OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jerebu: Kerajaan Pusat perlu gerakkan saluran diplomatik dengan Indonesia

Jerebu: Kerajaan Pusat perlu gerakkan saluran diplomatik dengan Indonesia

KUCHING, 3 Sept: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan menerusi saluran diplomatik bagi menangani isu jerebu rentas sempadan dengan Indonesia.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Ibrahim berkata, isu berkenaan merupakan perkara antarabangsa yang perlu ditangani melalui kerangka ‘Government-to-Government’ (G2G) antara Malaysia dan Indonesia.

Menurutnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga sudah membawa perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perkara itu kini menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan saluran diplomatik yang sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, gesaan DAP Socialist Youth (DAPSY) Stampin supaya kerajaan Sarawak mengambil tindakan secara langsung terhadap Indonesia menunjukkan kurangnya kefahaman mengenai hubungan antarabangsa dan diplomasi.

Dalam pada itu, Afiq Fikri mempersoalkan tindakan DAPSY yang menggesa Kerajaan Sarawak berbuat demikian sedangkan DAP mempunyai wakil rakyat dan Menteri Kabinet di peringkat persekutuan.

Katanya, DAP sepatutnya menggunakan kedudukan dalam Kerajaan Persekutuan untuk membawa suara Sarawak dan mendesak tindakan lebih pantas berhubung isu jerebu rentas sempadan.

“Jika DAP tidak mampu membawa dan menyelesaikan isu serantau yang kritikal melalui kerajaan persekutuan, apakah gunanya DAP berada dalam Kerajaan Persekutuan?” soal beliau.

Beliau pada masa sama menegaskan isu jerebu rentas sempadan memerlukan pendekatan diplomasi yang strategik dan konstruktif, bukannya tekanan terbuka yang boleh menjejaskan hubungan antara negara.

Afiq Fikri berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan utama bagi memastikan Indonesia memenuhi komitmen terdahulu dalam mencegah dan menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Beliau turut menolak pendekatan yang disifatkan sebagai permainan politik kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah jerebu yang sudah berlarutan dan kompleks.

Menurutnya, tekanan terhadap kerajaan Indonesia berkaitan isu berkenaan juga sudah datang daripada negara lain selain rakyatnya sendiri.

“Jerebu rentas sempadan memerlukan diplomasi antarabangsa yang membina. Menggesa kerajaan Sarawak untuk campur tangan secara sewenang-wenangnya bukan penyelesaiannya,” tegas beliau. – TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search