JAKARTA, 4 Ogos: Operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir besar yang melanda Kota Padang, Sumatera Barat masih diteruskan selepas hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan penempatan dan jalan utama ditenggelami air.
Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, banjir yang berlaku pada Isnin menjejaskan tiga daerah utama iaitu Kuranji, Koto Tangah dan Bungus Teluk Kabung selepas hujan lebat berterusan selama kira-kira enam jam.
Menurutnya, pasukan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Kota Padang bersama agensi berkaitan digerakkan sejurus menerima laporan kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat serta memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat.
“BPBD Kota Padang bersama kerajaan tempatan segera melaksanakan tindakan kecemasan dengan memindahkan penduduk yang terjejas menggunakan bot polietilena ke kawasan yang lebih selamat.
“Pada masa sama, pasukan di lapangan terus menjalankan penilaian pantas dan pendataan bagi mengenal pasti impak sebenar bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, proses pendataan melibatkan jumlah mangsa, korban jiwa serta kerugian material masih dijalankan oleh BPBD Kota Padang.
Rakaman yang diterima pihak berkuasa turut menunjukkan arus banjir deras menghanyutkan beberapa kenderaan di kawasan dinaiki air.
Abdul Muhari menjelaskan, paras air di beberapa lokasi masih belum surut sehingga pagi ini berikutan hujan yang berterusan di sebahagian kawasan terjejas.
Menurutnya, BNPB terus menyelaras bantuan bersama kerajaan wilayah, BPBD dan agensi berkaitan bagi memastikan operasi pemindahan mangsa serta penyaluran bantuan kecemasan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau menambah, BNPB akan terus memantau perkembangan situasi di Padang serta menyalurkan sokongan kepada BPBD bagi mempercepatkan usaha menyelamat, penilaian kerosakan dan bantuan kepada mangsa terjejas.-TVS
PETALING JAYA – Penduduk di Kuala Penyu, Beaufort, Tawau dan Semporna di Sabah serta seluruh Wilayah Persekutuan Labuan diingatkan supaya berwaspada susulan amaran ribut petir sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan, kawasan terlibat di Sabah ialah Kuala Penyu dan Beaufort di Pedalaman, selain Tawau dan Semporna di bahagian Tawau.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku sehingga pukul 12 tengah hari, Rabu,” katanya, hari ini. – KOSMO! ONLINE
PETALING JAYA: Kedah, Perlis dan Kelantan berkemungkinan tinggi berdepan ancaman kemarau yang agak teruk ketika fenomena Super El Nino yang dijangka mencapai tahap kemuncak menjelang hujung tahun ini.
Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, hal itu mengambil kira kedudukan geografi ketiga-tiga negeri itu yang terdedah kepada kesan pengurangan taburan hujan.
Beliau berkata, jangkaan itu merangkumi potensi penurunan purata taburan hujan mingguan yang boleh melebihi 20 peratus berbanding kadar kebiasaan.
“Berdasarkan ramalan, impak gelombang haba ini mungkin boleh mencapai kemerosotan taburan hujan lebih daripada 20 peratus.
“Malah, terdapat minggu yang berisiko berdepan situasi tanpa hujan langsung,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan fenomena Super El Nino yang dijangka melanda menjelang hujung tahun ini berpotensi mencetuskan cuaca panas dan kering melampau di seluruh negara.
Situasi tersebut dilaporkan berisiko mengulangi episod kemarau ekstrem yang pernah melanda negara semasa fenomena Super El Nino pada tahun 1997 dan 2016.
Menurut Aweng, selain Kedah, Perlis dan Kelantan, kawasan bandar besar turut berkecenderungan tinggi menerima kesan fenomena haba yang agak serius.
“Struktur pembinaan di kawasan bandar menyerap haba pada waktu siang dan melepaskannya semula pada waktu malam.
“Situasi ini ditambah pula dengan ketiadaan pokok hijau yang sepatutnya menyediakan teduhan, memantulkan cahaya matahari serta merendahkan suhu menerusi proses transpirasi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, data yang lebih terperinci dan spesifik mengenai taburan hujan serta perubahan suhu harian perlu dirujuk terus kepada Jabatan Meteorologi.
KUCHING, 2 Ogos: Projek Tebatan Banjir Fasa Dua di Taman Desa Wira, Batu Kawa mencatat kemajuan memberangsangkan apabila pelaksanaannya kini berada 11 peratus di hadapan jadual asal.
Projek bernilai lebih RM36.6 juta yang bermula pada Januari lalu itu dijangka siap pada Julai 2027.
Skop projek merangkumi pembinaan kolam takungan, rumah pam, bilik suis utama, pencawang elektrik, kerja menaik taraf jalan, penambahbaikan sistem perparitan sepanjang 363 meter serta pembinaan tembok perlindungan banjir sepanjang satu kilometer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kemajuan projek berkenaan membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan itu.
“Kita mahu memastikan setiap pelaburan yang dibuat memberi manfaat nyata kepada rakyat. Projek tebatan banjir ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memperkukuh sistem saliran dan melindungi komuniti daripada ancaman banjir.
“Keseluruhan pelaburan bagi projek tebatan banjir Taman Desa Wira berjumlah RM51.1 juta, disokong Projek Lencongan Sungai Sarawak bernilai RM2.4 bilion yang mampu mengalihkan sehingga 60 peratus lebihan aliran air,” katanya dalam l kenyataan selepas meninjau kemajuan projek bersama pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak baru-baru ini.
Beliau turut mengingatkan kontraktor agar terus mematuhi spesifikasi dan syarat kontrak bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual dengan mengekalkan standard kualiti yang tinggi.
Fasa dua projek itu melibatkan pembinaan kolam takungan seluas 11,300 meter persegi yang mampu menampung sehingga 30,000 meter padu air hujan.
Sementara itu, fasa pertama yang telah siap di Lorong Desa Wira 7 melibatkan kos RM14.5 juta dengan pembinaan kolam takungan berkeluasan 1.4 hektar yang mampu menyimpan lebih 40,000 meter padu air hujan.
Kedua-dua fasa itu merupakan sebahagian daripada pelan menyeluruh tebatan banjir Batu Kawah yang merangkumi pembinaan empat kolam takungan bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran di kawasan berkenaan.
Kolam-kolam takungan itu berfungsi menampung lebihan air ketika hujan lebat apabila sistem saliran sedia ada mencapai kapasiti maksimum, sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar.
Selain itu, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM63.88 juta bagi membina dua lagi kolam takungan berhampiran Batu Kawa New Township dan Pusat Komersial Pine Square termasuk kerja menaik taraf sistem saliran di kawasan sekitarnya bagi memperkukuh usaha tebatan banjir di Batu Kawah.-TVS
PETALING JAYA – Pelaksanaan Projek Tebatan Banjir di laluan Lanchang menuju Mentakab dipercayai menjadi antara punca utama kesesakan teruk di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah timur sejak petang tadi.
Kesesakan berlaku apabila laluan dua lorong mengecil kepada satu lorong sehingga menyebabkan kenderaan bergerak perlahan dan beratur panjang, terutama di sekitar Lanchang serta Temerloh.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna berkongsi gambar dan video menunjukkan deretan panjang kenderaan di lebuh raya berkenaan sehingga lewat malam.
Seorang pengguna Threads, Syafiqqah Razali berkata, dia tersangkut lebih sejam berhampiran Lanchang sebelum dimaklumkan satu lorong ditutup.
“Daripada dua lorong jadi satu lorong. Jarang naik bahagian ini, hari Ahad pula ada pembinaan. Dekat dua jam, elok-elok boleh sampai Kuantan dah,” katanya.
Menurutnya, aplikasi navigasi turut memaklumkan terdapat satu lorong yang terhalang sehingga menyebabkan kenderaan bergerak amat perlahan.
Seorang lagi pengguna mendakwa mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk melepasi kawasan sesak di sekitar Temerloh.
“Tak ada apa pun di LPT Temerloh ini, dua lorong nak masuk satu lorong sahaja. Tetapi tersangkut lama betul, dari pukul 7.30 malam hingga 9 malam baru lepas,” katanya.
Pengguna Facebook, Nor Razi pula berkata, kenderaannya masih belum tiba di Temerloh selepas tersangkut dalam kesesakan panjang.
“Melekat jem LPT. Belum sampai Temerloh lagi. Masak nak sampai Kemaman,” katanya.
Dalam pada itu, perjalanan dari Bukit Besi menuju Kuantan turut dilaporkan sesak susulan peningkatan jumlah kenderaan termasuk rombongan motosikal sempena program RXZ Members 8.0.
Sementara itu, bagi arah barat, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Bentong menuju Bukit Tinggi serta dari Genting Sempah hingga ke Plaza Tol Gombak. – KOSMO! ONLINE
