Sukarelawan United Sikh kerjasama dengan SMART dalam operasi di Nepal
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Pasukan sukarelawan, United Sikhs Malaysia yang kini berada di Kathmandu akan bertemu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pegawai Kementerian Luar Negeri bagi menyelaras usaha bantuan banjir.
Pasukan A yang terdiri daripada lima ahli bertemu pegawai terbabit kira-kira jam 6.20 petang, dengan SMART memberi tumpuan kepada usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih hilang.
Sementara sukarelawan berkenaan menyediakan bantuan dan tempat perlindungan sementara kepada komuniti yang terjejas.
"Kami menyelaras usaha antara satu sama lain," kata Pengarah Undang-Undang United Sikhs Malaysia, Raspreet Kaur, kepada New Straits Times.
Pasukan itu berlepas ke Dhunche di daerah Rasuwa, kira-kira 120 kilometer ke utara Kathmandu, hari ini untuk menyediakan pangkalan operasi.
Perjalanan itu dijangka mengambil masa antara 10 hingga 12 jam.
Dari situ, mereka akan menurunkan bekalan bantuan sebelum meneruskan perjalanan menggunakan laluan luar jalan ke Syapru Besi, kira-kira 40 kilometer (km) dari sempadan Nepal-Tibet.
Raspreet berkata, tumpuan segera pasukan itu adalah membina tempat perlindungan sementara untuk keluarga yang terjejas.
Katanya, mereka turut dihubungi penduduk tempatan Nepal, Raju Thapa, yang memohon bantuan untuk 98 kanak-kanak yang ibu bapa mereka masih hilang.
Pasukan itu akan menyediakan barangan keperluan, termasuk bahan mewarna untuk kanak-kanak berkenaan.
"Pasukan ini memberi tumpuan untuk sampai ke komuniti yang terjejas dengan selamat serta menyediakan bantuan sedaya upaya," katanya.
Kumpulan sukarelawan sebelum ini menyediakan kelambu dan kanvas tarpaulin bernilai RM28,000 untuk kira-kira 300 keluarga yang terjejas.
Bekalan berkenaan sudah dihantar ke sebuah gurdwara di Kathmandu.
Pasukan A dijangka berada di Nepal kira-kira dua minggu, manakala pasukan lain bersiap sedia untuk digerakkan bergantung kepada keperluan di lapangan.
Sementara itu, pasukan SMART MAS-01 tiba di Kathmandu semalam bagi melaksanakan misi kemanusiaan dan bantuan bencana selepas Nepal meluluskan penghantaran pasukan Malaysia.
Pasukan itu membawa 12.4 tan peralatan, termasuk kelengkapan mencari dan menyelamat, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi, peralatan khusus menyelamat di terowong serta kenderaan.
