SMART selamat mendarat di Myanmar, terus ke lokasi operasi gempa bumi
- Admin UKK
- Berita
SUBANG: Seramai 50 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nay Pyi Taw, Myanmar.
Mereka akan terus bergerak ke kawasan operasi gempa bumi melalui jalan darat yang mengambil masa lapan jam.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, pesawat pertama RMF 141 yang membawa pasukan itu mendarat pada 11.16 pagi, manakala pesawat kedua RMF 142 mendarat di lapangan terbang pada 2 petang.
“Selepas ini mereka akan bergerak ke kawasan operasi di Sagaing Division melalui jalan darat yang akan mengambil masa lapan jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan 50 pegawai dan anggota SMART dijangka berada di Naypyidaw, Myanmar bagi misi bantuan kemanusiaan selama tujuh ke 14 hari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia amat bersimpati dengan bencana yang berlaku di Myanmar dan menggerakkan pasukan SMART ke negara jiran itu dengan segera.