Gua Musang: Banjir gelombang kedua menyaksikan hampir 3,000 penduduk Kampung Limau Kasturi dan kampung sekitarnya, terputus hubungan hari ini, apabila jambatan yang menjadi laluan keluar masuk utama ditenggelami air Sungai Kerak.
Difahamkan limpahan sungai itu berlaku dalam tempoh tiga jam dan turut menenggelamkan rumah penduduk yang terletak berhampiran sungai terbabit.
Selain Kampung Limau Kasturi antara kampung lain yang terlibat adalah Kampung Batu 14 dan Kampung Serian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, keadaan itu berlaku susulan hujan berterusan sejak petang semalam dan lebat pada sebelah malam, yang menyebabkan air sungai melimpah.
Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan rendah yang berhadapan situasi itu setiap tahun, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) buat kali kedua selepas gelombang pertama, dua minggu lalu.
"Saya anggarkan sudah ada enam keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1. Air Sungai Kerak menunjukkan trend meningkat dan pada 5 petang tadi, siren amaran bahaya sudah berbunyi.
"Jadi saya nasihatkan kepada penduduk untuk sentiasa mengikut arahan pihak berwajib demi keselamatan mereka dan keluarga. Kita takut berlaku situasi luar jangka serta mereka tidak sempat berpindah," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, mereka yang terputus hubungan terpaksa menggunakan perahu untuk keluar jika keadaan mendesak.
Penduduk, Ahmad Ab Rahman, 46, berkata, siren amaran banjir yang berbunyi menandakan paras sungai dalam bahaya, sekali gus peringatan akhir untuk penduduk bersiap sedia atas sebarang kemungkinan.
Dia juga menasihati penduduk kampung untuk berpindah lebih awal dan mengelak pindah pada waktu malam memandangkan ia boleh merisikokan diri dan keluarga serta anggota penyelamat.
Selangor terima teguran Sultan Sharafuddin, tubuh 'taskforce' percepat mitigasi banjir
- Admin UKK
- Berita
KLANG - Kerajaan Selangor menerima dengan hati terbuka teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini yang menzahirkan keprihatinan berhubung tahap kebersihan di Bandaraya Diraja Klang serta situasi banjir kilat di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas sebagai komitmen kerajaan negeri untuk mempercepatkan pelaksanaan usaha pelan mitigasi banjir bagi mengelakkan kelewatan proses tersebut akibat budaya bekerja secara silo di peringkat agensi.
“Sehingga kini, kerajaan Tuanku telah menubuhkan 'taskforce' bersama agensi Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan supaya pelan dan usaha mitigasi kejadian banjir dilihat dalam konteks menyeluruh.
“Malah, baru-baru ini patik turut menekankan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bahawa kita tidak boleh melengahkan masa dalam menggerakkan usaha mitigasi banjir sama ada dalam bentuk projek mendalamkan sungai ataupun pelebaran saliran, kolam takungan dwifungsi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan taat setia pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-79 Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Sultan Selangor semasa bertitah pada majlis perasmian Masjid Jamek Cina Muslim Klang menzahirkan kekesalan dan dukacita dengan tahap kebersihan di Bandaraya Diraja Klang kerana terdapat banyak kawasan yang masih kotor dan tidak teratur termasuk sungai yang dicemari teruk dengan sampah sarap.
Baginda bertitah sudah berkali-kali menegur serta menasihati pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk mengambil langkah efektif serta perancangan rapi dalam mengatasi masalah banjir di bandar raya itu dan beberapa daerah lain di Selangor namun hingga kini banjir tetap berlaku berulang kali setiap tahun.
Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan sekurang-kurangnya RM1.774 bilion telah diperuntukkan untuk usaha berkenaan dengan RM574.5 juta digunakan di daerah Klang manakala RM1.2 bilion bagi daerah Petaling.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga dalam usaha menggerakkan Skim Jaminan Air Mentah yang membolehkan loji rawatan air terus menyalurkan air mentah daripada Sistem Takungan Air Mentah Hiliran Sungai (HORAS) sementara sebagai antara usaha menangani insiden pencemaran air mentah di sungai.
“Dengan kos RM320 juta ini, patik dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa hingga kini dua daripada empat pakej utama telah siap sepenuhnya manakala dua kerja-kerja pelencongan sungai di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, serta 3 akan siap sepenuhnya pada bulan ini,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, setakat Isnin lepas (9 Disember) Selangor telah mencatat kutipan hasil berjumlah RM2.593 bilion iaitu 118 peratus berbanding sasaran kutipan hasil 2024 berjumlah RM2.2 bilion.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga dalam proses akhir untuk melancarkan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, Sepang susulan kejayaan IC Design Park pertama di Puchong.
“Inisiatif ini terhasil daripada kerjasama utuh dan kesefahaman erat antara kerajaan Tuanku dan kerajaan Persekutuan yang ingin meningkatkan nilai ekonomi dan peluang pekerjaan bergaji tinggi di Selangor bagi mencapai nilai eksport lebih RM100 bilion dalam industri ini menjelang 2030,” katanya.
Amirudin memaklumkan kerajaan negeri akan melancarkan Dasar 'Speed' Selangor pada April 2025 yang akan memberikan tumpuan kepada industri baharu antaranya kecerdasan buatan (AI) dan industri sokongan, semikonduktor termasuk elektrik dan elektronik serta aeroangkasa dan bidang pembuatan berteknologi tinggi.
Dalam pada itu, Amirudin yang mewakili Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Selangor turut menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Sultan Selangor dan institusi Raja Melayu.
“(Patik) bertekad untuk terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang Undang Tubuh Negeri Selangor, hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian Islam,” katanya. Bernama
Banjir di Gua Musang hampir pulih
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU - Banjir di Gua Musang hampir pulih dengan jumlah mangsa berkurangan secara drastik kepada 41 pada petang Rabu berbanding 307 pagi hari sama.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa daripada 10 keluarga itu berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1.
Ia termasuk tujuh warga emas dan dua orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang berada pada tahap waspada dengan aras air 56.43 meter (m).
Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi tahap bahaya dengan paras air 9.09m manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai (24.21m) dan Sungai Lebir di Kampung Tualang (35.27m) melepasi paras amaran.
Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II, Nik Mohd Radzi Muhamad, berkata, keadaan paras air di Sungai Galas menunjukkan trend menurun berbanding malam Selasa.
“Kawasan di Limau Kasturi paling rendah dan semalam (Selasa) Sungai Galas di Limau Kasturi naik tetapi hari ini (Rabu) menurun dengan keadaan cuaca di daerah ini cerah.
“Bagaimanapun pihak kami meneruskan pemantauan secara berkala empat kali setiap hari di lokasi tumpuan iaitu Kampung Lembaga, Limau Kastam, Bertam dan Setelu,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Selasa, daerah Gua Musang dilanda banjir melibatkan penduduk terjejas di Limau Kasturi, Felda Chiku 7 dan Batu 6.
KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 4,751 orang yang masih berada di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini.
Daripada jumlah itu, seramai 4,460 mangsa daripada 1,086 keluarga berada di 10 PPS di Kemaman. Seramai 291 mangsa daripada 71 keluarga pula masih ditempatkan di enam PPS di Dungun.
Cuaca yang agak baik sejak pagi tadi membolehkan 1,102 mangsa pulang ke rumah masing-masing setelah air surut sepenuhnya. – UTUSAN
KEMAMAN: Yang Dipertuan Muda Terengganu,Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan berangkat menyantuni mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini, hari ini.
Tengku Muhammad Ismail turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 242 keluarga mangsa banjir yang ditempatkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik dan SK Pengkalan Ranggon.
Tengku Muhammad Ismail yang tiba di SK Kemasik kira-kira pukul 10 pagi dengan berpakaian santai sempat bertanya khabar dan mengurniakan sumbangan berupa kotak barangan keperluan asas serta wang tunai bagi setiap keluarga.
Selepas itu, Tengku Muhammad Ismail diberikan taklimat mengenai penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan oleh Pemangku Pegawai Daerah Kemaman, Fadli Yusof Zakaria yang juga Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kemaman
Tengku Muhammad Ismail kemudian menaiki pacuan empat roda meredah laluan yang dinaiki air untuk menyantuni mangsa banjir di SK Pengkalan Ranggon.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Mohd Safar Wan Nik, 40, berkata, kehadiran Tengku Muhammad Ismail sedikit sebanyak dapat mengubat kesusahan yang dialami mangsa banjir. – UTUSAN