PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Gelombang kedua banjir: Penduduk Lembah Klang turut waspada

SHAH ALAM - Meskipun banjir gelombang kedua yang dijangka berlaku Isnin ini hanya melibatkan Pantai Timur, namun penduduk di Lembah Klang turut mengambil langkah waspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Seorang penduduk di Rumah Panjang PJS1 di Petaling Jaya, Mahendran Subramanian, 62, berkata, dia dan keluarga sudah menyimpan dokumen penting di tempat selamat kerana kawasan itu sering dinaiki air akibat banjir kilat.

 

Menurutnya, risiko berlaku banjir agak besar kerana setiap hujung tahun kawasan penempatan mereka sering dinaiki banjir.

"Bila dapat maklumat kemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir, saya akan membuat persiapan dan turut maklum pada jiran-jiran untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya yang tinggal bersama tiga lagi ahli keluarganya.

Seorang lagi penduduk di Seksyen 25, Shah Alam, Jaya Kumar, 51, pula berkata, pengalaman pernah terlibat banjir besar menyebabkan dia dan keluarga lebih peka dengan maklumat dikeluarkan pihak berkuasa.

"Barang penting seperti dokumen saya telah simpan di tempat tinggi dan almari bahagian bawah dipastikan tiada barang yang disimpan bagi mengelak risiko rosak jika berlaku banjir.

"Perabot juga akan diletakkan di tempat tinggi jika hujan berterusan melanda supaya kelengkapan rumah ini tidak mengalami kerosakan yang teruk nanti," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Nor Faziana Md Noor, 30, berkata, kawasan tempat tinggalnya tidak dinaiki air namun berisiko terkandas di jalan raya jika tidak peka dengan amaran ramalan kaji cuaca.

"Sebab itu saya sering mendapatkan maklumat dari sumber sahih mengenai keadaan cuaca dan jalan-jalan di Lembah Klang kerana bimbang terkandas atau menghadapi bahaya lain yang tidak dijangka," ujarnya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula Ahad, dengan Pahang dan Johor antara negeri yang dijangka turut terjejas dengan bencana itu kali ini.

Jumlah mangsa banjir terus menurun malam ini

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Kelantan, Kedah, Johor dan Melaka semakin pulih apabila jumlah mangsa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri itu terus berkurangan malam ini berbanding petang tadi, namun keadaan di Perak menyaksikan sedikit peningkatan bilangan mereka yang terjejas bencana itu.

Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) memaklumkan sembilan kematian direkodkan akibat bencana musim tengkujuh setakat jam 8 malam ini.

 

Jumlah mereka terjejas banjir di KELANTAN menurun kepada 2,915 orang yang ditempatkan di empat PPS setakat 8 malam ini, berbanding 3,704 orang petang tadi namun negeri itu masih merekodkan mangsa tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jajahan Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,199 mangsa daripada 634 keluarga, diikuti Pasir Mas dengan seramai 716 daripada 223 keluarga.

Portal infobanjir.water.gov.my oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula merekodkan paras air Sungai Golok di Tumpat walaupun masih melepasi paras bahaya namun mencatatkan penurunan iaitu 3.04 meter (m) setakat ini berbanding 3.08m pada petang tadi.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 784 orang daripada 223 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 970 orang daripada 277 keluarga, petang tadi.

Beliau berkata,seramai 746 orang daripada 211 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Kota Setar, manakala 38 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kubang Pasu.

"Sebuah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Gunung ditutup pada 8 malam ini selepas semua mangsa banjir yang ditempatkan di situ sebelum ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Situasi banjir di JOHOR turut menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 436 orang setakat 8 malam ini, berbanding 544 orang petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani menerusi satu kenyataan memaklumkan sebanyak 14 PPS masih beroperasi termasuk 11 PPS di Segamat yang menempatkan 304 mangsa daripada 92 keluarga.

"Seramai 100 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di dua PPS di Tangkak dan 32 orang daripada 10 keluarga pula kekal berteduh di sebuah PPS di Batu Pahat," katanya yang turut memaklumkan sebuah PPS iaitu Balai Raya Taman Suria di Segamat telah ditutup setelah semua mangsa dibenarkan pulang.

Beliau juga berkata, stesen Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam di Segamat dilaporkan masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 4.52 meter, namun keadaan cuaca di sembilan daerah di Johor diramalkan cerah kecuali Johor Bahru yang dijangka hujan malam ini.

Di MELAKA, jumlah mangsa menurun kepada 114 orang daripada 29 keluarga pada 8 malam ini berbanding 123 orang daripada 32 keluarga pada 4 petang tadi.

Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mereka melibatkan mangsa terjejas di sembilan lokasi di daerah Jasin dengan seramai 103 orang daripada 25 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu, manakala selebihnya berlindung di PPS Seri Mendapat.

Sementara itu, Sekretariat JPBN PERAK dalam kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa banjir malam ini meningkat sedikit kepada 131 mangsa di empat PPS berbanding 126 mangsa petang tadi.

"Jumlah mangsa banjir di daerah Perak Tengah dan Kinta kekal dengan masing-masing seramai 92 mangsa daripada 31 keluarga serta 34 mangsa daripada 11 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sebuah lagi PPS turut dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Batu 4, Segari di daerah Manjung, dengan seramai lima mangsa membabitkan tiga keluarga berlindung di PPS berkenaan yang diaktifkan sejak jam 4.45 petang tadi.- Bernama

 

30 kampung di Kuala Krai dijangka banjir Isnin-Jumaat depan

KOTA BHARU: Hampir 30 kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Pahi di Kuala Krai, dijangka mengalami banjir mulai Isnin hingga Jumaat depan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia mengeluarkan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Khamis lalu.

Menurut kenyataan JPS itu, kampung terbabit di kawasan Sungai Galas ialah Kampung Mambong, Kampung Dabong, Kampung Kemubu, Kampung Kuala Gris, Kampung Bahagia dan Kampung Biak.

Di Sungai Lebir, kampung terbabit ialah Kampung Tualang, Kampung Bekok, Kampung Manik Urai, Kampung Gajah, Kampung Laloh dan Kampung Karangan.

Selain itu, Kampung Manjor, Kampung Mesek, Kampung Baru Sungai Mengkuang, Kampung Temiang, Kampung Cheneh, Lata Rek, Kampung Lela Jasa, Kampung Budi dan Kampung Sungai Sam.

Kampung yang dijangka berlaku banjir di sekitar Sungai Pahi pula ialah Kampung Batu Mengkebang, Kampung Pahi, Kampung Gatal, Taman Perisai Wira, Dusun Damar, Kampung Belanga, Kampung Sungai Pas dan Kampung Temalir.
 

JPS turut memaklumkan, banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan.

Amaran itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk, terutama di kawasan yang dijangka banjir, mengambil langkah waspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa. – BERNAMA

 
 

LTSAH dijangka beroperasi semula Isnin ini

ALOR SETAR: Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTAH) yang ditutup sejak 29 November lalu akibat banjir dijangka akan beroperasi semula Isnin ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata perkara itu akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) selepas mengesahkan landasan itu selamat digunakan.

"Saya turut mengambil peluang melawat LTSAH tadi, Insya-Allah minggu depan ia akan dibuka.

"Tetapi ia bergantung penuh kepada CAAM dan MAHB jika ia disahkan selamat dibuka," katanya ketika ditemui selepas meninjau kerosakan infrastruktur pengairan MADA dan kerosakan tanaman padi di Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengurus LTSAH, Ikram Alif Mansoor berkata, landasan itu dijangka akan dibuka pada Isnin ini dan perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah berkaitan keselamatan.

"Kita sudah maklumkan mengenai penutupan landasan ini sehingga esok, jadi akan cuba untuk membuka landasan secepat mungkin tetapi sekiranya tidak boleh mungkin akan tambah masa dalam sehari, dua lagi sebelum ia boleh beroperasi semula.

"Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan pembaikan peralatan juga dilakukan..fokus utama sekarang adalah untuk membersihkan tempat yang kritikal iaitu kawasan kapal terbang mendarat dan setakat ini ia sudah dibersihkan sepenuhnya," katanya ditemui lapangan terbang berkenaan di sini, hari ini.

Ikram Alif berkata, ketika ini pihaknya perlu menguji beberapa perkara bagi melihat dan menilai kerosakan yang berlaku akibat banjir itu, namun setakat ini tiada kerosakan besar yang dikesan.

"Landasan kapal terbang ini adalah sejauh 2.7 kilometer (km) dan semasa banjir hari itu, kawasan landasan ditenggelami air sedalam 50 sentimeter (cm), kawasan laluan teksi 80 cm dan kawasan apron hanya 4cm sahaja.

"Sepanjang tempoh penutupan landasan itu ,banyak penerbangan yang terpaksa dibatalkan, sehari dianggarkan 20 ke 24 penerbangan masuk dan keluar dari Alor Setar... kita akan buat keputusan esok dan pihak penerbangan akan buat keputusan sama ada akan membenarkan kapal terbang syarikat mereka masuk keluar Alor Setar atau tidak," katanya.

Pada 29 November lalu, Malaysia Airport memaklumkan landasan LTSAH ditutup sementara berikutan keadaan banjir yang semakin memburuk melanda Kota Setar.

Projek tebatan banjir tangani isu banjir 20,000 penduduk

KOTA KINABALU: Masalah banjir dihadapi kira-kira 20,000 penduduk di tiga daerah di Sabah dapat dikurangkan dengan siapnya projek tebatan banjir dilaksanakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di daerah terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata tiga projek membabitkan kawasan seluas 1,403 hektar itu dilaksanakan di daerah Tawau, Kota Belud dan Kota Kinabalu.

Katanya, tiga projek itu adalah antara enam projek Persekutuan bernilai RM65.5 juta di bawah PETRA di Sabah yang sudah siap dan diserahkan kepada kerajaan negeri hari ini.

Katanya, projek membabitkan Rancangan Tebatan Banjir Fasa 1A Sungai Tawau di Lembangan Sungai Tawau di Tawau; Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kadamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang, Kota Belud serta Rancangan Tebatan Banjir Bandar Sierra, Lembangan Sungai Telipok, Kota Kinabalu.

"Dengan pelaksanaan dan penyiapan tiga projek tebatan banjir ini, seluas 1,403 hektar kawasan banjir dapat dikurangkan dan 20,000 penduduk mendapat manfaat serta dilindungi daripada risiko banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Siap PETRA kepada Kerajaan Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, tiga projek lain yang diserahkan hari ini ialah Projek Pemuliharaan Muara, Projek Mencegah Hakisan Pantai dan Projek Menaik Taraf Rumah Pam.

Bagi Projek Pemuliharaan Sungai, katanya, projek siap yang diserahkan hari ini ialah Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran di Kampung Tompinahaton, Kiulu.

"Projek Pemuliharaan Hakisan Pantai membabitkan Kerja Mencegah Hakisan Pantai di Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Tawau, manakala Projek Menaik Taraf Rumah Pam pula dilaksanakan Likas Lagoon, Likas, Kota Kinabalu," katanya.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran di Kampung Tompinahaton, Kiulu berjaya mencegah daripada risiko bencana runtuhan tebing sungai.

Projek itu, katanya, dapat memberi perlindungan kepada harta benda awam termasuk balai raya, kawasan perkuburan dan kira-kira 300 kediaman penduduk.

"Projek Mencegah Hakisan Pantai di Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik memberi perlindungan kepada hampir 1,000 penduduk dan kemudahan awam seperti klinik kesihatan, balai polis dan jeti daripada hakisan akibat pukulan ombak.

"Projek yang direka bentuk secara 'in house design' oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini dijangka membantu menjana industri pelancongan untuk berkembang dan seterusnya membantu meningkatkan sumber ekonomi penduduk.

"Projek Menaik Taraf Rumah Pam Likas dapat mengurangkan impak banjir di kawasan sekitar melalui peningkatan kecekapan kawalan banjir dengan tahap kesiapsiagaan operasi selama 24 jam dan tujuh hari seminggu," katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), PETRA meluluskan 82 projek dengan kos keseluruhan berjumlah RM8.5 bilion di Sabah.

Bagi Rolling Plan Keempat (RP4) RMKe-12 pada tahun ini, katanya, sebanyak RM674.4 juta disalurkan di Sabah, manakala RM116.77 juta diperuntukkan kepada JPS Sabah untuk pelaksanaan 27 projek dalam Rolling Plan Kelima (RP5).

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search