KUALA LUMPUR: Sistem amaran awal banjir kendalian Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berada pada tahap baik dan berkesan untuk mengenal pasti bencana berkenaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ini mengambil kira tindakan MetMalaysia yang mengeluarkan amaran itu tujuh hari sebelum episod hujan lebat di Pantai Timur berlaku.
“MetMalaysia dalam kenyataannya pada 19 November lalu, menjangkakan luruan monsun kuat, menyebabkan hujan lebat akan berlaku di Pantai Timur.
“Betul, kita tak menjangkakan hujan ekstrem seperti yang berlaku pada 2014 (ketika luruan monsun kali ini). Namun, apabila ia berlaku (taburan hujan) ekstrem seperti 2014,” katanya.
Beliau berkata demikian menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai sistem penyampaian mesej cuaca, Nik Nazmi berkata, MetMalaysia sudah diarahkan untuk memastikan perkara itu dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih meluas.
“Mereka (MetMalaysia) memiliki pengikut cukup ramai di Facebook (FB), Instagram (IG), X dan YouTube. Namun, mungkin generasi muda ramai (menggunakan) TikTok dan mereka tak boleh letakkan mesej sama seperti di FB atau IG.
“Justeru, saya dalam pertemuan bersama MetMalaysia pagi tadi, minta mereka ambil perhatian mengenai pendekatan menerangkan atau penyampaian mesej cuaca dengan lebih baik kepada orang ramai.
“MetMalaysia juga bekerja secara langsung dan terbabit dalam memberi nasihat dan pandangan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk berdepan bencana.
“Malah, dalam Jawatankuasa Cuaca Kering dan Panas Kebangsaan, MetMalaysia juga antara agensi di dalamnya dan memberikan pandangan ketika negara berdepan cuaca panas dan kering,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, projek tebatan banjir kendalian MetMalaysia tidak membabitkan pembinaan infrastruktur yang dilaksanakanJabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seliaan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Memperincikan perkara itu, katanya, projek peningkatan keupayaan model ramalan cuaca berangka dengan mengadaptasi teknologi sistem komputer berprestasi tinggi adalah antara projek dirangka dibawah pelaksanaannya.
“Ini membolehkan MetMalaysia menjangkakan risiko bencana cuaca 14 hari lebih awal, berbanding tujuh hari ketika ini.
“Ia adalah antara input utama bagi model ramalan banjir negara dibangunkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, meliputi sistem amaran awal bencana lain seperti kejadian kepala air, tanah runtuh dan gelombang haba.
“Pembangunan sistem ini penting dan menjadi antara sasaran utama dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, meliputi sistem rangkaian pencerapan radar di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah bagi memantau keadaan cuaca supaya dapat dilakukan lebih teliti dan menyeluruh,” katanya.
KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyokong langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Peperiksaan SPM Tahun 2024.
Setiausaha Agong NUTP, Fouzi Singon berkata, pihaknya menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk meneruskan peperiksaan SPM tersebut.
“Pihak KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah bertungkus lumus dari awal iaitu bermula dengan membina soalan, mencetak kertas peperiksaan, agihan, pelaksanaan peperiksaan, penandaan kertas peperiksaan dan sehingga tarikh mengumumkan keputusan peperiksaan juga telah diambil kira dengan berhati-hati.
“Justeru itu, tidak boleh sesuka hati membuat sebarang pindaan atau perubahan tambahan pelbagai pihak terlibat dalam menyusun dan mengatur peperiksaan SPM ini,” katanya pada Isnin.
Tegas Fouzi, tarikh peperiksaan juga telah diselaraskan dengan pihak pengajian lanjutan selepas peperiksaan SPM.
Selain itu, jumlah kertas peperiksaan yang terlalu banyak juga perlu diambil kira. Jika isu banjir, peperiksaan SPM perlu ditunda maka perlu dilihat juga tempoh berapa lama perlu diambil untuk penjadualan semula.
Tambahnya, Ops Payung yang dirancang telah menempatkan calon-calon yang terjejas akibat banjir di beberapa asrama yang terpilih.
“Secara keseluruhannya seramai 402,956 calon yang mendaftar di 3,337 pusat peperiksaan serta melibatkan 126,636 orang petugas sedia maklum akan perkara ini,” katanya.
Jelasnya, peperiksaan bertulis seperti di dalam takwim peperiksaan akan diadakan pada 2 Januari hingga 6 Februari 2025.
“Ketika itu diharapkan keadaan banjir akan pulih seperti biasa. Perkara-perkara ini perlu diambil kira oleh pihak KPM dan LPM. Oleh itu, rungutan berkaitan dengan buku rujukan dan pakaian adalah tidak relevan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, KPM cakna akan keselamatan dan kebajikan calon dan petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir semasa peperiksaan berlangsung.
“KPM juga sentiasa siap siaga dan mengambil langkah persediaan yang sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi Kerajaan lain yang berkaitan.
”Sudah tentunya KPM komited dengan mengambil langkah-langkah yang terbaik bagi memastikan Peperiksaan SPM berlangsung dengan lancar dan teratur,” katanya.
Ujarnya, NUTP amat berharap masyarakat tidak mempolemikkan isu banjir ini agar suasana akan lebih harmoni dan mereka yang terlibat dengan banjir tidak ditambah beban dan emosi mereka.
“Semoga semua mangsa banjir dalam kalangan guru dan murid bersabar dan tenang menghadapi dugaan ini.
“Musibah banjir datang dan pergi, namun perjuangan anak-anak calon SPM harus diteruskan dengan penuh tabah dan semangat juang yang tinggi,” katanya.
GUA MUSANG - Suar berwarna akan digunakan sebagai isyarat meminta bantuan seandainya mangsa terjejas banjir terputus hubungan untuk berkomunikasi dengan pihak luar.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana, Nik Raisnan Daud berkata, langkah proaktif itu disediakan sekiranya penduduk terperangkap di atas bukit lebih seminggu tanpa mendapat mana-mana bantuan awal.
Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan menggunakan laluan udara untuk mengesan keberadaan mangsa dan ketika itu suar digunakan.
"Dua warna akan digunakan iaitu kuning dan merah, asap berwarna kuning memberi isyarat bahawa mangsa terjejas banjir telah kehabisan bekalan makanan manakala merah bermaksud ada kematian di tempat perpindahan itu.
"Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara juga telah dimaklumkan tempat pendaratan dan bukit yang sudah dikenal pasti tempat untuk berlindung,” katanya kepada pemberita di Anjung Marina, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini pada Isnin.
Beliau berkata, taklimat awal telah disampaikan kepada penggawa dan penghulu berkenaan penggunaan dan bantuan yang akan digunakan sepanjang banjir melanda.
"Kita akan cuba sampaikan bantuan secara darat terlebih dahulu sebelum menggunakan jalan udara kerana pergerakan helikopter akan bergantung kepada cuaca semasa.
"Kita di peringkat negeri sudah dimaklumkan semua kawasan mendarat (landing point) yang perlu. Berdasarkan bencana pada 2014 kawasan mendarat semua tenggelam jadi kita kena ada tiga kawasan mendarat alternatif,” katanya.
Nik Raisnan berkata, pihaknya menyediakan peralatan menghadapi banjir seperti khemah, dapur, cangkul, lampu suluh, periuk dan lilin yang digunakan apabila berlaku peningkatan air secara mendadak.
"Bekalan makanan asas juga disediakan kepada penduduk yang terpaksa bergerak di atas bukit dan kita telah pastikan bahawa bekalan mencukupi untuk tempoh seminggu,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Jajahan Gua Musang itu dilapor berkata, 13 kawasan berbukit di sekitar Gua Musang dijadikan sebagai tempat perpindahan penduduk yang dilanda bencana banjir ketika Monsun Timut Laut jika pusat pemindahan sementara ditenggelami air. - Bernama
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadang menjadualkan semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) luar musim tengkujuh seperti mana dilakukan sewaktu pandemik Covid-19 iaitu pada Mac.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata, langkah itu bagi memastikan pelajar lebih bersedia dan tidak terganggu sepanjang mengambil peperiksaan tersebut.
“Penangguhan peperiksaan pada musim tengkujuh dapat membantu dalam menyediakan peralatan dan suasana kondusif kepada pelajar dan guru.
“Jika keadaan semasa masih lagi buruk, lebih elok kita tangguhkan SPM untuk memberi ruang kepada calon supaya mereka tidak tertekan memikirkan keselamatan diri dan keluarga,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Isnin berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan cadangan peperiksaan SPM dilaksanakan di luar musim tengkujuh.
Ujar beliau, pihaknya mengambil perhatian terhadap maklum balas yang diterima berkait jadual SPM pada hujung tahun sekali gus berdepan dengan keadaan cuaca hujan dan banjir.
Juhari berpandangan guru-guru tidak berdepan sebarang masalah dengan penangguhan SPM kerana telah membuat persediaan awal dalam pelbagai aspek termasuk set soalan.
JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor telah menyediakan perancangan alternatif dalam usaha memastikan kesemua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk calon-calon yang terjejas akibat banjir dapat menduduki peperiksaan berkenaan.
Menurut Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin perancangan tersebut turut melibatkan 16 calon SPM di negeri ini yang terjejas akibat banjir ketika ini khususnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap, Segamat.
“Ketika ini terdapat 16 calon SPM Johor yang terjejas banjir, sembilan daripada mereka ditempatkan di SMK Buloh Kasap sendiri.
“Selebihnya menetap sementara di rumah saudara mereka,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Aznan berkata demikian setelah meninjau pelaksanaan ujian lisan bagi peperiksaan SPM di SMK Tasek Utara, di sini. Turut sama, Pengetua SMK Tasek Utara, Mislina Salleh.
Untuk rekod, seramai 43,175 calon menduduki SPM di 306 sekolah seluruh Johor bermula pada Isnin.
Tambah Aznan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) juga telah mengenal pasti sebanyak 669 sekolah yang digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di negeri ini.
Dalam perkembangan berasingan, Aznan turut menasihatkan ibu bapa agar memantau anak-anak mereka terutamanya yang berusia bawah 18 tahun agar tidak menonton filem berkaitan gejala buli yang berlaku di sekolah.
Katanya, filem-filem sedemikian mungkin akan membawa kesan yang tidak baik kepada pelajar.
“Kita bukan halang perfileman negara, tetapi filem-filem seperti ini ada unsur negatif.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada aduan mengenai kes buli di Johor dan kita harap benda ni tidak akan berlaku,” katanya.