OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Fenomena air pasang besar di Pulau Pinang 18 hingga 21 Oktober

Fenomena air pasang besar di Pulau Pinang 18 hingga 21 Oktober

GEORGETOWN: Pulau Pinang dijangka mengalami fenomena air pasang besar antara 18 hingga 21 Oktober ini berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024, kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Datuk Mohd Nazri Yasmin.

Mohd Nazri berkata, berdasarkan jadual itu paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang akan mencecah antara 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) dan waktu puncak air pasang besar itu adalah antara tengah malam hingga awal pagi.

"Pertembungan hujan lebat dalam tempoh sejam dengan air pasang tinggi akan berisiko tinggi kepada kawasan pinggir pantai dan sungai-sungai utama di Pulau Pinang dan mengikut piawaian JPS negeri, sekiranya jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam, ia dianggap hujan sangat lebat.

"Jika berlaku hujan lebat ketika air pasang besar berserta ribut, air laut akan melimpahi pantai dan paras air sungai utama akan naik dengan cepat, ini akan membawa kepada risiko banjir," katanya di sini hari ini.

Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran pantai atau sungai utama supaya berwaspada kerana risiko banjir adalah sangat tinggi jika hujan lebat berlaku ketika air pasang besar terbabit.

 Sementara itu, Mohd Nazri berkata, sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa, JPS Pulau Pinang telah memasang stesen amaran banjir di kawasan 'hotspot' serta berisiko banjir menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2.
 

Katanya, sehingga kini sebanyak 54 alat siren amaran banjir dipasang di seluruh negeri itu di mana 30 alat terbabit dipasang di bawah peruntukan kerajaan negeri manakala selebihnya menerusi PRAB oleh kerajaan Pusat.

Beliau berkata, alat itu akan mengeluarkan bunyi amaran kepada penduduk apabila paras air sungai di kawasan berhampiran mencapai tahap berbahaya, membolehkan mereka bersiap sedia untuk berpindah ke lokasi yang lebih selamat.

"Sebanyak 49 alat pemantau paras air sungai dipasang, terdiri daripada 19 alat di bawah kerajaan negeri dan 30 alat di bawah PRAB. Ini bertujuan untuk memantau paras air sungai. Selain itu, terdapat juga 97 stesen pengukur hujan yang dipasang, dengan 53 di bawah kerajaan negeri dan 44 di bawah PRAB," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search