OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Khairul Aming bantu lebih 20,000 mangsa banjir, terharu terima sambutan banyak pihak

KOTA BHARU: Pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming sudah mengagihkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada lebih 20,000 mangsa banjir di Kelantan dalam tempoh empat hari.

Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman sehingga kini masih giat mengumpul barangan yang disalurkan pelbagai pihak sebelum diagihkan kepada mangsa banjir.

Beliau yang ditemui di Luxury Garden iaitu lokasi pengumpulan barangan bantuan banjir itu berkata, dalam tempoh itu juga lebih 600 sukarelawan berjaya dikumpul dari seluruh Kelantan termasuk di luar Kelantan.

Malah, pelbagai aset juga digunakan hasil bantuan pelbagai pihak termasuk lori 10 tan, kenderaan pacuan empat roda, bot serta van.

"Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan sama ada daripada individu, peniaga kecil sehinggalah peniaga besar. Saya cukup berterima kasih atas bantuan semua pihak.

"Ada yang datang dari Johor dengan pesawat untuk membawa barangan bantuan dan turut menjadi sukarelawan. Malah ada juga yang datang luar Kelantan dengan memandu kereta semata-mata mahu menjadi sukarelawan.

"Saya menghargai usaha anda semua dan bersyukur dengan sambutan yang diterima. Ada juga individu yang mahu menyalurkan bantuan dengan membuat tempahan menerusi Food Panda sebelum barangan itu dihantar ke sini.

"Pasukan saya yang sebenarnya hanya empat orang, manakala yang lain-lain adalah sukarelawan yang saya sendiri tidak kenal mereka dan saya sangat menghargai kesungguhan mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk hari ini sahaja pihaknya menghantar keperluan asas dan makanan kepada 15,000 mangsa banjir.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 7,000 diagihkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 2 kerana terperangkap dan situasi mereka kritikal.

"Kita dapat permintaan khas daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua lori digunakan untuk menghantar bekalan makanan serta keperluan asas itu.

"Untuk misi bantuan kita, setiap penerima akan menerima bantuan dalam bentuk makanan, keperluan asas termasuk ubat-ubatan," katanya.

Jelasnya, mengikut perancangan sekiranya keadaan kembali pulih, misi bantuan itu akan beroperasi sehingga Rabu ini sahaja.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya keadaan belum pulih dan masih ramai yang memerlukan bantuan, beliau akan berusaha untuk meneruskannya.

"Kita akan lihat keadaan dari semasa ke semasa dan saya juga mengalu-alukan bantuan semua pihak untuk datang menghantar pelbagai barangan di sini.

"Setiap barangan yang dihantar kita akan semak terlebih dahulu. Sebagai contoh kalau makanan kita akan lihat tarikh luput manakala pakaian pula kita akan lihat sama ada masih elok atau terkoyak. Ini kerana kita mahu penerima mendapat barangan yang elok," katanya.

 

Hujan lebat di Kelantan, Terengganu esok dan lusa

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan akan berlaku ribut petir berserta hujan lebat di Kelantan dan Terengganu bermula pada petang 3 Disember hingga 4 Disember ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan fenomena itu berlaku disebabkan penumpuan angin yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh tersebut.

“Luruan monsun pula dijangka bermula pada 8 hingga 14 Disember 2024. Keadaan ini pula berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

 

Banjir: Calon SPM dipindahkan ke asrama bermula semalam- Ahmad Zahid

BAGAN DATUK: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan trak berkapasiti tujuh, lima dan tiga tan bagi mengangkut calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke asrama dan pusat peperiksaan mulai semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan semua calon boleh berada di pusat peperiksaan pada waktu yang ditetapkan.

“Keputusan ini selaras permohonan dibuat Menteri Pendidikan. Di Kelantan terdapat 3,011 calon SPM, 1,734 di Terengganu dan 532 calon di Kedah yang akan menduduki peperiksaan tersebut mulai esok.

“Terdapat 174 sekolah di seluruh negara yang terjejas akibat banjir dengan Kelantan paling tinggi jumlah terjejas iaitu 80 sekolah,” katanya.

Di Terengganu, sebanyak 62 buah sekolah terjejas manakala 14 buah sekolah di negeri Kedah turut terjejas akibat bencana berkenaan.

Dalam pada itu, sebanyak 396 buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan sekolah di seluruh negara setakat ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program One Stop Centre Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Bagan Datuk di sini, hari ini.

Mangsa banjir di Negeri Sembilan menurun

SEREMBAN - Jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan menunjukkan trend penurunan dengan mencatatkan seramai 1,617 mangsa berbanding 2,120 mangsa sebelum ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi Facebooknya memaklumkan setakat jam 4 petang Ahad, terdapat lapan pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.

 

"Ia membabitkan PPS di daerah Jempol, Tampin dan Kuala Pilah yang menempatkan 439 bilangan ahli keluarga menjadikan jumlah 1, 617 mangsa dan menunjukkan trend penurunan.

"Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan termasuk agensi kerajaan yang membantu membersihkan rumah dan menyantuni mangsa banjir di negeri ini.

"Khidmat dan bantuan yang diperlukan waktu ini adalah usaha pembersihan rumah kepada mangsa yang telah dibenarkan pulang dari PPS.

"Kepada sukarelawan yang ingin turun membantu diharap dapat menghubungi pihak Pusat Khidmat Operasi Banjir Daerah (PKOB) bagi menyelaraskan kerja-kerja pembersihan," katanya.

Aminuddin dalam kenyataannya sebelum ini berkata, pihaknya telah menyelaraskan bantuan-bantuan untuk seluruh mangsa banjir bersama dengan agensi-agensi yang terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysian (APM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Keselamatan semua mangsa adalah diutamakan, kerajaan Negeri Sembilan telah mewujudkan Negeri Sembilan Command Centre (NeSCOM) bagi sebarang laporan berhubung dengan situasi banjir di negeri ini.

"Sebarang pertanyaan boleh dirujuk menerusi talian 012-9446380 (Lt. M (PA) Mohd Adib). Kerja-kerja pembersihan rumah-rumah mangsa akan digerakkan sejurus situasi banjir berakhir," katanya.

Kinta antara 4 daerah terbaharu dilanda banjir di Perak

IPOH: Kinta menjadi antara empat daerah terbaharu di Perak yang dilanda banjir kilat susulan hujan berterusan.

Selain Kinta, tiga lagi daerah baharu yang dilanda banjir adalah daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) Hilir Perak, serta Kampar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Bomba Perak hari ini menerima panggilan berhubung insiden banjir yang berlaku di Kampung Tasek dan Kampung Seri Kinta.

Katanya, panggilan diterima jam 11.05 pagi tadi mengenai banjir yang berlaku di Kampung Tasek membabitkan lima mangsa terperangkap; serta jam 12.21 tengah hari tadi mengenai banjir di Kampung Seri Kinta juga membabitkan insiden lima mangsa terperangkap banjir.

Katanya, mangsa di Kampung Tasek terdiri dari dua lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak yang diselamatkan menggunakan bot; manakala mangsa di Kampung Seri Kinta membabitkan seorang lelaki warga emas, tiga wanita warga emas dan seorang kanak-kanak.

“Mangsa di Kampung Tasek dipindahkan sementara ke Dewan Orang Ramai Kampung Tasek, manakala mangsa di Kampung Seri Kinta dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Seri Kinta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh menerusi hantaran Facebook (FB) hari ini memaklumkan, BBP Ipoh menerima banyak panggilan kecemasan berhubung banjir di beberapa tempat sekitar Ipoh.

Menurut hantaran itu, operasi menyelamatkan mangsa banjir masih diteruskan di sekitar Kampung Tasek Seberang, Anjung Bercham Utama, Persiaran Taman Tasek, Kepayang Putra, Kampung Kepayang Fair Park dan beberapa tempat lain.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search