PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir Nepal: SMART selamat tiba di Kathmandu

Banjir Nepal: SMART selamat tiba di Kathmandu

KUALA LUMPUR - Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Malaysia selamat tiba di Kathmandu, Nepal pada Sabtu bagi menyertai misi bantuan kemanusiaan dan mencari serta menyelamat (HADR) susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda negara berkenaan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, pasukan SMART MAS-01 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan.

Menurutnya, pasukan berkenaan selesai menjalani proses ketibaan dan protokol misi termasuk urusan pelepasan logistik serta pengesahan manifest anggota pada jam 4.30 petang waktu tempatan.

"Ketika kemas kini disampaikan, pasukan sedang bergerak ke Kedutaan Besar Malaysia di Nepal bagi menerima taklimat situasi semasa.

"Penyelarasan seterusnya akan dibuat bersama Kedutaan Besar Malaysia dan agensi pengurusan kecemasan tempatan bagi menentukan aturan penugasan pasukan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kawasan terakhir rakyat Malaysia dikesan menjadi tumpuan utama SMART dalam misi SAR di Nepal.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, bagaimanapun keutamaan pasukan bukan hanya mencari rakyat Malaysia, sebaliknya menyelamatkan semua mangsa yang ditemui ketika operasi berkenaan.

NADMA berkata, pelaporan harian misi akan diselaraskan antara agensi itu dengan Kedutaan Besar Malaysia di Nepal.

"Kedudukan keseluruhan pasukan adalah baik dan tiada sebarang isu dilaporkan setakat ini," katanya.

Sebelum ini, seramai 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda negara berkenaan.

Pasukan diketuai Komander Kontinjen, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa dan membawa kira-kira 12.4 tan peralatan termasuk alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi, peralatan khas menyelamat, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah trak muatan 10 tan.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search