PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Banjir: Yayasan Muhibbah agih bantuan kepada 1,000 keluarga di Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Yayasan Muhibbah dengan kerjasama 35 syarikat mengagihkan bantuan kepada 5,000 penduduk membabitkan 1,000 keluarga yang terjejas banjir di Rantau Panjang.

Sumbangan itu terdiri daripada perabot, keperluas asas, barangan elektrik, air mineral dan makanan termasuk beras dan gula.

Pengerusi Yayasan Muhibbah, Dr Jacyntha Lo, berkata mereka dari Negeri Sembilan turun padang ke Kelantan untuk menyampaikan sumbangan sebagai tanda prihatin terhadap mangsa banjir.

"Sumbangan yang disampaikan ini hasil kerjasama Yayasan Muhibbah dengan 35 syarikat yang majoritinya dimiliki rakyat berbangsa Cina.

"Saya rasa bangga dan terharu terhadap komitmen penyumbang sehingga kami dapat mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir.

"Ia (sumbangan) adalah bukti keprihatinan rakyat Malaysia, terutama rakan-rakan kita daripada komuniti perniagaan Cina. Mereka tampil tanpa ragu, menunjukkan bahawa kebajikan dan kemanusiaan melangkaui batas bangsa dan agama.

"Ini hanyalah permulaan dan kami memerlukan lebih banyak sumbangan untuk memastikan semua yang terkesan dapat dibantu," katanya.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Jacyntha turut berharap sumbangan itu sedikit sebanyak memberi sinar dan meringankan beban mangsa banjir yang mengalami kerugian besar baru-baru ini.

 

Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Johor, Kedah menurun, Perak dan Melaka tidak berubah

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Johor dan Kedah terus menurun pagi ini, manakala di Perak dan Melaka tidak berubah.

Di Kelantan, 2,268 orang daripada 655 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 2,925 orang malam tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah itu membabitkan 2,199 mangsa (634 keluarga) di Tumpat yang berlindung di tiga PPS, manakala 69 orang lagi di sebuah PPS di Pasir Mas.

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran pula merekodkan hanya Sungai Golok di Tumpat masih melepasi paras bahaya, dengan ketinggian 3.02 meter manakala Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Sokor di Tanah Merah melebihi paras waspada.

Penurunan juga berlaku di Johor apabila 408 orang masih berada di 13 PPS sehingga 8 pagi tadi, berbanding 436 mangsa pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan, berkata PPS yang dibuka membabitkan 10 di Segamat bagi menempatkan 276 mangsa daripada 84 keluarga, dua PPS di Tangkak dengan 100 mangsa daripada 27 keluarga dan satu PPS di Batu Pahat dengan 32 mangsa daripada 10 keluarga.

Beliau berkata, paras Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat berada pada tahap bahaya manakala paras Sungai Muar di Buloh Kasap, juga di Segamat berada pada paras amaran.

Keadaan cuaca di kebanyakan daerah di Johor pagi ini juga adalah cerah kecuali Mersing yang dilaporkan hujan.

Di Kedah, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 610 orang daripada 172 keluarga setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 784 orang daripada 223 keluarga, malam tadi.

Beliau berkata, di daerah Kota Setar, 574 orang daripada 162 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gunung, SK Simpang Tiga dan SK Alor Janggus.

Di daerah Kubang Pasu pula, 36 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di sebuah PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Putera.

Sementara itu, Sekretariat JPBN PERAK dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini masih kekal 131 orang daripada 45 keluarga di empat PPS melibatkan daerah Kinta, Perak Tengah serta Manjung.

Seramai 92 mangsa daripada 31 keluarga berlindung di dua PPS di daerah Kinta, manakala 34 mangsa daripada 11 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS di Perak Tengah serta lima mangsa daripada tiga keluarga berada di sebuah PPS di Manjung.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak juga memaklumkan paras air Tasik Temenggor, Banding di Hulu Perak berada pada paras bahaya setinggi 243.29 meter (m) berbanding paras normal 240.0m serta Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak juga berada pada paras bahaya setinggi 166.17m berbanding paras normal 165.10m.

Di Melaka, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir juga kekal 92 orang daripada 23 keluarga pada jam 8 pagi tadi dengan 81 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu manakala 11 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat. — BERNAMA

 

Amaran ribut petir, angin kencang hingga 1 tengah hari ini

KUALA LUMPUR: Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah sehingga jam 1 tengah hari ini.

Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dalam satu kenyataan, berkata keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot-bot kecil.

Katanya, dua daerah di Sabah dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 10 pagi.

"Dua daerah berkenaan adalah Sandakan membabitkan kawasan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat," katanya hari ini.

Sementara itu, METMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dan kedua di kawasan perairan negara yang berisiko kepada aktiviti laut.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," katanya.

 

19 kampung berhampiran Sungai Nenggiri, Sungai Kelantan dijangka banjir minggu ini

KOTA BHARU - Hampir 19 kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran Sungai Nenggiri dan Sungai Kelantan dijangka mengalami banjir bermula Selasa hingga Jumaat ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi pada 5 Disember lepas.

Menurut kenyataan JPS, kampung yang dijangka terjejas di kawasan Sungai Nenggiri, daerah Gua Musang ialah Kampung Pasir Tumboh Lama, Kampung Kala, Kampung Jeram Tekoh, Kampung Dalam Lah, Kampung Kuala Betis, Kampung Kuala Sungai, Kampung Bertam Lama, Kampung Bertam Baru dan Kampung Pasir Tumbuh Baru.

Sementara itu, kampung-kampung berhampiran Sungai Kelantan di daerah Machang yang dijangka dilanda banjir pula termasuk Kampung Pasir Senor, Kampung Kerilla, Kampung Kuala Hau, Kampung Temangan Lama, Temangan, Kampung Pauh, Kampung Telok Choh, Kampung Belukar Panjang, Kampung Bukit Besi, dan Kampung Pertok.

PS turut memaklumkan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang dijangkakan.

Amaran tersebut dikeluarkan bagi membolehkan penduduk, terutamanya yang berada di kawasan berisiko banjir, mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana. - Bernama

 

Sekolah terjejas banjir dibaik pulih segera - Amir Hamzah

ALOR SETAR - Sekolah yang terjejas akibat banjir akan dibaik pulih segera agar sekolah terlibat dapat beroperasi semula dengan lebih cepat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyalurkan peruntukan terbabit secepat mungkin.

Menurutnya, langkah itu diharap dapat membantu sekolah terjejas beroperasi semula tanpa perlu menangguhkan sesi persekolahan.

“MOF meninjau sekolah terjejas untuk kita dapatkan maklum balas apa yang boleh dibantu.

“Kita akan bekerjasama dengan KPM dalam menyalurkan peruntukan untuk membaiki semula sekolah dan pelajar dapat kembali beroperasi lebih cepat," katanya ketika ditemui selepas meninjau Skuad Ihsan Madani melakukan kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lengkuas di sini pada Sabtu.

Amir Hamzah berkata, pihaknya menghantar 120 ahli Skuad Ihsan Madani bagi membantu penduduk dan sekolah yang terkesan dengan musibah banjir sekitar daerah ini.

“Skuad ini terdiri daripada tenaga kerja dari MOF, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), CIMB Bank dan GLC (badan bukan kerajaan) Demi Rakyat dan Negara (GDRN) untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan di SK Lengkuas, SK Suka Menanti, SK Seri Amar Diraja dan Klinik Desa Sungai Baru,” katanya.

Menurutnya, program tersebut merupakan inisiatif MOF sebagai tanda kebersamaan kementerian itu dengan komuniti yang diuji dengan musibah.

“Ia juga bertujuan menyemarakkan semangat tolong-menolong antara agensi kerajaan, syarikat swasta dan GLC untuk turut menyingsing lengan membantu mangsa terjejas banjir.

“Kita anjurkan program ini bagi membolehkan bantuan disampaikan segera dan secara langsung kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan juga sentiasa memastikan mangsa yang terkesan dengan bencana seperti banjir diberikan bantuan dengan segera tanpa karenah birokrasi supaya mereka dapat segera kembali kepada kehidupan harian mereka.

"Kita juga mahu kukuhkan semangat sebagai satu bangsa yang sentiasa prihatin dan tolong-menolong dengan individu dalam kesusahan, ibarat pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’," katanya.

Selain meninjau keadaan beberapa buah sekolah terlibat banjir, Amir Hamzah turut mengambil kesempatan meninjau kerja-kerja pemulihan banjir di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim serta melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Gunung dan PPS SK Sri Gunung.

Amir Hamzah berkata, MOF turut menyampaikan sumbangan permaidani kepada Masjid Suka Menanti dan Masjid Kariah Derang.

"Sebanyak 1,300 bantuan bakul makanan turut diberikan kepada mangsa banjir di PPS SK Gunung dan PPS SK Sri Gunung.

"Bantuan lain termasuk keperluan pembersihan diri, tilam, tikar, menggantikan peralatan rosak di masjid, jet air, but kalis air, sarung tangan dan topeng muka untuk kegunaan semasa kerja-kerja pembersihan," ujarnya.

Pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, sebanyak RM600 juta peruntukan disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai persiapan mendepani banjir termasuk lebih RM300 juta disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana.

Anwar berkata, sebanyak RM20 juta geran padanan pula disediakan segera kepada yayasan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC untuk penyaluran bantuan kepada mangsa.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search