OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat - PM

SETIU: Tiada keperluanuntuk mengisytiharkan darurat bencana banjir setakat ini walaupun jumlah terkesan mencecah lebih 150,000 orang di 10 negeri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim

Perdana Menteri berkata setakat ini seluruh agensi dan jentera keselamatan berjaya menangani situasi banjir di negeri-negeri yang terbabit dengan baik.

"Sekarang ini daripada segi pasukan keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara tidak memikirkan keperluan itu kerana seluruh jentera keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), seluruh jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah nampak menangani masalah dengan baik.

"(Jadi) tiada keperluan sama sekali untik diisytihar darurat," katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut melawat SK Mangkok di sini.

Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, lebih 150,000 mangsa dari 10 negeri dilaporkan terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara ketika ini setakat jam 1 tengahari tadi.

Ia membabitkan Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang,Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu.

Kelantan merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu lebih 96,000 orang diikuti Terengganu lebih 41,000 orang.

 

3 pejabat LHDN di Kedah ditutup sementara akibat banjir

PUTRAJAYA: Tiga pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kedah ditutup sementara mulai hari ini, berikutan keadaan banjir semakin buruk di kawasan berkenaan.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tiga pejabat itu ialah pejabat LHDN di Alor Setar dan UTC Alor Setar, serta pejabat satelit di Kubang Pasu.

"Pejabat LHDN itu hanya akan dibuka semula selepas keadaan kembali pulih dan selamat serta mendapat kebenaran daripada pihak berwajib," katanya.

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan beberapa pejabat LHDN di Kelantan, iaitu pejabat LHDN di Kota Bharu, dan Pejabat Satelit LHDN di Pasir Puteh serta Kuala Krai, yang ditutup sebelum ini berikutan bencana banjir, mula beroperasi semula hari ini.

LHDN turut menyatakan dalam tempoh keadaan cuaca tidak menentu dan situasi banjir yang berbahaya, orang ramai disaran melakukan urusan berkaitan LHDN secara dalam talian menerusi portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my.

"Justeru, LHDN menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dilanda banjir supaya membuat persediaan awal, sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan serta mematuhi arahan pihak berwajib dari semasa ke semasa," katanya.

LHDN memaklumkan sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh diajukan menerusi talian 03-89111000 / 603-89111000 (luar negara), HASiL Live Chat atau pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/

– BERNAMA

'Kehadiran PM santuni mangsa banjir ubati kesedihan kami di PPS'

SETIU: "Kami sangat terharu kerana Perdana Menteri sudi datang melawat mangsa banjir di sini. Kehadiran beliau ke pusat penempatan sementara (PPS) ini dapat mengubat kesedihan kami yang terpaksa berpindah selepas rumah ditenggelami air," kata Nordin Ismail, 49, dari Kampung Kolam, Telaga Papan, di sini.

Beliau antara mangsa banjir yang teruja dengan kedatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan, hari ini ketika lawatannya ke Terengganu.

Nordin berkata, dia tidak menyangka dapat bertemu, bersalaman dan berbual dengan Perdana Menteri yang sebelum ini hanya dilihatnya di kaca televisyen saja.

"Perdana Menteri adalah pemimpin yang prihatin dengan kesengsaraan dialami rakyat terkesan akibat banjir hingga sanggup turun padang bertemu mangsa bencana itu hari ini," katanya.

Lawatan Anwar ke PPS itu turut diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Dalam lawatan itu, Anwar turut menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Mangkok.

Bagi Azizah Ali, 53, dari kampung sama, kedatangan Anwar bertanya khabar mangsa banjir mengembalikan semula semangat mereka menempuh ujian bencana ini.

"Walaupun sedih kerana terpaksa tinggal sementara di PPS akibat rumah dilanda banjir, tetapi kehadiran Perdana Menteri hari ini memberi sedikit keceriaan kepada kami yang dapat bertemu muka dengan pemimpin negara ini," katanya.

Azizah berkata, dia berpindah ke PPS itu selepas rumah didiaminya ditenggelami air sehingga lebih satu meter menyebabkan barangan dalam rumah rosak.

Petani, Mohd Hanafi Ismail, 39, pula berkata, banjir menyebabkan dia kerugian hampir RM20,000 apabila tanaman ubi seluas 1.5 hektar musnah ditenggelami air.

Katanya, dia hanya menunggu masa untuk menuai kerana semua tanaman ubi kayu isi putih dan kuning serta ubi keledek oren (vitato) sudah matang.

"Sepatutnya bulan ini semua ubi berkenaan yang dianggarkan bernilai RM20,000 sudah boleh dijual tetapi tidak ada rezeki kerana hasil tanaman tenggelam (banjir)," katanya.

Mohd Hanafi berkata, kehadiran Perdana Menteri menyantuni mangsa banjir di PPS itu yang sebilangan besarnya adalah petani dan pekebun dapat mengubat kesedihan mereka.

"Kebanyakan penduduk di sini mengusahakan tanaman seperti timun, terung dan syuran lain. Kami berharap selepas banjir ini ada peruntukan bantuan untuk petani dan pekebun mengusahakan semula kebun kami yang musnah ini," katanya.

 

'Pemindahan mangsa banjir dijangka menurun minggu depan susulan hujan berkurangan' - TPM

SHAH ALAM: Pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) dijangka menurun pada minggu depan susulan hujan akan berkurangan seperti diramalkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata situasi semasa banjir di seluruh negara ketika ini khususnya di Kelantan dan Terengganu adalah membimbangkan, malah lebih teruk berbanding suasana banjir pada 2014.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya berharap ramalan dikeluarkan MetMalaysia bahawa luruan hujan akan berkurangan pada minggu depan akan jadi kenyataan.

"(Luruan hujan) menyebabkan akan berlaku pengurangan air banjir di daratan, namun kita yakin apabila luruan hujan itu berkurangan, ia akan mengurangkan pemindahan mangsa banjir ke PPS," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, kesiapsiagaan saja tidak mencukupi jika penduduk yang tinggal di kawasan dilanda banjir enggan mematuhi arahan diberikan untuk berpindah apabila keadaan bencana semakin buruk.

"Kita mempunyai kekuatan dan anggota di seluruh negara yang dimobilisasikan seramai lebih 82,000 orang dan PPS boleh disiapsiagakan bagi memuatkan 2.1 juta mangsa banjir.

"Justeru, (mangsa banjir) perlu mengikut nasihat diberikan jawatankuasa bencana daerah dan jawatankuasa bencana negeri untuk berpindah awal.

"Kita tidak mahu jumlah kematian bertambah, maka kesiapsiagaan dan juga amaran awal itu mesti diikuti sepenuhnya supaya kita (dapat) elak kehilangan nyawa.

"Saya sempat ke Kelantan dan Terengganu, saya melihat wakil rakyat daripada pelbagai parti berbeza juga turut bersama jentera yang ada untuk membantu mangsa banjir.

"Kita ketepikan perbezaan warna (parti) dalam kalangan kita demi menyantuni dan menyelesaikan masalah mangsa banjir," katanya.

 
 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search