OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara

Dasar Pengurangan Risiko Bencana
 
Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara (Dasar DRR) telah dibangunkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri selari dengan instrumen global iaitu Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030. Dasar DRR merupakan satu dokumen yang bersifat holistik yang akan menjadi rujukan utama dan panduan kepada pihak berkepentingan dalam pengurusan risiko bencana di semua peringkat dalam melaksanakan inisiatif yang berkaitan DRR.
 
Inisiatif membangunkan Dasar DRR Negara telah bermula sejak bulan Mac 2021 di peringkat NADMA dan seterusnya libat urus bersama-sama agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri turut menyokong bahawa satu dasar mengenai DRR di peringkat Kebangsaan untuk diwujudkan. Satu dokumen dasar yang berfokuskan DRR telah dilihat menjadi satu keperluan apabila risiko bencana sedia ada dan bencana baharu yang semakin bertambah. Fenomena dan bencana akibat perubahan iklim telah semakin nyata. Landskap bencana semakin kompleks dan pelbagai di peringkat global mahupun negara. Manifestasi dan pengalaman pengurusan pandemik COVID-19 yang melanda masa itu membuktikan bencana adalah bersifat sistemik dan saling berkait seterusnya menunjukkan bahawa pengurusan risiko bencana secara bersepadu merupakan satu keperluan dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan
 
Oleh yang demikian, tumpuan dasar pengurusan bencana negara mula diubah dengan juga memberi penekanan terhadap usaha-usaha mitigasi pengurangan bencana. Selain daripada lebih berkesan, penekanan terhadap usaha-usaha mitigasi adalah selaras dengan komitmen antarabangsa Malaysia di bawah Kerangka Kerja Sendai. Kerangka Kerja Sendai adalah satu persefahaman antarabangsa yang memberi garis panduan asas amalan pengurusan bencana terbaik dunia dengan memberi penekanan kepada program-program mitigasi berbanding usaha menyelamat dan rehabilitasi.
 
Dasar DRR menerangkan tujuan dan rasional inisiatif untuk hala tuju DRR yang disusun mengikut Prinsip, Teras Strategik dan Sasaran Utama untuk dilaksanakan secara sistematik dengan disokong oleh mekanisme tadbir urus dan kewangan yang berkesan. Dokumen ini menggariskan empat (4) Prinsip yang utama iaitu: perkongsian tanggungjawab; keterangkuman; penyertaan; dan penyemtepatan. Ini diikuti dengan lima (5) Teras Strategik yang menjadi pemacu bagi tindakan yang bersifat saling melengkapi dasar dan mekanisme sedia ada iaitu: Menambah baik pemahaman risiko, mengukuhkan tadbir urus; melabur dalam pengurangan risiko bencana; meningkatkan kesiapsiagaan untuk tindak balas bencana yang efektif dan pemulihan selepas bencana; dan membangunkan keupayaan dan penglibatan komuniti. Prinsip dan Teras Strategik pula diterjemahkan melalui pelaksanaan enam (6) Sasaran Utama merangkumi: Mengurangkan bilangan orang yang terjejas bencana menjelang tahun 2030; mengurangkan kerugian langsung ekonomi akibat bencana; mengurangkan kerosakan kepada infrastruktur kritikal dan gangguan kepada bekalan asas; meningkatkan bilangan negeri, daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai strategi DRR menjelang 2030; mengukuhkan kerjasama antarabangsa; dan meningkatkan ketersediaan dan akses kepada sistem amaran awal pelbagai bahaya (multi-hazard), maklumat risiko dan penilaian risiko bencana
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statcounter Statistik Pengunjung

Search