PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Banjir: Tahap siap siaga perlu dikekalkan untuk gelombang kedua

TUMPAT - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu tahap siap siaga menghadapi gelombang banjir kali kedua dikekalkan dan mengikut prestasi sama gelombang pertama.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gelombang kedua berlaku pada 8 hingga 14 Disember.

"Strategi dan atur gerak yang sama dapat dikekalkan kerana ketika banjir melanda, keutamaan kita ialah selamatkan nyawa dan harta benda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika lawatan dan tinjauan mangsa banjir di sini pada Jumaat.

Beliau memberitahu, siap siaga bagi gelombang pertama lalu melalui koordinasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pasukan petugas membabitkan semua agensi dapat memindahkan sehingga 118, 000.

"Ketika banjir melanda bermula Khamis hingga Sabtu, pasukan keselamatan memindahkan lebih 100,000 mangsa kerana persiapan awal yang dilakukan.

"Melalui taklimat tadi, permintaan saya ialah mengekalkan prestasi dan strategi sama," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu, pihaknya akan melaksanakan pembersihan di semua premis KDN yang terjejas banjir menggunakan aset agensi itu.

"Kita akan memulakan operasi pembersihan sebaik sahaja tamat gelombang kedua," katanya.

 

Wi-fi percuma di PPS alami masalah Internet

RAUB - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil inisiatif dengan menyediakan Wi-fi percuma untuk kawasan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menghadapi masalah liputan Internet.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, setakat ini MCMC telah sediakan Wi-fi percuma di 23 lokasi terjejas banjir iaitu 18 di Kelantan dan selebihnya di Terengganu.

Menurutnya, Pahang tidak terlibat kerana liputan internet dalam keadaan baik.

"Tetapi sebenarnya untuk PPS kalau memang ada masalah internet jadi MCMC juga akan turun untuk pasang Wi-fi percuma supaya perkhidmatan komunikasi itu tidak terjejas," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam sidang akhbar selepas melawat tapak menara telekomunikasi di Kampung Tanjung Putus di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, Nie Ching melawat dan menyerahkan bantuan kepada 45 mangsa banjir di Kampung Pintu Padang.

Hadir sama, Ahli Parlimen Raub, YB Chow Yu Hui dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal.

Ujarnya, penyedia perkhidmatan juga telah diminta melakukan pemerkasaan tapak iaitu menaikkan platform di kawasan tapak yang dikenal pasti lokasi panas banjir.

Sementara itu, Nie Ching juga memberitahu, sebanyak 3 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) telah dihantar sejak Oktober lalu hingga Jumaat.

"Jadi perkhidmatan ini akan diteruskan sepanjang musim banjir ini kerana Agensi Pengurusan Bencana Negara telah bagi amaran.

"Sekarang kita menghadapi gelombang pertama dan kita nampak bahawa banyak mangsa pun sudah kembali ke rumah mereka tetapi kita perlu berhati-hati kerana ada kemungkinan bahawa gelombang kedua atau seterusnya," katanya.

 

Situasi banjir terus beransur pulih

KUALA LUMPUR: Situasi banjir terus beransur pulih dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir menurun kepada 7,600 orang daripada 2,349 keluarga berlindung di 20 PPS setakat lapan malam ini berbanding 12,736 orang petang tadi.
 
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan jumlah mangsa tertinggi di Tumpat dengan 7,052 mangsa daripada 2,188 keluarga diikuti Pasir Mas 526 mangsa (154 keluarga) manakala di Kuala Krai 22 mangsa daripada tujuh keluarga.
 
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran pula merekodkan hanya Sungai Golok di Tumpat melepasi paras bahaya namun mencatatkan penurunan iaitu 3.20 meter (bahaya 3.0 meter) berbanding 3.24 meter petang tadi.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 2,131 orang daripada 642 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 2,861 orang daripada 850 keluarga, petang tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari daerah Kota Setar dan Kubang Pasu itu ditempatkan di 14 PPS.
"Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,794 orang daripada 544 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS manakala di Kubang Pasu, seramai 337 orang daripada 98 keluarga di tiga PPS," katanya.
 
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir turut berkurangan kepada 13 orang daripada empat keluarga yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran setakat 8 malam ini, berbanding 15 orang petang tadi, menurut aplikasi Info Bencana JKM.
Semakan di infobanjir.water.gov.my JPS pula menunjukkan bacaan paras air sungai utama di seluruh negeri itu berada pada paras normal.
 
JOHOR turut mencatatkan penurunan jumlah penduduk berlindung di PPS iaitu 620 orang daripada 178 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 811 orang petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan Spang Loi, Segamat telah ditutup dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, menjadikan keseluruhan 16 PPS masih aktif di tiga daerah terjejas.
"Sebanyak 32 orang daripada 10 keluarga berteduh di sebuah PPS di Batu Pahat, 412 mangsa daripada 120 keluarga di Segamat ditempatkan di 13 PPS, sementara di Tangkak pula kekal 176 mangsa daripada 48 keluarga berlindung di dua PPS," katanya dalam kenyataan.
 
Beliau berkata hanya satu sungai di Segamat dilaporkan masih melepasi paras bahaya iaitu stesen Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam dengan bacaan 4.70 meter manakala keadaan cuaca di lapan daerah di Johor dijangka cerah, selain Muar dan Batu Pahat diramalkan mendung malam ini.
Selain itu, beliau berkata dua jalan di Segamat masih ditutup untuk semua jenis kenderaan akibat banjir iaitu Jalan Kuala Paya-Balai Badang dan Jalan Tumang, sementara Jalan Serakek di daerah sama hanya dibuka kepada kenderaan berat.
 
Di PERAK, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri ini kekal 129 orang daripada 43 keluarga di tiga PPS yang masih beroperasi di dua daerah setakat 8 malam ini.
Menurut sekretariat itu, 95 mangsa daripada 32 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di daerah Kinta, selain 34 mangsa daripada 11 keluarga turut berlindung di sebuah PPS di daerah Perak Tengah, yang masing-masing dibuka sejak Isnin lepas.
Kesemua mangsa banjir di Kinta melibatkan penduduk Kampung Tanjung Tin, Kampung Pasir dan Kampung Sikh berdekatan Tanjung Tualang manakala di Perak Tengah melibatkan penduduk Kampung Pulau Misa.
 
Mangsa banjir di MELAKA pula kekal 134 mangsa daripada 34 keluarga di daerah Jasin setakat 8 malam ini, menurut Sekretariat JPBN Melaka dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu 103 mangsa daripada 25 keluarga di PPS SK Parit Penghulu manakala 31 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat.
 
-- BERNAMA

Sukarelawan Skuad Ihsan MADANI KPDN digerakkan ke negeri terjejas banjir

AYER KEROH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan kira-kira 300 penguat kuasa sebagai sukarelawan Skuad Ihsan MADANI KPDN ke negeri terjejas banjir, khususnya di Pantai Timur, bermula semalam.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penubuhan skuad itu sebagai menyahut seruan kerajaan bagi mempergiatkan pembabitan penjawat awam sebagai sukarelawan banjir.

Beliau berkata, penugasan sukarelawan berkenaan bukan hanya untuk memberi sumbangan kepada mangsa, malah akan membantu kerja-kerja pascabanjir, termasuk di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Mereka terdiri daripada 238 penguat kuasa yang menamatkan latihan, baru-baru ini, selain wakil daripada bahagian di KPDN dan negeri.

“Penugasan mereka adalah mengikut jadual yang akan diselaraskan Pejabat Ketua Setiausaha Negara mengikut kementerian. Sebagai permulaan, skuad ini digerakkan ke Kelantan, hari ini (semalam),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN Peringkat Zon Selatan 2024 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Armizan berkata, semua sukarelawan terbabit akan berada di negeri berkenaan hingga Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berakhir pada Mac depan.

Banjir di Terengganu pulih, semua PPS ditutup

KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu pulih sepenuhnya apabila Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terakhir menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga di Setiu, ditutup jam 9 malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Bencana Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) lima mangsa berkenaan yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Rhu Sepuluh, Setiu, telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sebelum ini mereka terjejas akibat banjir termenung.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search