Sukar tuntut pampasan jika pihak bertanggungjawab belum dikenal pasti
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM - Mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights tidak boleh membuat sebarang tuntutan pampasan selagi belum mengenal pasti pihak bertanggungjawab dalam insiden tersebut.
Peguam, M Hafiz Zainul Abidin berkata, ia kerana siasatan perlu membuktikan pihak yang bersalah dalam insiden tersebut bagi membolehkan mangsa membuat tuntutan ganti rugi kepada mereka.
“Dalam kes ini, walaupun paip gas itu di bawah Petronas, tetapi siapa yang sebenarnya bertanggungjawab dalam kecuaian itu?
“Jadi tuntutan ganti rugi boleh dibuat kepada pihak Petronas atau pemaju yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujar beliau, mangsa perlu menyatakan jumlah kerugian dan butiran yang dikemukakan dalam proses tuntutan tersebut termasuk harta benda, kecederaan fizikal dan mental.
Menurutnya, kerugian dari segi harta benda itu meliputi rumah, kenderaan, barang berharga dan premis yang terjejas akibat kebakaran berkenaan.
“Kecederaan fizikal contohnya jika mangsa sakit sehingga kulit luka, mengalami masalah pernafasan atau sebagainya, kena dapatkan laporan perubatan sebagai bukti.
“Selain itu, mangsa juga boleh berisiko mengalami kesan dari segi mental seperti trauma jangka panjang termasuk Gangguan Tekanan Selepas Trauma (PTSD),” ujarnya.
Kata beliau, meskipun tidak mempunyai insurans, mangsa masih boleh memfailkan tuntutan kerugian kepada pihak bertanggungjawab.
Bagaimanapun tuntutan perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan kesan kecederaan dan trauma mungkin berkurangan dan sukar dibuktikan.
“Lebih baik tuntut awal dari segi kerugian harta benda dan kesan kecederaan yang dialami itu. Jika melalui mahkamah, proses tuntutan itu mungkin mengambil masa,” menurutnya.
Tambah beliau, kerajaan dicadangkan supaya mewujudkan satu badan tribunal khas bagi menguruskan tuntutan kerugian melibatkan kes tersebut.
Jelasnya, langkah itu bertujuan menjadi alternatif kepada proses mahkamah yang melibatkan tempoh masa lama dan kos guaman mahal.
“Cadangan itu dapat mempercepatkan urusan tuntutan pampasan mangsa. Bila ada tribunal ini, mangsa hanya perlu kemukakan dokumen tuntutan sahaja tanpa perlukan peguam.
“Jika di mahkamah, mangsa perlu melantik peguam. Itu semua ada kos dan bukan semua orang mampu,” tambahnya.