PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

18 hektar hutan di Kampung Mak Chili terbakar

18 hektar hutan di Kampung Mak Chili terbakar

KEMAMAN - Operasi pemadaman kebakaran hutan melibatkan kawasan seluas 18 hektar di Kampung Mak Chili, di sini berjaya dikawal hasil usaha berterusan pasukan bomba.

Komander Operasi, Mohd Zailani Abdullah berkata, operasi yang kini memasuki hari kelima bermula sejak 30 April lalu itu berjalan lancar dengan kekuatan seramai 39 anggota dari pelbagai balai di sekitar Terengganu.

Menurutnya, operasi pada Ahad melibatkan anggota dari Zon II (7 orang), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai (11 orang), BBP Kemaman (5), BBP Cheneh (3), BBP Paka (3), BBP Kijal (2), BBP Kerteh (4), BBP Dungun (2) dan BBP Al Muktafi Billah Shah (2).

"JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 petang pada 30 April lalu dan mengerahkan jentera dari BBP Chukai ke lokasi kejadian pada jam 4.02 petang, diikuti BBP Kemaman kira-kira setengah jam kemudian.

 

"Kawasan yang terbakar terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan faktor jarak serta struktur tanah menyukarkan akses ke lokasi kebakaran," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Zailani berkata, sehingga kini sebanyak 17 hektar berjaya dikawal dan baki satu hektar dalam proses pemadaman.

Tambahnya, operasi turut melibatkan pembahagian kepada dua sektor iaitu Sektor A diketuai BBP Chukai bersama lapan anggota menggunakan satu aliran hos sepanjang 500 kaki dengan empat pancutan air terbuka.

"Sektor B pula melibatkan lima anggota BBP Kemaman bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Tayor seramai empat anggota yang menggunakan satu aliran hos sepanjang 400 kaki dan dua pancutan," katanya.

Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membuat pemantauan dari udara menggunakan dron bagi menilai situasi semasa kebakaran.

Turut membantu dalam operasi tersebut ialah 10 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, wakil JAS dan wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kemaman.

Antara aset yang digunakan termasuk lima unit 'portable pump', 11 unit 'hard suction', 26 unit 'delivery hose', sebuah jentolak serta pelbagai peralatan sokongan lain.

"Sekiranya cuaca kekal baik, ditambah pula dengan keadaan hujan, operasi dijangka dapat ditamatkan sepenuhnya tidak lama lagi," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search