuat demikian.

"Jadual kutipan sampah adalah waktu tengah hari hari ini (Ahad) tetapi disebabkan kawasan mula dinaiki air, lori tidak dapat masuk menyebabkan sampah-sampah itu mula terapung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Muhammad Hamzah berkata, bagaimanapun beliau tidak dapat mengenal pasti punca sisa minyak terapung di lorong perumahan yang terletak berhampiran Sungai Kinta itu.

"Dakwaan mengatakan kawasan perumahan ini berhampiran tapak pelupusan itu adalah tidak benar berikutan tapak pelupusan kendalian MBI terletak di Lahat.

"Memang tidak dinafikan keadaan itu amat menjijikkan dan saya sendiri mengharungi keadaan itu ketika membantu mangsa banjir," katanya.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video banjir di Fair Park di sini memaparkan keadaan air dipenuhi sisa minyak dan sampah.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search