Ribut landa Kuala Langat: 40 rumah, 5 sekolah rosak, 11 murid antara cedera
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Puluhan rumah, beberapa sekolah dan kemudahan awam terjejas dan rosak akibat ribut yang melanda beberapa kawasan sekitar Kuala Langat, petang semalam.
Kejadian bermula kira-kira jam 4.15 petang yang turut melibatkan angin kencang dan puting beliung itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kehilangan jiwa.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata sebanyak lima sekolah, sebuah dewan orang ramai dan sekurang-kurangnya 40 rumah rosak dalam kejadian berkenaan.
Antara premis terjejas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kg Medan, Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung.
Selain itu, Dewan Wawasan Batu 9 Kampung Medan, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9 Kampung Medan serta kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.
"Seramai 11 murid dari SRA Kampung Medan cedera ringan, namun hanya lima daripada mereka mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang, manakala enam lagi dibawa pulang oleh keluarga masing-masing.
"Selain itu, seorang lelaki cedera di bahagian mata dan seorang wanita mengalami patah kaki selepas dihempap besi ketika kejadian. Mereka dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Harmoni Batu 7, Sijangkang pada jam 8 malam tadi bagi menempatkan keluarga yang terjejas.
"Setakat ini, lapan keluarga terdiri 18 orang telah berdaftar di PPS berkenaan," katanya.
Tambahnya, bencana tahap satu diisytiharkan di Kampung Medan di Telok Panglima Garang oleh Pegawai Daerah Kuala Langat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
"Kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak sejak jam 4.30 petang semalam," katanya menasihatkan orang awam tidak menghampiri atau memasuki kawasan bencana tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Ia bagi mengelakkan kejadian tidak diingini serta tidak mengganggu operasi pembersihan dan penyelamatan yang sedang dijalankan oleh agensi berkaitan.
