PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Tanah runtuh akibat hujan, jalan ke kampung Orang Asli terhalang

IPOH: Hujan berterusan lebih dua jam malam semalam mengakibatkan berlaku runtuhan tanah sekali gus menyebabkan jalan utama ke Kampung Pos Yum di Sungai Siput di sini terhalang.

Menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, masa kejadian berlaku pada pukul 1.05 petang tadi dengan hakisan dan runtuhan tanah mengenai struktur jalan.

Bagaimanapun tiada mangsa yang terlibat dalam bencana tersebut.

Mengikut kronologi kejadian, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Unit Sungai Siput menuju ke lokasi tersebut selepas menerima maklumat dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.

“APM Unit Sungai Siput (U) membuat pemantaun di sekitar kawasan tanah runtuh. Hasil pemeriksaan mendapati berlaku hakisan dan runtuhan tanah mengenai struktur jalan yang menyebabkan jalan utama ke Kampung Pos Yum terhalang,” menurut jurucakap sekretariat itu hari ini.

Kampung Pos Yum terletak kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Sungai Siput.

Kerja-kerja bagi membuka laluan terhalang telah dijalankan oleh pihak kontraktor, menurut sekretariat itu. – UTUSAN

Sarawak laksana pembenihan awan di Batang Ai, Bakun dan Murum, stabilkan paras air empangan

KUCHING, 11 Mei: Kerajaan Sarawak melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan empangan utama negeri ini bermula hari ini hingga esok sebagai langkah proaktif memastikan kestabilan paras air empangan strategik yang penting untuk penjanaan tenaga hidroelektrik dan bekalan air mentah.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam kenyataan memaklumkan operasi itu melibatkan kawasan Empangan Batang Ai di Lubok Antu serta Empangan Bakun dan Murum di Belaga, dengan Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching dijadikan pusat operasi dan koordinasi penerbangan.

Beliau yang juga Pengerusi JPBS itu berkata operasi berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), TUDM serta beberapa agensi berkaitan bagi meningkatkan potensi pembentukan hujan di kawasan tadahan empangan utama.

“Operasi pembenihan awan ini merupakan langkah intervensi cuaca bagi meningkatkan potensi pembentukan hujan di kawasan tadahan empangan utama, seterusnya menyokong kestabilan paras air empangan yang kritikal kepada penjanaan tenaga hidroelektrik, bekalan air mentah serta kelestarian sumber air di Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya operasi berkenaan turut bertujuan mengurangkan risiko kekurangan bekalan air mentah selain memperkukuh usaha mitigasi terhadap kesan cuaca kering dan fenomena El Niño serta La Niña.

“Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan langkah mitigasi dalam menghadapi cabaran perubahan cuaca yang semakin tidak menentu.

“Pelaksanaan operasi pembenihan awan ini merupakan antara pendekatan proaktif yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik pelbagai agensi demi kepentingan rakyat dan pembangunan wilayah Sarawak,” katanya.

Operasi itu dilaksanakan melalui penerbangan pesawat pada altitud sekitar 5,000 hingga 9,000 kaki di kawasan awan berpotensi hujan dengan penyebaran bahan higroskopik seperti garam gred industri ke dalam sistem awan yang sesuai.

Pemantauan radar cuaca serta analisis atmosfera turut dijalankan secara berterusan sebelum, semasa dan selepas operasi bagi memastikan keberkesanan serta keselamatan pelaksanaannya. – TVS

Floods: One PPS in Perak closed; number of victims drop last night

IPOH, May 12 — The temporary evacuation centre (PPS) at the Kampung Klah Baru multipurpose hall, which housed six flood victims from a family in the Batang Padang district, was closed earlier yesterday.

The District Disaster Management Committee Secretariat said that, in this regard, there are still 38 victims from 10 families taking shelter at the PPS in Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor in the Larut, Matang and Selama district.

 

“All the victims are residents of Kampung Matang Pasir who had taken shelter at the PPS since 1.30 am today following the flood disaster in the village,” said the statement.

Meanwhile, the Perak Irrigation and Drainage Department reported that the water level in the Sungai Kinta at Tanjung Tualang is at a dangerous level with a reading of 13.57 metres (m), exceeding the normal level of 10 m.

The Sungai Bidor in Changkat Jong also recorded a dangerous level of 3.72 m above the normal level of two metres, while the Sungai Slim in Slim River also recorded a dangerous level of 26.91 m above the normal level of 23.5 m. — Bernama 

Tanah runtuh: Penghuni sebuah rumah di Ampang diarah berpindah

AMPANG: Penghuni sebuah rumah di Kampung Bukit Sungai Putih, di sini, diarahkan keluar selepas berlaku runtuhan tanah berhampiran kediaman mereka petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.17 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira lima minit kemudian.

"Komander operasi melaporkan terdapat runtuhan tanah dengan jarak kira-kira empat meter dari kawasan rumah terbabit.

"Semua penghuni rumah diarahkan keluar sebagai langkah keselamatan dan anggota turut menjalankan pemantauan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada sebarang bahaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak bomba turut memaklumkan kejadian itu kepada pihak majlis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts Hasrolnizam Shaari, turun padang meninjau kejadian pergerakan tanah di kawasan berkenaan.

MPAJ dalam kenyataan memaklumkan, Hasrolnizam bergegas ke lokasi kira-kira jam 6 petang bagi mendapatkan maklumat lanjut serta meninjau keadaan semasa di kawasan kejadian.

"Skuad Pantas MPAJ turut hadir sejurus menerima laporan untuk melaksanakan tindakan awal dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar sentiasa terpelihara," katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin membuat aduan kecemasan atau memerlukan bantuan boleh menghubungi Skuad Pantas MPAJ di talian 03-4285 7333.

Sistem parit Lembah Klang ikut data taburan 40 tahun lalu

PETALING JAYA: Majoriti sistem perparitan di Lembah Klang dibina mengikut data taburan hujan 30 hingga 40 tahun lalu, lantas menjadi antara punca utama kekerapan banjir kilat sejak ke­belakangan ini.

Pakar Perundingan Strategik Antarabangsa dan Matlamat Pembangunan Mampan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, sistem saliran lama itu dibina berdasarkan kapasiti terdahulu ketika kadar pembangunan bandar dan kepadatan penduduk masih berada pada tahap rendah berbanding keada­an semasa.

Katanya, kelemahan perparitan lama termasuk saliran sempit, cetek serta tidak diselenggara dengan baik menyebabkan air mudah melimpah ketika hujan lebat, meskipun dalam tempoh singkat.

“Sistem saliran lama yang sempit, cetek serta tidak di­selenggara secara konsisten menyebabkan aliran air menjadi perlahan dan mudah tersumbat oleh sampah serta mendapan lumpur.

“Keadaan ini menyebabkan kapasiti saliran gagal menampung hujan lebat berintensiti tinggi yang kini semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rabu lalu, dua lebuh raya utama di Lembah Klang sesak susulan banjir kilat, sekali gus menjejaskan pengguna jalan raya.

Kejadian pertama dilaporkan kira-kira pukul 4.14 petang di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) melibatkan laluan Kuchai Link menuju ke lebuh raya berkenaan.

Satu lagi insiden berlaku di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di Kilometer 48.0 berhampiran Persimpangan Awan Besar arah timur dari Kinrara.

Dalam pada itu, Medan Selera 223 di sini dinaiki air hampir 1.2 meter susulan hujan lebat yang melanda ibu negara.

Susulan itu, Dewan Ban­daraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan akan menaik taraf sistem perparitan di kawasan rendah bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, kerja penambahbaikan itu menggunakan peruntukan tahun ini dengan tumpuan kepada kawasan berisiko terma­suk Segambut dan Cheras.

Sementara itu, Pakar Pe­ngurusan Alam Sekitar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Har­yati Shafii berkata, kekerapan banjir kilat turut berpunca da­ripada kadar urbanisasi sekitar Lembah Klang yang lebih pesat berbanding jangkaan asal.

Katanya, perkara itu membebankan kapasiti sistem sal­iran sedia ada sehingga mencetuskan banjir kilat ketika hujan lebat.

“Peningkatan kawasan pembangunan di sekitar Lembah Klang menyebabkan semakin banyak permukaan konkrit dan berturap, sekali gus meningkatkan kadar air larian permukaan.

“Keadaan ini menyebabkan air dengan cepat melimpah ke kawasan sekitar yang lebih rendah sehingga meningkatkan risiko berlakunya banjir kilat,” katanya.

Haryati berkata, pembangunan berskala kecil di kawasan bandar perlu dihentikan bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang semakin kerap berlaku.

Katanya, pembangunan berskala kecil atau pocket deve­lopment yang dilakukan secara tidak sistematik menyebabkan sistem perparitan gagal berfungsi.

Ujarnya, pembinaan rumah, premis perniagaan dan kawasan parkir baharu di kawasan berkepadatan tinggi menyebabkan air hujan sukar diserap ke dalam tanah lalu menjadi punca air bertakung dengan cepat ketika hujan lebat. – UTUSAN

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search