PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan APM di Sarawak

Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan APM di Sarawak

MIRI, 16 April: Peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai barisan hadapan dalam pengurusan bencana terus diberi penekanan apabila kerajaan melihat kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan, aset serta jaringan komuniti di seluruh Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata APM Sarawak bukan sahaja tertumpu kepada operasi menyelamat, tetapi turut menekankan nilai kemanusiaan dalam setiap misi.

“Saya agak tertarik dengan pendekatan APM Sarawak ini. Mereka yakin bahawa setiap nyawa yang diselamatkan mungkin menjadi pemimpin, jurutera, peguam atau insan yang akan menyumbang kepada negara pada masa depan,” katanya ketika melawat Pusat Operasi APM Miri, hari ini.

Menurut beliau, kekuatan APM yang terdiri kira-kira 90 peratus sukarelawan menjadi antara faktor utama keupayaan agensi itu dalam menghadapi bencana seperti banjir dan kebakaran.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan menaik taraf pusat operasi APM termasuk di kawasan berisiko tinggi seperti Sibu serta memperkukuh kemudahan sedia ada bagi memastikan tindak balas kecemasan lebih cekap.

“Saya turut menegaskan keperluan untuk menaik taraf pusat operasi APM termasuk di kawasan berisiko tinggi seperti Sibu, selain memperkukuh kemudahan sedia ada bagi memastikan kecekapan tindak balas kecemasan,” tambahnya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperluas program kesedaran komuniti di kawasan pedalaman dan berisiko bencana supaya penduduk dapat memberi bantuan awal sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Kursus-kursus kesedaran seperti ini perlu diperbanyakkan supaya masyarakat kampung dapat membantu secara asas ketika berlaku bencana.

“Selain itu, keluasan geografi Sabah dan Sarawak juga memerlukan pendekatan berbeza dari segi logistik dan keperluan aset, termasuk penggunaan kenderaan pacuan empat roda serta sokongan bahan api bersubsidi,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas kesinambungan subsidi diesel yang disifatkan membantu kelangsungan operasi harian serta mobiliti rakyat di Sabah dan Sarawak. — TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search