KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan komitmen untuk menyokong inisiatif bantuan banjir dengan menyalurkan RM4 juta menerusi kerjasama beberapa agensi bagi melaksanakan usaha bantuan.
Pendekatan proaktif PNB mencerminkan komitmennya sebagai warga korporat bertanggungjawab, menunjukkan dedikasi untuk menyokong komuniti terjejas yang memerlukan, terutamanya semasa krisis.
PNB melalui kenyataan berkata sumbangan akan digunakan untuk memberi bantuan segera dan memudahkan proses pemulihan jangka panjang bagi komuniti terjejas akibat banjir.
Ia meliputi kawasan sekitar Kelantan (Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Bachok, Tumpat), Terengganu (Besut, Dungun, Hulu Terengganu), Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar), Negeri Sembilan (Tampin) dan Selangor.
"Sumbangan disalurkan menerusi agensi pengurusan bencana seperti Yayasan Ikhlas, Mercy Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Malaysia Relief Agency (MRA).
"Sumbangan diberi ditumpukan kepada agihan makanan seperti makanan sedia dimakan dan barang keperluan asas seperti khemah komuniti, selimut, tikar dan kit kebersihan diri.
"Peruntukan juga akan diberi kepada inisiatif pemulihan seperti bekalan barangan keperluan kembali ke sekolah dan barangan keperluan asas keluarga, membaiki rumah dan memulihkan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta meningkatkan inisiatif Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH) selepas bencana," katanya.
Sementara itu, PNB memaklumkan RM900,000 daripada jumlah peruntukan berkenaan disalurkan sebelum ini dan digunakan untuk pembelian bot penyelamat serta barangan lain seperti pakaian sekolah, kasut dan beg untuk pelajar terjejas, beg kecemasan bencana dan program peningkatan komuniti.
"Selain menjangkakan cabaran bakal timbul akibat banjir akhir tahun ini, PNB akan terus membuat pendekatan proaktif dan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kami bagi memastikan bantuan berimpak untuk rakyat Malaysia yang terjejas dengan banjir," katanya.
SHAH ALAM - Situasi banjir di seluruh negara menunjukkan trend penurunan hampir 15,000 mangsa dalam tempoh lima jam di lima negeri terjejas setakat 5 petang pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan 113,872 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Lima negeri tersebut termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di KELANTAN, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir menunjukkan pengurangan kepada 69,099 orang di 238 PPS membabitkan lapan jajahan.
Jajahan Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 28,467 orang di 61 PPS diikuti Tumpat 20,548 orang (47 PPS), Pasir Puteh 6,590 orang (16 PPS), Bachok 4,205 orang (13 PPS) dan Kuala Krai 3,401 orang (16 PPS).
Machang dengan 2,342 mangsa di sembilan PPS, Tanah Merah 1,780 mangsa (10 PPS) dan Kota Bharu 1,766 orang (17 PPS).
Di TERENGGANU, mangsa banjir juga berkurang kepada 33,656 orang dan Dungun menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa seramai 7,851 orang di 37 PPS daerah itu.
Ini diikuti Hulu Terengganu 7,320 orang (53 PPS), Besut 5,619 orang (53 PPS), Kuala Nerus 5,609 orang (17 PPS), Kuala Terengganu 4,057 orang (12 PPS), Setiu 1,033 orang (17 PPS), Marang 749 orang (10 PPS) dan Kemaman 489 orang (enam PPS).
Mangsa banjir di KEDAH berkurangan sebanyak 7,512 berbanding 7,963 mangsa pada jam 12 tengah hari pada Isnin, dengan Kota Setar menjadi daerah paling terkesan dengan jumlah seramai 3,878 orang di 17 PPS.
Empat lagi daerah yang terjejas ialah, Kubang Pasu 2,198 orang (11 PPS), Padang Terap 597 orang (empat PPS), Pokok Sena 591 orang (empat PPS) dan Sik 268 orang (tujuh PPS).
NEGERI SEMBILAN mencatatkan penurunan ketara kepada 74 mangsa (satu PPS) di satu daerah yang terkesan iaitu Kuala Pilah dengan satu PPS.
Di MELAKA menunjukkan pengurangan dengan jumlah mangsa sebanyak 167 berbanding 244 pada 12 tengah hari, Isnin.
Dua daerah yang terkesan pula ialah, Jasin 161 orang (dua PPS) dan Alor Gajah, enam orang (satu PPS).
Bagaimanapun, JOHOR masih berlaku peningkatan mangsa banjir menjadikan jumlah terkini sebanyak 913 berbanding tengah hari pada Isnin di dua daerah yang terkesan iaitu Segamat dengan 886 orang (17 PPS) dan Tangkak 12 orang (satu PPS).
Begitu juga di PERLIS yang jumlah mangsanya adalah 233 dengan satu daerah terlibat iaitu Arau (satu PPS) berbanding sebelah tengah harinya iaitu sebanyak 225 mangsa.
Di PERAK berlaku pertambahan sebanyak 548 mangsa banjir melibatkan empat daerah di Kinta 339 orang (empat PPS), Hilir Perak 89 orang (satu PPS), Kampar 68 orang (satu PPS) dan Larut, Matang serta Selama 52 orang (satu PPS).
PAHANG mencatatkan peningkatan sebanyak 1,670 mangsa dengan tiga daerah terlibat berbanding Isnin tengah hari iaitu sebanyak 1,632 mangsa.
Daerah tersebut adalah Raub dengan 1,649 orang (20 PPS), Jerantut 13 orang (satu PPS) dan Lipis 13 orang (satu PPS).
Banjir di SELANGOR pula telah surut sepenuhnya sekali gus semua PPS di negeri itu ditutup secara rasmi.
KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar meminta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) segera menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.
Beliau berkata, perkara itu perlu dilaksanakan secepat mungkin menerusi peruntukan RM12 juta yang telah disediakan memandangkan keadaan banjir ketika ini sangat mendesak.
"Fokus adalah kepada negeri-negeri terlibat banjir, khususnya di Pantai Timur seperti di Kelantan dan Terengganu malah di Kedah juga. Johor dan Pahang juga sudah mula banjir,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Bijak Bestari Kampung Bharu oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di sini pada Isnin.
Semalam, Mohd Na’im mengumumkan peruntukan tambahan RM7 juta daripada MAIWP bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, tambahan kepada peruntukan RM5 juta yang telah diumumkan pada Sabtu lepas.
Mengenai Program Bijak Bestari Kampung Bharu, Mohd Na’im berkata TH telah menyumbangkan sejumlah RM159,700 untuk program berkenaan bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar serta menyokong usaha Kerajaan Perpaduan melalui inisiatif Kampung Angkat Madani dan Santuni Madani.
Beliau berkata, program yang berlangsung dari 5 Oktober hingga 14 Disember, melibatkan 100 murid sekolah rendah serta pelajar menengah di kawasan Kampung Bharu di sini, merangkumi aktiviti seperti kelas tuisyen, kem motivasi, bengkel dan seminar pembelajaran bagi memupuk minat untuk terus hadir ke sekolah.
Terdahulu, dalam ucapannya Mohd Na’im merakamkan penghargaan kepada TH kerana menyahut usaha kerajaan dalam menzahirkan keprihatinan terhadap keperluan komuniti, khususnya dalam aspek pembangunan pendidikan termasuk melalui Program Bijak Bestari Kampung Bharu ini.
"Pihak kerajaan berharap usaha ini dapat memperkasakan lagi tahap pendidikan di semua peringkat masyarakat serta memberi sokongan khusus kepada pelajar, terutamanya daripada keluarga asnaf untuk meningkatkan prestasi akademik mereka melalui program-program tambahan seperti kelas tuisyen dan kem pembangunan kendiri," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, Program Bijak Bestari Kampung Bharu bertujuan membantu murid daripada keluarga kurang berkemampuan bagi menangani masalah keciciran pelajaran
Beliau berkata, program dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebagai pelaksana itu, memfokuskan kepada seminar pelbagai topik menarik seperti sains, keusahawanan, teknologi robotik, teknik menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), prospek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, institusi pengajian tinggi awam serta swasta, selain perancangan kerjaya dan perkongsian ilmu daripada pelbagai tokoh bidang.
Program Kampung Angkat Madani dan Santuni Madani ialah inisiatif prihatin daripada kerajaan untuk memperkasakan komuniti serta merapatkan jurang sosioekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar. - Bernama
JITRA - Lima jalan di daerah Kubang Pasu masih ditutup sepenuhnya akibat banjir, kata Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Redzuan Salleh.
Beliau berkata, lokasi terbabit ialah Jalan Tanah Merah ke Wang Tepus (Klinik Kesihatan Banai dan Restoran Bunga Naga), Jalan Jitra ke Kampung Kelubi (terowong), Jalan Kepala Batas ke Bukit Tinggi (Taman Tabung Haji), Jalan Batu 9 Jitra ke Alor Rambai/Kepala Batu (kuari tanah dan SK Binjal) dan Jalan Kampung Budi ke Kampung Bohor (Kampung Budi).
Selain itu, beliau berkata, Jalan Titi Besi ke Kampung Pasir (Taman Mutiara Naga) dan Jalan Kepala Batas ke Titi Besi (SK Kepala Batas) pula dibuka hanya kepada kenderaan berat.
"KM 32.1 hingga KM33.2 Lebuhraya Plus Arah Selatan dilencongkan sepenuhnya ke susur Bandar Darulaman dan KM 33.2 hingga 32.1 Lebuhraya Plus Arah Utara dilencongkan sepenuhnya ke susur Alor Setar Utara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beberapa jalan juga telah dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan iaitu Jalan Kepala Batas ke Bukit tinggi (Masjid Jame’ Al -Shahab Kepala Batas), Jalan Kelubi Luar ke Kampung Malau (Taman Pulasan dan Perpustakaan Desa Malau) manakala di Jalan Jitra ke Sungai Korok air banjir didapati masih melimpah.
"Polis menasihati orang ramai merancang perjalanan masing-masing bagi mengelak sebarang kesulitan dan kesesakan lalu lintas serta tidak meredah banjir yang mempunyai arus deras demi keselamatan diri dan keluarga," katanya. - BERNAMA
JITRA: Laluan utama ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok melalui Lebuhraya Changlun-Sintok yang sebelum ini ditutup akibat dinaiki air kini sudah dibuka dan boleh dilalui kenderaan biasa.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Redzuan Salleh berkata, jalan itu hanya terjejas akibat banjir pada Rabu dan Jumaat lalu.
“Jumaat lalu, air dari Sungai Badak melimpah dan membanjiri jalan utama ke UUM Sintok dan lencongan kenderaan dilakukan melalui Jalan Batu 15 untuk kenderaan yang menuju ke universiti terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai penyebaran rakaman video kejadian Jumaat lalu dengan maklumat yang kurang tepat, menyebabkan banyak pihak menyangka laluan itu masih ditutup sehingga hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, tujuh jalan di daerah Kubang Pasu ketika ini masih ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.
Antaranya adalah Jalan Tanah Merah ke Wang Tepus, Jalan Jitra ke Kampung Kelubi, Jalan Kepala Batas ke Bukit Tinggi, Jalan Batu 9 Jitra ke Alor Rambai, Jalan Kampung Budi ke Kampung Bohor, Kilometer 32.1 hingga Kilometer 33.2 Lebuhraya PLUS Arah Selatan dan Kilometer 33.2 hingga Kilometer 32.1 Lebuhraya PLUS Arah Utara.
“Dua lagi jalan juga ditutup dan hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Titi Besi ke Kampung Pasir dan Jalan Kepala Batas ke Titi Besi.
“Tiga lagi jalan pula sudah dibuka semula kepada semua kenderaan iaitu Jalan Kepala Batas ke Bukit Tinggi, Jalan Kelubi Luar ke Kampung Malau dan Jalan Jitra ke Sungai Korok,” katanya.
Mohd Redzuan turut menasihati orang ramai terutama pengguna lalu lintas untuk tidak meredah laluan dinaiki air yang berarus deras demi keselamatan diri dan keluarga.