Lima stesen pemantauan catat udara tidak sihat
- Admin UKK
- Berita
KOTA KINABALU, 3 Sept: Lima stesen pemantauan kualiti udara di Sabah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 5 petang hari ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, berdasarkan rekod, bacaan tertinggi Indeks Pencemaran Udara (IPU) dicatatkan di Stesen Kota Kinabalu dan Stesen Politeknik dengan masing-masing mencecah 156.
Katanya, ia diikuti Stesen Kimanis (155), Stesen Keningau (154) dan Stesen Tawau (151), manakala Stesen Sandakan mencatatkan bacaan sederhana pada IPU 93.
“Keadaan jerebu di Sabah dipercayai dipengaruhi oleh jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan dengan asap dipercayai dibawa angin merentasi wilayah Borneo.
“Bagaimanapun, hasil rondaan JAS Sabah dan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada hari ini mendapati tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mengikut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, mengesahkan tiada titik panas (hotspot) dikesan di Sabah berdasarkan pemantauan satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20.
Bagaimanapun katanya, sebanyak 780 titik panas masih aktif di Kalimantan dan 142 di Sumatera berdasarkan cerapan setakat semalam.
Untuk rekod, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat manakala 201 hingga 300 sangat tidak sihat, 301 hingga 400 bahaya dan bacaan melebihi 400 hingga 500 sangat bahaya.
Dalam pada itu, Nor Rashidah menegaskan, JAS Sabah terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering.
Katanya, sebanyak 502 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan setakat ini dengan tumpuan diberikan kepada kawasan sensitif dan lokasi berhampiran stesen pemantauan kualiti udara.
“JAS menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang rasmi JAS atau aplikasi MyJAS EQMS, selain mengikuti nasihat kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada JBPM melalui talian 999 atau JAS Sabah di talian 1-800-88-2727,” tegasnya. – TVS
