Puluhan rumah rosak akibat gempa bumi di Jawa Timur
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA, 26 Sept: Gempa bumi bermagnitud 5.7 yang melanda wilayah Banyuwangi dan Situbondo, Jawa Timur pada jam 4.04 petang Khamis mengakibatkan sekurang-kurangnya 51 bangunan rosak.
Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) memaklumkan sehingga jam 9.20 malam, kerosakan membabitkan 49 rumah penduduk dan dua rumah ibadat.
Jurucakapnya, Abdul Muhari, berkata gegaran kuat sekitar lima saat menyebabkan orang ramai panik dan bergegas keluar rumah, namun setakat ini tiada korban jiwa dilaporkan.
“Gegaran cukup kuat dirasai di kedua wilayah sehingga membuat orang ramai panik dan kerosakan yang lumayan teruk, tetapi setakat ini tiada mangsa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, proses pendataan dan penilaian kerosakan masih dijalankan pasukan tindak balas kecemasan BNPB.
Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) menjelaskan pusat gempa terletak di laut, kira-kira 46 kilometer timur laut Banyuwangi dan 54 kilometer tenggara Situbondo pada kedalaman 12 kilometer, namun tidak berpotensi mencetuskan tsunami.
Sehingga jam 6.58 petang (Waktu Indonesia Barat), BMKG merekodkan 10 gempa susulan dengan magnitud maksimum 3.3.
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan serta menjauhi bangunan yang rosak.