PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir cetus 7 penyakit bawaan organisma sangat berbahaya

Banjir cetus 7 penyakit bawaan organisma sangat berbahaya

Bencana banjir yang sering berlaku sejak kebelakangan ini dibimbangi membawa sekurang-kurangnya tujuh jenis penyakit bawaan organisma seperti bakteria dan parasit, yang dikesan sangat berbahaya kepada kesihatan manusia.

Antara penyakit paling ditakuti, namun sering dipinggirkan ialah demam kepialu, kolera dan leptospirosis, berpunca daripada bakteria serta demam denggi dan Hepatitis A yang disebabkan oleh virus.

Jangkitan parasit bawaan air seperti giardiasis, cryptosporidiosis dan blastosistosis juga berisiko menimbulkan pelbagai masalah kesihatan, kerana ia sering terlepas pandang, terutama selepas banjir berakhir.

Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Vinoth Kumarasamy, berkata kejadian banjir yang meningkat akibat perubahan cuaca ekstrem global serta diburukkan lagi dengan kehadiran monsun mampu meningkatkan risiko kesihatan secara signifikan.

Katanya, banjir mempercepatkan penularan pelbagai patogen seperti bakteria, virus dan parasit yang berkembang dalam air tercemar.

“Sebagai contoh, pada Mei 2024, banjir di selatan Brazil mencetuskan wabak leptospirosis terutama di kawasan bandar dengan tahap sanitasi rendah.

“Penemuan serupa menunjukkan banjir mempercepatkan penyebaran bakteria, virus dan parasit yang berkembang dalam air tercemar.

“Kajian diterbitkan dalam jurnal Water tahun lalu mendapati populasi bakteria di sungai meningkat secara ketara sewaktu monsun, sekali gus meningkatkan risiko penyakit bawaan air.

“Penduduk di kawasan bandar pertengahan sungai lebih terdedah kerana keadaan persekitaran yang menggalakkan penularan penyakit,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Penyakit bakteria

Menurut Dr Vinoth, penyakit bakteria seperti demam kepialu, kolera dan leptospirosis adalah antara yang paling membimbangkan ketika banjir.

Kejadian banjir yang meningkat akibat perubahan cuaca ekstrem global serta diburukkan lagi dengan kehadiran monsun mampu meningkatkan risiko kesihatan Dr Vinoth Kumarasamy,

“Demam kepialu disebabkan oleh Salmonella enterica serotip Typhi, yang ditularkan melalui makanan atau air tercemar. Gejalanya termasuk demam tinggi, sakit kepala serta masalah pencernaan seperti loya dan sakit perut. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti perforasi usus atau septisemia.

“Kolera pula berpunca daripada Vibrio cholerae, dengan gejala cirit-birit berair akut yang boleh menyebabkan dehidrasi, kejutan dan kematian jika tidak ditangani segera.

“Leptospirosis atau jangkitan zoonotik yang tersebar melalui air tercemar dengan air kencing tikus, sering ditemui dalam air banjir. Ia biasanya menunjukkan gejala seperti demam tinggi dan sakit otot, namun dalam kes teruk, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kegagalan hati, meningitis atau komplikasi pernafasan,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Vinoth berkata, banjir memburukkan lagi penularan penyakit bawaan vektor seperti demam denggi.

“Air bertakung selepas banjir menyediakan tempat pembiakan ideal bagi nyamuk Aedes yang menyebarkan virus denggi. Ia mengakibatkan pesakit mengalami demam teruk, sakit sendi dan otot, serta dalam beberapa kes, demam berdarah yang boleh mengancam nyawa.

“Satu lagi risiko kesihatan ialah Hepatitis A, yang tersebar melalui makanan atau air tercemar. Penyakit ini menyebabkan gejala seperti penyakit kuning, keletihan, loya, sakit perut dan masalah pencernaan,” katanya.

Mengulas mengenai ancaman parasit bawaan air seperti Giardia, Cryptosporidium dan Blastocystis, beliau berkata parasit ini boleh menyebabkan penyakit gastrousus seperti giardiasis, cryptosporidiosis, dan blastosistosis.

“Parasit ini biasanya ditularkan melalui sisa atau telur dalam air tercemar dan boleh menyebabkan gejala seperti cirit-birit, loya, muntah dan sakit perut.

“Kanak-kanak dan warga emas lebih terdedah kepada dehidrasi teruk akibat jangkitan ini yang boleh membawa kepada komplikasi kesihatan serius jika tidak dirawat segera.

“Kanak-kanak yang mungkin menelan air banjir ketika bermain perlu dipantau dengan teliti. Jika menunjukkan gejala seperti kekejangan perut, cirit-birit atau demam, rawatan perubatan segera diperlukan. Rawatan awal boleh mencegah komplikasi dan memperbaiki proses pemulihan,” katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search