Malaysia berdepan risiko El Nino ekstrem
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Fenomena El Nino diramal bermula bulan ini dengan jangkaan meningkatkan risiko kemarau, gelombang haba dan kebakaran hutan.
Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dr. Fredolin Tangang berkata, kemas kini dikeluarkan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menerusi Pusat Ramalan Iklim (CPC) pada 18 Mei lalu menunjukkan kebarangkalian kemunculan El Nino pada Jun hingga Ogos meningkat kepada lebih 80 peratus berbanding sekitar 60 peratus dalam ramalan terdahulu.
“Bagi tempoh sehingga penghujung tahun pula, kebarangkaliannya hampir mencecah 100 peratus yang bermaksud fenomena ini hampir pasti berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, NOAA turut meletakkan status ‘El Nino Watch’ atau dikenali sebagai Pemerhatian El Nino manakala pada 15 Mei lalu, Pusat Iklim Asia Pasifik (APCC) di Busan, Korea Selatan meletakkan status El Nino bagi tempoh Jun hingga November 2026.
“Pelbagai model di bawah Pusat Eropah untuk Ramalan Cuaca Julat Sederhana (ECMWF) dan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S) menunjukkan hampir 100 peratus model mereka meramalkan El Nino akan berlaku bermula Jun dan berterusan sehingga penghujung tahun serta awal 2027.
“Cerapan terkini yang dikeluarkan Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat menunjukkan peningkatan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik telah pun bermula.
“Persoalan utama ketika ini bukan lagi sama ada El Nino akan berlaku atau tidak, sebaliknya sejauh mana kekuatannya,” katanya.
Fredolin berkata, istilah yang lebih tepat digunakan dalam penerbitan saintifik adalah El Nino ‘ekstrem’ iaitu apabila peningkatan suhu permukaan laut di kawasan Nino3.4 melebihi 2.0 darjah Celsius.
“Sejak lebih lima dekad lalu, hanya beberapa episod El Nino yang tergolong dalam kategori ini termasuk pada tahun 1972/73, 1982/83, 1997/98 dan 2015/16. Antara episod tersebut, El Nino 1997/98 dan 2015/16 dianggap paling kuat dalam rekod moden,” katanya.
Beliau berkata, NOAA menganggarkan kebarangkalian El Nino kali ini mencapai kategori ekstrem sekitar 30 peratus.
“Namun APCC di Busan meletakkan kebarangkalian itu melebihi 90 peratus manakala model-model di bawah ECMWF dan C3S menunjukkan lebih 50 peratus model mereka meramalkan El Nino berkategori ekstrem.
“Berdasarkan kepakaran dan pemerhatian saya terhadap perkembangan semasa, El Nino kali ini berpotensi berkembang menjadi episod yang setanding dengan El Nino 1997/98 dan 2015/16, iaitu dalam kategori ekstrem.
“Pandangan ini disokong oleh data terkini berkaitan penurunan lapisan termoklin di Lautan Pasifik yang kini menunjukkan corak hampir serupa dengan peringkat awal perkembangan El Nino 1997/98 dan 2015/16,” katanya.
Beliau memberi peringatan, El Nino ekstrem berpotensi membawa kemarau berpanjangan, gelombang haba serta peningkatan risiko kebakaran hutan di Malaysia dan negara jiran yang boleh mencetuskan episod jerebu tempatan serta rentas sempadan.
“Fenomena ini dijangka memberi kesan terhadap sumber air, penurunan hasil pertanian serta kesan kepada kesihatan awam,” katanya.-UTUSAN.
