PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Paras air Empangan Pedu, Muda, Ahning meningkat

Paras air Empangan Pedu, Muda, Ahning meningkat

ALOR SETAR: Paras takungan di tiga empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menunjukkan peningkatan susulan hujan serta pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA).

Bahagian Pengurusan Empangan dan Sumber Air MADA, dalam kenyataan berkata peningkatan paras air itu direkodkan di Empangan Pedu, Muda dan Ahning berdasarkan status takungan semalam.

Katanya, Empangan Pedu mencatatkan peningkatan sebanyak 0.03 peratus kepada 41.47 peratus berbanding hari sebelumnya dengan pelepasan air sebanyak 500 cusec (kaki padu sesaat)

"Empangan Muda pula menunjukkan peningkatan lebih ketara iaitu 1.2 peratus kepada 15.5 peratus, bagaimanapun tiada pelepasan air dilakukan di empangan berkenaan.

"Bagi Empangan Ahning, paras takungan meningkat 0.06 peratus kepada 51.58 peratus dengan pelepasan air sebanyak 100 cusec," katanya.

MADA turut memaklumkan operasi pembukaan pintu air di Empangan Pedu dan Empangan Ahning masih diteruskan bagi memastikan sumber bekalan air domestik mencukupi.

"Orang ramai turut digesa menggunakan sumber bekalan air secara berhemat bagi memastikan jaminan bekalan air pada masa depan terus terpelihara," katanya.

Operasi Pembenihan Awan siri kelima dilaksanakan pada 12 Mei lalu bagi menangani isu penyusutan paras air di empangan kritikal akibat fenomena cuaca kering yang melanda Kedah dan Perlis.

Lokasi sasaran bagi operasi itu membabitkan Empangan Pedu, Muda, Ahning, dan Beris di Kedah serta Empangan Timah Tasoh di Perlis.

Susulan pelaksanaan intervensi berkenaan, hujan mula dikesan seawal jam 3 petang di kawasan tadahan utama Kedah dengan merekodkan kadar taburan hujan antara 10 milimeter (mm) hingga 70 mm.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search