SHAH ALAM - Luruan monsun dijangka berlaku bermula Ahad sehingga 14 Disember ini yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan di tujuh negeri.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, luruan monsun berskala lemah hingga sederhana itu dijangka turut melanda Sarawak dan Sabah, termasuk negeri-negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan semakin kuat.
Ujarnya, luruan monsun juga akan menyebabkan angin kencang dan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan.
“MetMalaysia sentiasa pantau luruan monsun yang dijangka berlaku dalam seminggu bermula 8 Disember. Susulan itu, kita telah keluarkan amaran sehingga 11 Disember dan akan dikemas kini berdasarkan maklumat terkini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan tujuh negeri sehingga 11 Disember, yang dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor.
“Bagi Kedah meliputi daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling. Perak di Hulu Perak selain Pahang di kawasan Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Sementara di Johor melibatkan daerah Mersing dan Kota Tinggi bermula 9 Disember,” katanya.
Tambahnya, negara mengguna pakai beberapa model ramalan cuaca sebelum memuktamadkan ramalan untuk hebahan umum.
“Disebabkan itu, orang ramai diminta merujuk kepada maklumat daripada MetMalaysia sama ada di laman web, aplikasi myCuaca atau media sosial rasmi untuk dapatkan maklumat terkini dan sahih,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran di media sosial yang mendakwa akan berlaku hujan lebat sepanjang 10 hari akan datang sekitar Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Anda semua hero mangsa banjir!
- Admin UKK
- Berita
DI SEBALIK tragedi banjir yang berlaku baru-baru ini, dapat dilihat kebangkitan luar biasa rakyat Malaysia pelbagai latar belakang apabila tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.
Pada Rabu, akhbar ini melaporkan, kerajaan menerima sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 syarikat swasta dan badan korporat khusus bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Inisiatif itu selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar syarikat swasta berganding bahu membantu mangsa banjir sama ada dari segi dana atau menghantar jentera bantuan ke kawasan terjejas.
Kata Perdana Menteri, sumbangan itu akan digunakan untuk membaiki bangunan sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) selain menampung bantuan makanan dan minuman mangsa banjir.
Kerajaan juga tidak bersendirian dalam menghadapi isu bencana ini kerana ramai rakyat negara ini turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Menjengah media sosial mahu pun siaran langsung di TikTok, dapat dilihat ramai rakyat negara ini termasuk sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pempengaruh media sosial dan pengasas kosmetik bertungkus-lumus menyediakan bantuan kepada mangsa banjir di PPS atau yang terkandas di rumah.
Mereka bukan hanya menyumbang wang ringgit dan barangan keperluan, malah turut bergotong-royong memasak pelbagai menu untuk diagihkan kepada mangsa banjir, selain ada yang sanggup meredah arus deras banjir.
Paling mencuri tumpuan ialah pusat pengumpulan bantuan mangsa banjir yang dikelolakan usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman dan rakan-rakannya.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Khairul Aming atau KA membuka pusat operasi itu di Luxury Garden, Jalan Tanjung Chat, Kota Bharu dengan beberapa jawatankuasa yang dibentuk bagi membolehkan urusan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir lancar dan teratur.
Inisiatif anak muda dari Kelantan itu juga mendapat sokongan daripada ratusan sukarelawan digelar sebagai bantuan orang baik (BOB) yang datang silih berganti setiap hari menyumbangkan tenaga bagi menyusun, mengangkat dan mengasingkan bantuan yang diberikan orang ramai sejak pusat operasi itu dibuka 1 Disember lalu.
Sepanjang siaran langsung TikTok Khairulaming, boleh dilihat tidak putus-putus bantuan tiba di pusat berkenaan yang dihantar oleh orang ramai bukan sahaja penduduk dari, Kelantan malah ada yang datang dari luar negeri ini semata-mata mahu menyumbang melibatkan pelbagai barangan keperluan, makanan, ubat-ubatan termasuklah makanan kucing.
Melihatkan keadaan ini, penulis sangat kagum dengan sikap prihatin, kerjasama dan tolong-menolong yang ditunjukkan orang ramai terutama anak-anak muda menyumbangkan bantuan dan tenaga mereka sepanjang pusat itu dibuka. Inilah sikap yang perlu kita kekalkan bagi membina generasi yang terbilang pada masa akan datang.
Tidak dinafikan rakyat negara kita sememangnya dikenali sebagai masyarakat yang mudah membantu apabila berlaku sebarang bencana, malah amalan tolong-menolong ini sudah menjadi amalan kita sejak zaman-berzaman.
Namun dalam keprihatinan orang-orang baik yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan, timbul pula cerita kurang enak didengar apabila mendakwa terdapat pihak di PPS mengasingkan barangan bantuan dan melakukan agihan secara tidak adil. Walaupun hanya salah faham, penulis berharap isu ini tidak timbul lagi.
Paling penting jangan politikkan agihan bantuan kepada mangsa banjir. Agihlah bantuan kepada yang selayaknya kerana inilah masa terbaik untuk kita semua saling membantu mangsa banjir.
Jangan kerana sikap tidak bertanggungjawab ini kita abaikan segala penat lelah orang-orang baik yang sentiasa tidak jemu menghulurkan tangan mereka membantu mangsa banjir. Terima kasih rakyat Malaysia yang baik, anda semua hero mangsa banjir!
San Francisco: Gempa bumi kuat di luar pantai California mencetuskan amaran tsunami pada Khamis, dengan penduduk diberi peringatan untuk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi, sebelum amaran itu dibatalkan.
Pakar seismologi di Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (AS) berkata, gegaran cetek bermagnitud 7 melanda sekitar 68 kilometer (km) dari bandar pantai Ferndale, pada pagi dengan penduduk yang tinggal di kawasan itu merasai gegaran kuat.
Pengguna telefon pintar menerima amaran menggesa mereka berpindah ke kawasan lebih tinggi dengan segera, kata wartawan AFP di kawasan itu.
"Siri ombak kuat dan arus deras mungkin memberi kesan kepada pantai berhampiran anda. Anda dalam bahaya. Jauhkan diri daripada perairan pantai," kata amaran itu.
KOTA BHARU: Kuala Krai kembali dilanda banjir hari ini susulan kawasan di Dabong dinaiki air ekoran hujan lebat sejak semalam.
Jumlah penduduk yang dipindahkan adalah seramai 22 mangsa daripada tujuh keluarga yang berlindung di Sekolah Kebangsaan Sri Mahligai.
Sebelum ini, semua PPS di Kuala Krai sudah ditutup kelmarin selepas banjir di daerah berkenaan pulih sepenuhnya.
Malam tadi, Jeli kembali dilanda banjir dengan satu PPS dibuka semula malam ini susulanhujan lebat sejak petang semalam.
Seramai 19 mangsa membabitkan empat keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balah.
Sebelum ini, PPS Jeli sudah ditutup sejak tiga hari lalu selepas banjir di daerah berkenaan pulih sepenuhnya.
KUALA TERENGGANU: Hanya dua daerah iaitu Setiu dan Kuala Nerus masih terjejas akibat banjir membabitkan 1,052 mangsa daripada 260 keluarga yang masih berada di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus merekodkan seramai 976 mangsa daripada 247 keluarga yang berlindung di lapan PPS.
PPS yang dibuka di daerah berkenaan adalah Dewan Serbaguna Wakaf Chatur, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Guntong, SK Kampung Gemuroh dan SK Padang Air.
Turut diaktifkan SK Tok Jiring, SK Kompleks Gong Badak, Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak dan SK Gong Badak.
Di Setiu, PPS SK Kampung Telaga Papan dan SK Rhu 10 menjadi tempat berlindung 76 mangsa daripada 13 keluarga.
Terdahulu, banjir yang melanda Dungun dan Kuala Terengganu pulih sebenarnya selepas lapan PPS di dua daerah berkenaan ditutup secara berperingkat, semalam.
Di Dungun, lima PPS yang sebelum ini menempatkan 1,249 mangsa daripada 285 keluarga ditutup petang, semalam.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, tiga PPS yang menjadi tempat berlindung seramai 552 mangsa daripada 125 keluarga ditutup sepenuhnya malam tadi.