Ramal petanda gempa bumi dengan teknologi di angkasa
- Admin UKK
- Berita
KEJADIAN gempa bumi di Myanmar pada bulan lepas menggemparkan kita semua yang tengah sibuk meningkatkan ibadat diakhir Ramadan apatah lagi berlakunya pada Jumaat, penghulu segala hari.
Tanggal 28 Mac (27 Ramadan) lepas meninggalkan kenangan yang menyayat hati buat penduduk di Myanmar dan juga Thailand. Walaupun kedudukan negara kita yang agak terlindung daripada bahaya Lingkaran Api Pasifik yang sinonim dengan kejadian gempa ini, namun gegaran tetap dirasai di sekitar utara Semenanjung Malaysia.
Begitu juga dengan kejadian-kejadian gempa bumi di negara-negara jiran sebelum ini seperti di Padang, Sumatera dan Davao, Filipina yang gegarannya boleh dirasai di Lembah Klang. Gempa bumi di Ranau dan Lahad Datu, Sabah suatu masa dahulu cukup mengajar kita untuk lebih berhati-hati walaupun tidak meragut nyawa yang banyak dan kurang mendatangkan ancaman kepada negara kita.
Namun begitu, kejadian-kejadian gempa di negara jiran boleh diibaratkan sebagai amaran awal buat kita dan perlunya siap siaga dengan sebarangan kemungkinan yang dasyat seperti kejadian gempa bumi di Myanmar yang telah meragut nyawa lebih dari 3,000 orang sehingga kini. Pokoknya, adakah kita di Malaysia sudah bersedia?
Gempa bumi dengan magnitud 7.7 skala Richter dan diikuti oleh gempa susulan dengan magnitud 6.4, sepatutnya boleh diramalkan.
Gempa bumi dengan sifatnya tersendiri seperti kedalaman, magnitud dan jarak epipusat dan keadaannya yang setempat agak sukar untuk dikaitkan dengan gempa bumi di tempat lain. Contohnya, sifat kejadian gempa bumi di Sumatera mungkin tidak sama dengan gempa di Myanmar ini.
Namun hampir sedekad yang lalu, berbagai penyelidikan dijalankan untuk menghubungkaitkan teknologi di angkasa bagi peramalan gempa bumi melalui pemerhatian data dari medan geomagnet, kandungan elektron lapisan atmosfera atas, penghantaran gelombang radio berfrekuensi rendah, pelepasan gas radon dan sebagainya.
Malah kejadian kilat sabung menyabung di langit juga boleh menjadi petanda gempa bumi. Petanda awal boleh dikesan bila berlakunya kejanggalan luar biasa dari data yang cerap. Sebagai contoh penyelidikan yang dijalankan di Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memerhatikan sifat medan geomagnet, kilat dan kandungan elektron bebas dilapisan ionosfera iaitu di atmosfera atas.
Secara umumnya kerak bumi sentiasa bergerak perlahan-lahan dan menghasilkan gelombang elektromagnet dengan frekuensi yang rendah. Pun begitu, ada kalanya gelombang ini boleh mengganggu dan menghasilkan kejanggalan kepada medan geomagnet yang boleh dicirikan.
Kandungan elektron bebas di angkasa juga boleh terkesan dengan kejadian kilat yang menyambar dari awan ke awan. Begitu juga dengan gas radon yang dibebaskan sebelum kejadian gempa bumi. Semua kejanggalan data yang dicerap ini boleh dicirikan dengan adanya teknologi canggih sekarang, dan dengan itu pemantauan masa nyata dapat dijalankan secara berterusan.
Usaha pemerhatian petanda dan peramalan gempa bumi ini memerlukan kerjasama secara global. Setelit buatan yang bertaburan mengelilingi bumi dapat mencerap data ini dan ada yang boleh diperolehi dengan percuma. Antara sistem satelit yang boleh digunakan untuk memantau petanda gempa bumi antranya adalah seperti Sistem Global Positioning System (GPS) dan Global Navigation Satellite System (GNSS), yang dapat melihat kejanggalan dalam jumlah kandungan elektron lebih kurang 10 hari sebelum kejadian di Myanmar.
Satelit ini juga boleh digunakan untuk menjejaki pergerakan dan perubahan bawah tanah sebelum gempa bumi. Selain itu China Seismo-Electromagnetic Satellite(CSES) boleh mengesan gangguan pada medan geomagnet yang berkaitan dengan aktiviti seismik dan juga jumlah kandungan elektron, manakala Synthetic Aperture Radar (SAR) yang menggunakan radar pula boleh mengesan pergerakan tanah dari peta inSAR seperti Sentinel-1 dan ALOS.
Penemuan dari hasil kajian para penyelidik dapat membuktikan bahawa petanda gempa bumi dapat dikesan dan diramalkan melalui gabungan teknologi di bumi dan angkasa yang berpotensi luas untuk dikembang dan direalisasikan, misalnya melalui penderian in situ, simulasi di makmal dan penerapan pembelajaran mesin bagi membangunkan sistem peramalan masa nyata. Gabungan kaedah ini akan dapat melihat petanda gempa bumi seawal sebulan sebelum kejadian.
Selari dengan Matlamat Pembagunan Mampan (SDG) secara global dan demi kemanusian serta dengan ketersediaan data raya dan capaian internet pantas yang meluas diperignkat global dapat memacu usaha peramalan ini. Apatah lagi dengan penggunaan teknologi quantum suatu masa nanti. Melalui peramalan masa nyata yang pintar secara berterusan ini dapat melindungi nyawa dan harta benda secara maksimum.
Dengan hal yang demikian di negara kita, pemantauan yang berterusan untuk peramalan masa nyata ini hanya akan dapat dijalankan dengan adanya kerjasama diantara institusi penyelidikan tinggi dan agensi-agensi kerajaan seperti Agensi Angkasa Malaysia (MySA), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.
Oleh Prof. Ir. Dr. Mardina Abdullah, Ketua, Kumpulan Penyelidikan Sains dan Teknologi Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) .