PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Polis sahkan ada aktiviti korek tanah

Polis sahkan ada aktiviti korek tanah

Subang Jaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat kegiatan mengorek tanah berhampiran tempat letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, pada 30 Mac lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Hussein Omar Khan, berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja pengorekan tanah itu menjadi punca kejadian terbabit.

Beliau berkata, tiga unsur yang mendorong letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights itu ialah gas, udara dan percikan api.

Katanya, setakat ini seramai 56 saksi sudah dipanggil untuk menjalani sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan kejadian terbabit.

“Polis sedang mengumpul maklumat daripada seorang saksi kejadian iaitu pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian.

“Kerja mengorek tanah dibuat bagi menggantikan paip kumbahan, terletak kira-kira 30 meter (m) dari lokasi letupan. Namun, kita belum mengenal pasti, sama ada mereka turut membuat kerja pada hari pertama Aidilfitri atau sebaliknya.

“Berdasarkan keterangan saksi, eskavator yang dilihat pada hari terbabit dikatakan mahu dibawa keluar dari tapak projek, tetapi mereka dikatakan tidak sempat berbuat demikian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Shukri Ishak serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razzali Wan Ismail.

Satu daripada paip pecah

Hussein berkata, terdapat tiga paip gas natural yang membawa bahan berkenaan dari Terengganu ke selatan dan utara Semenanjung serta Thailand.

“Ketika kejadian, satu daripada tiga paip terbabit dikesan pecah, menyebabkan kebocoran gas yang mengakibatkan letupan terbabit,” katanya

Selasa lalu, kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500m yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer dari tempat kejadian.

Hussein berkata, polis membuka satu kertas siasatan bagi mengenal pasti, sama ada wujud unsur jenayah yang mengakibatkan letupan gas bawah tanah itu.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka bagi melihat sama ada wujud jenayah khianat atau kecuaian.

Katanya, kertas siasatan itu memberi kuasa kepada polis memanggil sesiapa sahaja untuk mendapatkan maklumat.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search