PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

30 minit atasi insiden banjir kilat di ibu kota

30 minit atasi insiden banjir kilat di ibu kota

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera bagi menangani insiden banjir kilat yang melanda beberapa lokasi utama di ibu kota susulan hujan lebat pada Isnin.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Jalan Sultan (Petaling Street), susur Jalan Travers ke Jalan Damansara, Jalan Kuching dan Jalan Segambut berhampiran Masjid Ubudiah.

Menurut kenyataan DBKL, kejadian banjir kilat ini berpunca daripada kadar aliran permukaan tinggi dalam tempoh singkat serta sistem saliran yang beroperasi pada kapasiti maksimum.

Selain itu, limpahan air sungai turut menyebabkan sistem flap gate tertutup secara automatik bagi menghalang air sungai daripada memasuki saliran bandar.

 

"Sebagai langkah segera, DBKL bersama kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan sampah sarap, daun kering, pasir dan kelodak.

"Pemantauan turut dibuat secara berterusan menerusi sistem CCTV (kamera litar tertutup). Hasil tindakan pantas ini, kesemua kawasan terjejas pulih dalam tempoh 30 hingga 40 minit tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan serius," ujar DBKL dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu bagi mencegah kejadian berulang, DBKL turut merangka beberapa tindakan jangka sederhana termasuk menaiktaraf sistem saliran dan outlet air serta kerja korekan kelodak secara berkala.

"Siasatan lanjut juga sedang dijalankan bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca tambahan, termasuk potensi aliran lumpur dari kawasan berbukit," ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 100 petugas turut digerakkan ke lapangan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.

"DBKL komited untuk mempertingkat kecekapan sistem saliran bandar menerusi pelaksanaan Program Mitigasi Banjir Jangka Sederhana yang sedang berjalan.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuang sampah ke dalam sistem saliran dan segera melaporkan sebarang halangan kepada DBKL.

“Keselamatan dan kesejahteraan warga kota sentiasa menjadi keutamaan kami,” tegas DBKL dalam kenyataan tersebut.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search