Jumlah mangsa bah tiga negeri kekal
- Admin UKK
- Berita
Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak, Johor dan Pahang masih kekal setakat pagi semalam.
Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan, jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana itu kekal dengan 186 individu membabitkan 57 keluarga di daerah Manjung setakat jam 8 pagi semalam dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas.
Pada masa sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan turut memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada tahap amaran iaitu setinggi 165.79 meter berbanding paras normal 165.10 meter.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan berterusan dijangka di sekitar kawasan Hulu Perak.
Situasi banjir di Johor juga tidak menunjukkan perubahan dengan jumlah mangsa kekal 40 orang daripada 12 keluarga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa terjejas akibat bencana itu masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat.
“Selain itu hanya satu sungai di daerah Segamat dilaporkan melepasi paras amaran iaitu stesen Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.85 meter,” katanya.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir kekal 41 orang daripada 12 keluarga yang ditempatkan di tiga membabitkan dua daerah terjejas iaitu Bera dan Maran.
Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan 30 mangsa berada di PPS di Bera iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh dan Balai Raya Kampung Seberang Guai, sementara 11 orang di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran.