PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

121 fasiliti kesihatan terjejas banjir, 77 di Kelantan

TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 121 fasiliti kesihatan terjejas di seluruh negara melibatkan kerugian berjumlah RM6.5 juta akibat banjir yang melanda beberapa buah negeri sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu Kelantan merekodkan jumlah kerosakan tertinggi melibatkan 77 buah fasiliti, diikuti Terengganu (30) dan Kedah (9).

 

"Negeri-negeri lain yang turut terjejas ialah Negeri Sembilan dan Pahang yang merekodkan dua fasiliti manakala satu di Pahang," katanya ketika sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menyantuni mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di sini.

Menurut beliau, antara fasiliti yang mengalami kerosakan ialah klinik desa, klinik kesihatan, klinik pergigian, pejabat kesihatan daerah dan pintu masuk antarabangsa.

Ujarnya, daripada 121 buah fasiliti itu 56 adalah klinik desa yang teruk terjejas dengan musibah berkenaan.

Dr Dzulkefly memberitahu, sepanjang banjir minggu lalu sebanyak 87 fasiliti kesihatan beroperasi dan 31 telah berpindah perkhidmatan kesihatan ke kawasan alternatif

Beliau berkata, hanya tiga asiliti tidak beroperasi kerana masih dalam proses pembersihan.

"Orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan termasuk fasiliti alternatif seperti biasa," katanya.

RISDA salur bantuan asas kakitangan terjejas banjir

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyalurkan bantuan asas dan wang tunai kepada seramai 94 orang kakitangannya yang terjejas banjir di Terengganu dan Kelantan.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, RISDA berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif itu bagi memastikan kakitangan mereka menerima bantuan asas yang mencukupi selepas terkesan dengan musim Monsun Timur Laut ketika ini.

Katanya, daripada kesemua kakitangan yang menjadi mangsa berkenaan, 35 dari RISDA Terengganu manakala baki 59 dari RISDA Kelantan termasuk Kumpulan RISDA Holdings.

"Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib telah mengadakan lawatan ke lokasi terjejas bagi menziarahi serta meninjau sendiri keadaan rumah mangsa serta premis RISDA yang ditimpa musibah.

"Dalam lawatan tersebut, Manndzri menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada setiap mangsa, selain bantuan keperluan asas seperti makanan dan peralatan harian. Langkah ini diambil sebagai usaha meringankan beban yang ditanggung oleh kakitangan terlibat," katanya.

RISDA memaklumkan, antara kawasan yang dilawati Manndzri di Terengganu termasuk Padang Air, Kuala Bekah, Kuala Berang dan Gerdong manakala di Kelantan ia membabitkan Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Menurutnya, lawatan tersebut turut disertai kakitangan Ibu Pejabat RISDA, RISDA Terengganu, RISDA Kelantan serta Kumpulan RISDA Holdings yang membantu menyampaikan bantuan dan sokongan.

"Manndzri menzahirkan komitmen pengurusan tertinggi agensi di bawah pimpinan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli untuk terus menyalurkan bantuan kepada seluruh mangsa terjejas akibat fenomena monsun ketika ini.

"Ia diharapkan dapat meringankan beban yang dihadapi selain menjadi sumber motivasi kepada mereka untuk bangkit semula," ujarnya.

Pada Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, banjir besar yang berlaku di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu pada waktu berkenaan berpunca daripada hujan lebat luar biasa yang berterusan.

Kata beliau, taburan hujan juga adalah dua kali ganda berbanding purata biasa, ditambah dengan keadaan air pasang besar.

Banjir di Pahang pulih sepenuhnya

KUANTAN - Banjir di Pahang pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Balai Raya Bandar Baru Pertanian, Maran ditutup secara rasminya pada Sabtu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, PPS terbabit ditutup jam 12 tengah hari dan semua 13 mangsa daripada empat keluarga yang dipindahkan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

 

Banjir kembali melanda negeri ini pada 30 November lalu dengan Raub daerah pertama terjejas diikuti Lipis, Jerantut, Maran, Temerloh dan Bera.

Secara keseluruhannya, sebanyak 33 PPS dibuka di negeri ini bagi menempatkan seramai 2,177 mangsa terjejas melibatkan 679 keluarga dari daerah terjejas.

Sebelum itu, Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir di negeri ini susulan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh pada 10 November lalu.

 

Banjir: Kerajaan sedia bawa bantuan luar ke Kelantan jika keadaan mendesak

KOTA BHARU - Kerajaan bersedia membawa anggota dan penyelamat dari luar Kelantan jika keadaan mendesak dalam situasi banjir gelombang kedua.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berpuas hati dengan operasi dan gerak kerja menyelamat yang dilakukan 1,393 anggota bomba di seluruh Kelantan.

 

Menurut beliau, sehingga kini, semua logistik berada dalam keadaan siap sedia termasuk 12 lori, 62 bot dan sembilan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Setakat ini, kita berpuas hati dengan semua persiapan dan gerak kerja yang dilakukan sama ada di lapangan dan operasi di peringkat negeri," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Bilik Gerakan Banjir, Balai Bomba Tunjong pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisyam Mohammad dan Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan.

Beliau memberitahu, cabaran operasi ialah berdepan risiko air deras namun pada masa sama memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat.

"Kita dapat meningkatkan komunikasi dan menyelamat berikutan ramai mangsa banjir yang berkongsi situasi mereka dalam keadaan sukar," katanya.

Jelas beliau, sebanyak 82,000 jentera membabitkan 20,000 anggota dalam keadaan siap siaga di seluruh negara.

"Di Kelantan pula, sebanyak lapan lokasi penempatan pasukan bomba termasuk di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Pengkalan Kubor dan BBP Wakaf Bharu, Tumpat, BBP Machang serta BBP Kuala Krai," katanya.

 

KPM gerakkan 300 sukarelawan Skuad Ihsan MADANI bantu mangsa banjir

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menggerakkan lebih 300 sukarelawan Skuad Ihsan MADANI untuk memberi bantuan di kawasan terjejas banjir.

Pelepasan sukarelawan KPM terdiri Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Smart Support Team (SST), sukarelawan Guru Insani, sukarelawan Biro Kebajikan Dan Sosial (MESCA) ini disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada majlis sama, sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn berjumlah RM100,000 turut diserahkan bagi menjayakan operasi bantuan dan penyerahan peralatan pembersihan pasca banjir.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

KPM melalui kenyataan berkata Skuad Ihsan MADANI ini akan melaksanakan operasi bantuan di dua zon terjejas banjir iaitu di Zon Utara dan Zon Timur.

"Antara diberi tumpuan adalah pelaksanaan kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir bagi mengurangkan beban mangsa terjejas, serta membantu mereka yang sedang dalam fasa pemulihan untuk kembali menjalani kehidupan pasca banjir.

"Selain membawa harapan rakyat terjejas yang memerlukan bantuan segera, Skuad Ihsan MADANI adalah cerminan perpaduan dan kesepakatan Malaysia MADANI dalam mendepani musibah," katanya.

 
 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search