Operasi pembenihan awan diteruskan di Sarawak
- Admin UKK
- Berita
ISKANDAR PUTERI:Β Operasi pembenihan awan (OPA) akan diteruskan bagi membantu mengurangkan tahap pencemaran udara susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa bahagian di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata dua bahagian, iaitu Kuching dan Sri Aman, merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), berkata keadaan di Serian yang diisytiharkan darurat semalam mula menunjukkan perkembangan positif apabila bacaan IPU semakin menurun.
βKita harap sempena dengan perayaan Hari Malaysia di Kuching, dengan adanya operasi pembenihan awan dapat menurunkan tahap indeks sebaran udara di negeri Sarawak khususnya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan Educity di sini, hari ini.
Berdasarkan bacaan pada jam 9 pagi tadi, Kuching merekodkan IPU 235, manakala Sri Aman pula 214, masing-masing pada tahap sangat tidak sihat.
Serian pula merekodkan bacaan IPU 184, menunjukkan penurunan berbanding bacaan sebelumnya.
Terdahulu, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, OPA di seluruh Sarawak sedang dilaksanakan sehingga esok bagi mengurangkan masalah jerebu yang melanda negeri berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengisytiharkan darurat di seluruh bahagian Serian, Sarawak, kelmarin.
