Sokongan pasca banjir penting untuk mangsa bangkit semula - Nancy Shukri
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Fasa pasca banjir adalah tempoh paling kritikal bagi mangsa untuk membina semula kehidupan selepas dilanda bencana.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengajak semuak pihak, khususnya sektor swasta dan individu untuk tampil membantu.
Beliau yang turun padang menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh dan banjir di Kampung Marahang dan Kampung Mook di Papar, Sabah, berkata selepas bencana, mangsa amat memerlukan memerlukan sokongan untuk membersihkan rumah, membina semula kehidupan serta kembali kepada rutin harian mereka.
Tegasnya, kehadiran pihaknya simbolik komitmen kerajaan untuk memastikan mangsa tidak dibiarkan berseorangan dalam menghadapi kesukaran selepas bencana.
"Saya mahu mereka merasakan mereka tidak pernah ditinggalkan sendirian selepas bencana. Kehadiran kami di sini adalah untuk memberi semangat dan menyampaikan mesej bahawa masih ada harapan untuk mangsa bangkit semula," katanya dalam kenyataan dikeluarkan, di sini hari ini.
Selain sumbangan wang tunai, mangsa menerima bakul makanan berisi barangan keperluan asas, beg makanan serta bantuan barangan lain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Yayasan Sime Darby.
"JKM telah berada di lapangan sejak hari pertama bencana untuk menyalurkan bantuan segera," katanya meminta lebih banyak pihak pihak tampil menyumbang kepada YKN bagi memperkasa usaha kebajikan kepada kumpulan terjejas dengan setiap sumbangan layak menerima pengecualian cukai.
"Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka serta memberi kekuatan untuk menghadapi dugaan yang menimpa," katanya.