PM arah bantuan sewajarnya kepada mangsa kebakaran Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Kerajaan Negeri Selangor serta agensi berkaitan untuk menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, pagi tadi.
Dalam hantaran di platform media sosial X, beliau turut mendoakan kelancaran operasi pasukan penyelamat yang sedang bertungkus lumus mengawal situasi di lokasi kejadian.
“Mendoakan urusan semua para petugas di Putra Heights dipermudahkan. Saya meminta Kerajaan Negeri serta agensi terlibat beri bantuan sewajarnya kepada mangsa yang dipindahkan,” katanya.
Ketika ini, pasukan penyelamat masih menjalankan operasi pemadaman kebakaran, manakala penduduk yang dipindahkan telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata 82 mangsa diselamatkan dengan 12 orang cedera setakat ini.
Sementara itu, PETRONAS menutup sementara tiga stesen minyak di kawasan sekitar lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini, hari ini.
PETRONAS menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, kebakaran berlaku di saluran paip utamanya berhampiran Putra Heights.