KUALA LUMPUR: Seramai 8,945 mangsa banjir daripada 2,837 keluarga kini berlindung di 86 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri seluruh negara, setakat jam 7 pagi ini.
Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), angka itu membabitkan seramai 2,887 wanita dan lelaki (2,865) meliputi warga emas (816) serta orang kurang upaya (OKU - 296), selain kanak-kanak (2,905) dan bayi (288).
Pahang merekodkan jumlah PPS paling banyak beroperasi dengan 69 dibuka di lima daerah membabitkan Kuantan, Maran, Rompin, Pekan dan Cameron Highlands yang menempatkan seramai 8,148 mangsa banjir (2,618 keluarga).
Ini diikuti tiga PPS dibuka di Mersing, Johor (347 orang / 90 keluarga), manakala Terengganu pula mengaktifkan 11 PPS di Dungun dan Kemaman dengan (385 orang / 118 keluarga).
Seterusnya, 47 mangsa banjir (lapan keluarga) ditempatkan di sebuah PPS di Gombak, Selangor, dan 18 orang (tiga keluarga) berlindung di dua PPS di Miri, Sarawak.
Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula merekodkan paras air di sembilan stesen di Pahang, Terengganu, Johor dan Sarawak berada pada tahap bahaya.
Dua stesen di Pahang yang merekodkan paras air tahap bahaya ialah Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan, serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan.
Di Terengganu, lima stesen mencatat paras air tahap bahaya, iaitu tiga di Kemaman membabitkan dua stesen di Sungai Kemaman dengan ia direkodkan di Jambatan Air Putih dan Rumah Pam Paya Paman serta Sungai Tebak di Jambatan Tebak; Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut; dan Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu.
Satu stesen di Johor turut merekodkan paras air tahap bahaya, iaitu di Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat, manakala di Sarawak pula direkodkan di Miri membabitkan stesen Long Teru dan Marudi.
Mangsa banjir Aceh kibar bendera putih
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA – Penduduk wilayah Aceh di Indonesia mengibarkan bendera putih sebagai isyarat bahawa mereka tidak lagi mampu menanggung keadaan pasca banjir, tiga minggu selepas Taufan Senyar melanda tiga wilayah di pulau Sumatera, lapor saluran berita Channel News Asia (CNA) kelmarin.
Mangsa-mangsa terselamat turut menghadapi masalah kesihatan seperti demam, tifoid dan penyakit kulit, manakala bantuan pemerintah sukar sampai ke beberapa kawasan pedalaman ketika makanan semakin berkurang dan bekalan elektrik belum dipulihkan.
Ini menyebabkan penduduk mengibarkan bendera putih di hadapan rumah di kampung-kampung, sepanjang lebuh raya nasional dan di pos-pos kecemasan serta pusat pemindahan.
Menurut laporan media tempatan, pejabat-pejabat pihak berkuasa tempatan juga mengibarkan bendera putih sebagai bantahan terhadap apa yang disifatkan penduduk sebagai tindak balas perlahan pemerintah pusat terhadap bencana itu.
Indonesia turut menolak tawaran bantuan antarabangsa dengan menyatakan bahawa ia mampu mengendalikan operasi kecemasan sendiri.
“Ramai penduduk dan sukarelawan mengibarkan bendera putih kerana mereka tidak lagi mampu bertahan dengan keadaan yang semakin teruk,” kata seorang penduduk Banda Aceh, Rahmiana, yang kini menjalankan misi kemanusiaan.
Pada 25 November lalu, lebih 1,000 orang di Pulau Sumatera terkorban akibat Taufan Senyar yang melanda tiga wilayah iaitu Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.
Aceh mencatatkan jumlah korban tertinggi dengan 431 orang disahkan maut dan 32 lagi masih hilang.
Menurut laporan akhbar Jakarta Globe kelmarin, Sumatera Utara mencatatkan 355 kematian dengan 84 orang tidak dapat dikesan, manakala Sumatera Barat melaporkan 244 kematian serta 90 lagi hilang.
Kira-kira 7,000 orang cedera dan hampir 186,500 rumah rosak atau musnah.
Mangsa-mangsa kini bergelut dengan kelaparan, kekurangan bekalan yang teruk dan ketidakpastian bila bantuan mencukupi akan tiba.
Sementara itu, di Aceh Timur, bendera putih memenuhi jalan-jalan sehingga ke daerah Aceh Tamiang.
Menurut akhbar Kompas, bendera juga dipacak di sepanjang lebuh raya nasional yang menghubungkan ibu kota, Banda Aceh ke Medan di Sumatera Utara.
“Rakyat sudah putus asa dan memerlukan bantuan. Kami tidak lagi mampu bertahan,” kata seorang penduduk kampung Alue Nimbong di Aceh Timur, Bahtiar yang dipetik oleh akhbar tersebut.
Beliau berkata, sudah tiga minggu berlalu sejak banjir melanda, tetapi bantuan yang sampai ke komuniti yang terjejas masih sangat terhad.
Penduduk tempatan telah menubuhkan dapur komuniti bebas dan berkongsi sedikit makanan, tetapi bekalan semakin berkurangan serta ramai yang berlapar, demikian menurut laporan media tempatan.
“Bendera-bendera ini dikibarkan sebagai tanda darurat untuk memohon komuniti antarabangsa membantu Aceh. Pemimpin-pemimpin asing telah menawarkan bantuan tetapi Presiden Prabowo Subianto pada Isnin lalu menyatakan situasi masih terkawal,” kata Bahtiar. – AGENSI
TELUK INTAN: Mangsa banjir di Kampung Batu Tujuh, Changkat Jong di sini berdepan kesukaran besar untuk memulakan kehidupan baharu selepas hampir keseluruhan peralatan rumah musnah akibat bencana banjir yang melanda kawasan itu baru-baru ini.
Seorang mangsa, Halijah Ahmad, 48, berkata, banjir menyebabkannya mengalami kerugian besar apabila perabot dan barangan elektrik di rumahnya rosak teruk serta tidak lagi boleh digunakan.
“Mesin basuh dan peti sejuk rosak sepenuhnya kerana ditenggelami air banjir. Kenderaan seperti kereta dan motosikal juga mengalami kerosakan dan tidak boleh dibawa ke bengkel,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak menentu turut menimbulkan kebimbangan kerana hujan masih berterusan ketika ini, sekali gus menyukarkan usaha membersihkan rumah.
“Buat masa ini saya, suami dan tiga anak takut hendak membersihkan rumah kerana bimbang air akan naik semula. Untuk membersihkan bahagian dalam dan luar rumah pun mengambil masa yang lama kerana dipenuhi lumpur dan sampah,” katanya.
Tambahnya, sepanjang tempoh banjir, dia dan keluarganya menumpang di rumah anaknya di bandar Teluk Intan sebelum pulang ke rumah sendiri selepas air surut dua hari lalu.
“Apabila pulang, kami dapati semua barang di dalam rumah sudah rosak, bercampur lumpur dan sampah. Memang sedih melihat keadaan rumah,” katanya.
Halijah berkata, meskipun menyedari risiko banjir, dia tidak mempunyai pilihan untuk berpindah ke kawasan lebih tinggi kerana rumah tersebut merupakan milik keluarganya dan mempunyai geran tanah sendiri.
Mengimbas detik cemas kejadian banjir pada 23 November lalu, Halijah berkata, air naik terlalu cepat sehingga hampir menenggelamkan rumahnya.
Katanya, kejadian itu merupakan pengalaman paling menakutkan dalam hidupnya apabila air naik sehingga ke paras bumbung, memaksa dia dan keluarga memanjat alang kayu bumbung untuk menyelamatkan diri.
Menurutnya, kejadian banjir besar itu merupakan yang kedua terburuk dialami keluarganya selepas kejadian pada tahun 1984. – UTUSAN
PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di enam negeri meningkat kepada 9,261 orang setakat ini susulan hujan berterusan sejak semalam.
Enam negeri terlibat ialah Pahang, Terengganu, Johor, Selangor, Sarawak dan Kelantan.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 2,949 keluarga terjejas dan ditempatkan di 93 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka.
Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,381 orang, diikuti Terengganu (468), Johor (347), Selangor (47) dan Sarawak (18), manakala tiada mangsa dipindahkan di Kelantan setakat ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan lebat dijangka berterusan hingga hari ini di beberapa negeri, khususnya Pahang, Terengganu dan Johor.-UTUSAN
Kemaman, Dungun masih terjejas banjir
- Admin UKK
- Berita
KUALA TERENGGANU: Banjir di Kemaman dan Dungun belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih dengan seramai 473 mangsa masih berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8.30 pagi ini.
Semua mangsa berpindah ke PPS berkenaan secara berperingkat sejak Isnin lalu dengan yang terbaharu dibuka hari ini di Dewan Sivik Felda Seberang Tayor dan Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Tayur Hulu di Kemaman.
Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, daripada jumlah mangsa dipindahkan, 397 orang melibatkan 116 keluarga adalah di Kemaman yang berlindung di 10 PPS.
Di Dungun pula, sejumlah 76 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di dua PPS.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dijangka berterusan hari ini di beberapa negeri khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor.
Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) hingga itu dijnga berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang.
“Amaran Hujan Berterusan (Buruk) pula diramal di Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Jerantut, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).
“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di beberapa kawasan termasuk Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh); Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya. – UTUSAN
