PADANG BESAR: Kerajaan negeri merangka pelan bagi menghadapi ketidaktentuan cuaca pada musim Monsun Timur Laut (MTL) dan kemungkinan fenomena Super El Nino yang diramalkan dapat menjejaskan sektor pertanian.
Antara langkah dirancang termasuklah penyediaan sumber air alternatif menerusi pembinaan telaga tiub dan penambahbaikan sistem pengairan serta saliran dalam mengurangkan risiko kerosakan tanaman.
Exco Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi dan Alam Sekitar, Megat Hashirat Hassan berkata, dalam Belanjawan Perlis 2027, persediaan bukan sahaja melibatkan aspek sistem tali air namun turut menitik beratkan keperluan telaga tiub di kawasan yang memerlukan sumber air alternatif.
“Langkah itu diambil kerana kita sudah mengambil maklum kemungkinan berlaku cuaca kering berpanjangan hingga Mei tahun depan dan berharap fenomena El Nino yang kuat tidak berlaku,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Kepada Pengusaha Akuakultur di sini, hari ini.
Bulan lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilapor memaklumkan, fenomena El Nino diramal meningkat kepada kategori sangat kuat atau Super El Nino dari Oktober hingga Januari 2027 dan berpotensi meningkatkan risiko cuaca kering serta kebakaran.
Kata beliau, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula menunjukkan anomali suhu bagi fenomena itu berpotensi melebihi 2.0 darjah celsius.
Menurut Megat, persediaan awal adalah penting memandangkan sektor pertanian negeri berdepan risiko hujan lebat pada musim MTL dan kemarau berterusan pada awal tahun hadapan yang berupaya menjejaskan tanaman padi.
“Kita tidak boleh hanya menyalahkan hujan lebat kerana ada perkara lain yang perlu diteliti termasuk keadaan sistem saliran dan halangan pada laluan air.
“Apabila musibah berlaku, kita perlu melihat bagaimana kerajaan boleh membantu meringankan beban petani yang terpaksa menanggung kos tambahan untuk mengusahakan semula tanaman,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan kecemasan bagi menghadapi kemungkinan cuaca ekstrem namun pelaksanaannya akan mengambil kira kemampuan kewangan negeri. – UTUSAN
PADANG BESAR: Kerajaan negeri bersiap sedia dengan pelan kecemasan termasuk menyediakan peruntukan khas membina telaga tiub bagi menghadapi ancaman fenomena kemarau berpanjangan awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Megat Hashirat Hassan, berkata cuaca kering melampau atau Super El Nino yang diramal berlaku antara Februari hingga Mei itu dikhuatiri menjejaskan bekalan air untuk sektor pertanian dan keterjaminan makanan di negeri ini.
Katanya, perkara berkenaan sudah dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
"Walaupun cuaca panas dan kering memberikan kelebihan kepada pengeluaran bunga mempelam Harumanis, namun tanaman lain khususnya padi di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) amat memerlukan bekalan air mencukupi.
"Sehubungan itu, dalam belanjawan negeri yang akan dibentangkan nanti, kita turut memasukkan peruntukan khusus di bawah portfolio pertanian untuk membina lebih banyak telaga tiub di kawasan kritikal selain bergantung kepada sistem tali air sedia ada," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada Pengusaha Akuakultur Negeri Perlis di Taman Desa Asnaf Batu Bertangkup di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 16 daripada 52 pengusaha akuakultur yang disenaraikan menerima bantuan peringkat awal, manakala bakinya akan disalurkan secara berperingkat termasuk dalam bentuk bantuan makanan ternakan.
Megat Hashirat berkata, kerajaan negeri turut merancang menjadikan Perlis sebagai hab pengeluaran benih tanaman tropika dan benih ikan air tawar seperti keli, tilapia serta belut dengan melantik syarikat peneraju bagi menguruskan bekalan dan pemasaran hasil pengusaha kampung secara berterusan.
"Selama ini kita lihat banyak bantuan kerajaan disalurkan kepada pengusaha, namun ada yang hanya bertahan satu pusingan sebelum terhenti akibat kekangan pasaran dan pelbagai masalah lain.
"Justeru, menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta jabatan berkaitan mahu mewujudkan syarikat peneraju yang akan membekalkan benih, memantau penjagaan di peringkat kampung serta membeli semula hasil ternakan atau tanaman untuk dipasarkan secara berskala besar. Ini supaya pengusaha tidak lagi pening kepala memikirkan soal pemasaran," katanya.
JAKARTA: Lebih 32,000 penduduk terjejas akibat banjir yang melanda wilayah Aceh, Indonesia sejak hujung minggu lalu, dengan ribuan rumah dinaiki air dan sebahagian penduduk terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sementara.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan, berkata banjir di Kabupaten Pidie Jaya, utara Aceh di Pulau Sumatera menyebabkan sekurang-kurangnya 40 penduduk terpaksa berpindah ke tempat perlindungan sementara.
Beliau berkata, hujan lebat di kawasan hulu menyebabkan paras air di tiga batang sungai meningkat pada Ahad, mengakibatkan 8,608 rumah di 43 kampung serta kawasan pertanian berhampiran dinaiki air.
"Sehingga petang Selasa, banjir masih melanda beberapa kampung di Pidie Jaya, walaupun paras air di sesetengah kawasan telah mula surut, meninggalkan takungan air cetek dan lumpur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berton berkata, kejadian benteng sungai yang pecah memburukkan lagi keadaan banjir, selain menyebabkan kerosakan pada rangkaian bekalan air bersih dan gangguan laluan utama Banda Aceh-Medan.
,Susulan itu, pasukan kecemasan menjalankan operasi pemindahan penduduk, mengagihkan bantuan makanan serta membaiki benteng sungai yang rosak.
Di kawasan lain di Aceh, banjir kilat melanda Kabupaten Gayo Lues susulan hujan lebat dari petang Sabtu hingga awal pagi Ahad, menjejaskan 390 penduduk daripada 126 keluarga di tiga kampung.
Empat rumah dihanyutkan arus banjir dan lumpur, manakala 111 lagi mengalami kerosakan serta 26 penduduk terpaksa berlindung di rumah saudara-mara.
Dua jambatan gantung dan beberapa kemudahan awam turut mengalami kerosakan.
Sementara itu, Berton berkata satu kejadian puting beliung turut melanda Kabupaten Sumbawa di wilayah Nusa Tenggara Barat pada Isnin, menjejaskan 23 keluarga dan merosakkan 23 rumah di enam kampung.
"Agensi pengurusan bencana tempatan masih menjalankan kerja pengumpulan data dan memantau perkembangan susulan bencana itu," katanya.
HULU SELANGOR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bekerjasama dengan pengurusan Empangan Sungai Selangor untuk menangguhkan sementara pelepasan air bagi memastikan arus sungai terkawal sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lelaki warga asing yang hilang di Sungai Pertak, di sini.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Razak Muda berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan perubahan arus secara mendadak yang boleh menyebabkan kawasan pencarian menjadi lebih luas sekali gus menyukarkan usaha mengesan mangsa.
“Untuk memudahkan pencarian dan juga mengehadkan kawasan (pencarian) itu, kita berkomunikasi dengan pihak pengurusan empangan supaya tidak membuka aliran air sehingga kita menemukan semua mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Hadapan JBPM di Jambatan Pertak di sini hari ini.
Beliau berkata, zon pencarian merangkumi jarak keseluruhan kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi kejadian hingga ke empangan berkenaan, dengan aliran air semasa bergerak dari Sektor D menuju ke Sektor C, B dan A.
Kawasan itu dibahagikan kepada empat sektor dengan Sektor A, B dan D masing-masing meliputi jarak satu kilometer, manakala Sektor C meliputi jarak antara 500 hingga 600 meter.
“Kami percaya tiga mangsa berkenaan mungkin masih berada di kawasan tidak melebihi jambatan ini (Jambatan Pertak) berikutan faktor pergerakan arus serta kemungkinan mangsa tersangkut pada halangan atau perangkap sampah di sepanjang sungai.
“Operasi hari ini turut dibantu dua anjing pengesan unit K9, Frankie dan Denti yang menjalankan pencarian selama kira-kira 20 minit bagi setiap sesi,” katanya.
Ujarnya, operasi hari ini melibatkan 124 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, operasi SAR dijangka diteruskan hingga pukul 6 petang ini bergantung kepada faktor cuaca, manakala tindakan susulan akan diselaraskan bersama pihak polis sekiranya operasi perlu dilanjutkan.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Isnin lepas, lapan individu masing-masing seorang warga tempatan, Yaman, Sri Lanka, Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras akibat kepala air.
Lima mangsa ditemukan lemas pagi semalam terdiri daripada warga tempatan V. Vijayan, 36, warga Nepal yang dikenali sebagai Kapali, 49, dan B. Kunjanmalayil, 35, warga India, manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti ialah lelaki warga India dan Sri Lanka.
Usaha pencarian tiga lagi mangsa, iaitu dua warga India dan seorang warga Yaman masih diteruskan. – Bernama
PETALING JAYA: Kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan perumahan di Persiaran Kosmos, Seksyen U5, Shah Alam di sini hari ini menyebabkan sebahagian cerun runtuh sehingga merosakkan struktur tembok penahan konkrit di kawasan berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 pagi.
Menurutnya, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh tiba di lokasi pada pukul 10.12 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan perumahan berkenaan.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan anggota bomba menjalankan pemantauan bagi memastikan kawasan berkenaan tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam,” katanya hari ini.
Ashrul berkata, kes itu kemudiannya dirujuk kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk tindakan lanjut.
“Punca kejadian serta tahap kerosakan struktur tembok penahan berkenaan masih belum dikenal pasti,” katanya.
Difahamkan, kejadian itu menyebabkan beberapa bahagian tembok penahan konkrit beralih kedudukan dan condong, malah terdapat blok yang runtuh.
Runtuhan turut menyebabkan tanah di bawah sebuah bangunan di bahagian atas cerun terdedah, manakala serpihan konkrit bertaburan di kawasan terjejas.
Beberapa pokok kelapa turut dilihat berada berhampiran cerun berkenaan. – UTUSAN
