Air pasang besar cetus banjir kilat di Apartment Pelangi
- Admin UKK
- Berita
Georgetown: Fenomena air pasang besar yang mencecah 2.9 meter menyebabkan banjir kilat di sekitar kawasan Apartment Pelangi di Macallum di sini, hari ini.
Kejadian turut menenggelamkan beberapa kenderaan yang diparkir dalam kawasan premis berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kejadian antara jam 1 tengah hari hingga 3 petang itu menyaksikan air laut melimpah masuk ke kawasan parkir apartmen dan kawasan sekitarnya.
"Bagaimanapun, tiada hujan direkodkan semasa kejadian dan tiada penduduk terjejas atau dipindahkan.
"Banjir itu dikenal pasti berpunca daripada limpahan air laut ketika fenomena air pasang besar yang mencecah paras 2.9 meter.
"Keadaan masih terkawal dan tidak memerlukan sebarang pemindahan.
"Paras air di kawasan terjejas dianggarkan antara 0.1 hingga 0.3 meter," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zairil berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Timur Laut sudah mengenal pasti beberapa langkah segera termasuk penyelenggaraan di saluran keluar S16 bagi mengurangkan risiko kejadian berulang.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan beberapa langkah mitigasi jangka panjang termasuk menaik taraf struktur saluran keluar S16, meninggikan aras kawasan parkir apartmen serta menambah baik sistem saliran dalaman di kawasan berkenaan.
"Langkah ini penting bagi memperkukuhkan daya tahan kawasan pesisir pantai terhadap fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku lebih kerap akibat perubahan iklim dan kenaikan paras laut," katanya.
Terdahulu, beberapa gambar kejadian banjir itu tular di media sosial yang memaparkan banyak kenderaan separa tenggelam di kawasan parkir sebuah kompleks apartmen di Macallum.
