KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengumumkan peruntukan tambahan RM7 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, peruntukan itu adalah tambahan kepada peruntukan sebanyak RM5 juta yang telah diumumkannya semalam, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk membantu mangsa banjir ialah RM12 juta.
“Daripada RM7 juta (peruntukan tambahan) itu, RM2 juta adalah daripada MAIWP, manakala bakinya daripada Yayasan Taqwa MAIWP. Sumbangan tambahan ini melihat kepada keadaan semasa banjir yang semakin memburuk dan akan disalurkan untuk mangsa banjir khususnya di Pantai Timur,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Soul Journey Belia Asnaf Sempena 50 Tahun MAIWP, di Kolej Profesional Baitulmal di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Na’im menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dan tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan diri, seperti video seorang lelaki menunaikan solat dalam banjir di hadapan rumah, yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Islam mengajarkan umatnya agar tidak melakukan sesuatu sehingga memudaratkan diri… kalau datang bah (banjir) besar dia boleh hanyut. Ada kaedah yang lebih selamat dan kita juga kena berhati-hati,” katanya.
SHAH ALAM: 858 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) termasuk yang tinggal di luar kampus di Kelantan yang terjejas banjir, diselamatkan dan ditempatkan di penempatan sementara di kampus UiTM.
Universiti itu menerusi kenyataan memaklumkan, mereka yang terjejas membabitkan 548 penuntut yang ditempatkan di kampus UiTM cawangan Kelantan dan 310 mahasiswa luar kampus dipindahkan ke kampus UiTM Machang.
Menurutnya, pihak universiti mengaktifkan Bilik Gerakan Operasi Bencana Negeri (JOBN) pada 12 tengah malam, 26 November lalu yang beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat dan tindakan pengurusan bencana banjir.
“Seramai 50 orang sukarelawan UiTM terdiri daripada kakitangan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Non Residen (JPKNR) serta unit pakaian seragam.
“Mereka bertanggungjawab dalam pemindahan mangsa banjir, menguruskan pendaftaran mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS), bertugas di bilik gerakan dan menyediakan penempatan sementara di kampus,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan lagi, operasi menyelamat dilaksanakan dengan kerjasama agensi keselamatan utama iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, pihak UiTM juga menyediakan PPS di surau kolej kediaman dengan bantuan makanan disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sumbangan kakitangan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak persendirian.
Katanya, UiTM Shah Alam turut menggerakkan bantuan pascabanjir dari kampus cawangan lain untuk menyokong mangsa banjir dalam kalangan warga universiti.
Tambahnya, UiTM Cawangan Perlis, Terengganu dan Kedah turut berada dalam langkah kesiapsiagaan dengan mengaktifkan bilik gerakan bencana masing-masing, malah terdapat permintaan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis untuk menjadikan UiTM Cawangan Perlis sebagai PPS sekiranya keadaan banjir di negeri itu bertambah buruk.
UiTM akan memastikan kebajikan warga universiti dan masyarakat sekitar menjadi keutamaan dengan kerjasama pihak pengurusan, kakitangan, pelajar serta agensi luar.
Raub kembali dilanda banjir
- Admin UKK
- Berita
RAUB - Raub kembali dilanda banjir apabila 473 mangsa di daerah itu dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS) pada Sabtu.
Menerusi portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 8.15 pagi pada Ahad, jumlah tersebut membabitkan 149 keluarga daripada tiga mukim di daerah itu.
"Antara PPS yang dibuka Masjid Kampung Pintu Padang; Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang; Balai Raya Kampung Ulu Jelu; Dewan Lechar; Balai Raya Kampung Bukit Pampong dan Balai Raya Kampung Peruas.
"Turut dibuka di Balai Raya Kampung Pamah Rawas, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Balai Raya Kampung Pamah Kulat dan Balai Raya Kampung Kuala Keloi," ujar portal tersebut.
Jelas portal itu lagi, mangsa membabitkan 187 lelaki dan 186 wanita dewasa; 47 kanak-kanak lelaki dan 35 kanak-kanak perempuan; 12 bayi lelaki dan 6 bayi perempuan.
Sebelum itu, Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh pada 10 November lalu.
Sementara itu, setakat jam 6 pagi tadi (Ahad), beberapa sungai di daerah tersebut mencatatkan paras bahaya.
Antaranya Sungai Dong di Pasir Bayam mencatatkan 120.09 meter(m) dan Sungai Gali di Ulu Gali (123.60m).
Kuala Lumpur: Banjir di sembilan negeri makin buruk dengan jumlah mangsa di 37 daerah ialah 149,606 orang daripada 44,795 keluarga yang ditempatkan di 698 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 7.30 pagi tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor.
Kelantan masih kekal negeri paling teruk dilanda banjir kali ini dengan sebanyak 283 PPS diaktifkan untuk menempatkan 95,783 orang daripada 29,640 keluarga yang terjejas di 10 daerah.
Di Terengganu, banjir yang melanda lapan daerah menyebabkan 42,179 mangsa daripada 11648 keluarga ditempatkan di 313 PPS.
Mangsa banjir di Kedah juga naik dengan mendadak apabila seramai 7,954 orang daripada 2,440 keluarga di tujuh daerah ditempatkan di 52 PPS manakala di Negeri Sembilan pula, 13 PPS di tiga daerah dibuka bagi memberi perlindungan kepada 1,925 mangsa daripada 540 keluarga.
Keadaan banjir di Johor merekodkan 588 mangsa membabitkan 174 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS di dua daerah manakala di Pahang , sebanyak 405 mangsa daripada 134 keluarga ditempatkan di 15 PPS.
Sementara itu, banjir di Perlis ada menunjukkan pengurangan dengan 363 mangsa daripada 113 keluarga ditempatkan di dua PPS yang dibuka di dua daerah begitu juga di
Selangor dengan bilangan mangsa 102 orang daripada 32 keluarga di satu PPS.
Di Melaka keadaan banjir tidak berubah dengan lima PPS diaktifkan bagi memberi perlindungan kepada 307 mangsa daripada 74 keluarga di tiga daerah.
Alor Setar: Empat laluan ditutup sepenuhnya dan dua lagi laluan ditutup separa, di daerah ini, berikutan banjir.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, laluan itu membabitkan Jalan Lengkuas /Kampung Derang / Batu 11 Jalan Pokok Sena yang ditutup dari Kilometer (KM) 9.80 ke 11.50 kerana dinaiki air.
Berikutan itu, laluan alternatif adalah Jalan Langgar/ Sungai Mati/Bukit Pinang - Kepala Batas dan Hutan Kampung ke Langgar.
Beliau berkata, Jalan Gunung Keriang iaitu jalan berhampiran tapak projek terusan banjir juga tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.
"Berikutan itu, jalan alternatif adalah Jalan Sungai Baru - dari Kubang Pasu melalui Jalan Sungai Baru - Kuala Sungai dan Jalan Suka Menanti," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, Siti Nor Salawati berkata, Jalan Bukit Pinang - Lengkuas juga ditutup dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja, dan pengguna boleh menggunakan laluan Jalan Pinang Jaya - Telaga Mas.
"Terowong Bukit Pinang juga ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan dan orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif lain iaitu Jalan Kepala Batas -Bukit Tinggi - Bukit Pinang," katanya.
Beliau berkata, bagi penutupan separa pula membabitkan Jalan Kepala Batas - Hutan Kampung yang boleh dilalui kenderaan berat.
"Orang ramai boleh menggunakan laluan Lebuhraya Tol Alor Setar utara ke susur keluar Bukit Pinang.
"Selain itu, Lebuhraya Darul Aman dari arah Alor Setar (hadapan futsal) hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja dan orang ramai boleh menggunakan lorong sebelah menghala ke Alor Setar," katanya.