SAM gesa pihak berkuasa di Kedah siasat aktiviti pecah bongkah batu
- Admin UKK
- Berita
GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Kedah dan pihak berkuasa berkaitan memberi perhatian serius terhadap letupan kuat luar biasa di Kampung Padang, Mukim Sungai Kecil Hilir, Daerah Bandar Baharu, yang dilaporkan pada Rabu lalu.
Letupan sekitar jam 2.15 petang itu dipercayai berpunca aktiviti pemecahan bongkah batu oleh pengusaha kuari yang beroperasi di kampung berkenaan sehingga mengejutkan sebahagian besar penduduk.
Presiden SAM, Meenakshi Raman, berkata kebanyakan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berdekatan mendakwa terkejut dengan letupan dan dentuman kuat itu hingga menggegarkan kawasan perumahan mereka.
Perkara itu turut dimaklumkan beberapa penduduk di luar kawasan Kampung Padang yang mendakwa terdengar letupan berkenaan pada jarak kira-kira satu hingga dua kilometer.
"Penduduk yang paling hampir dengan kuari berkenaan mendakwa gegaran daripada letupan itu menyebabkan lampu siling jenis kalimantang dalam rumah anak saudaranya jatuh ke lantai, manakala bahagian dinding mengalami keretakan.
"Susulan itu, dia bersama anak saudaranya membuat laporan di Balai Polis Bandar Baharu berhubung kejadian berkenaan.
"SAM dimaklumkan ada lagi laporan polis bakal menyusul daripada beberapa penduduk yang tidak berpuas hati dengan insiden terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, jenis dan jumlah bahan letupan yang digunakan oleh pengusaha kuari juga menjadi tanda tanya.
Katanya, sepatutnya kerja letupan di kawasan kuari dilaksanakan pembedil bertauliah, selain mematuhi prosedur standard yang ditetapkan terutamanya di kawasan berhampiran dengan struktur bangunan dan kediaman.
"Antara bahaya yang berkait rapat dengan kerja letupan batu termasuklah batu berterbangan, gegaran tanah dan sebaran debu.
"Jurutera perunding juga perlu memastikan aktiviti yang dijalankan tidak menyebabkan impak negatif kepada orang awam.
"Selain itu, cadangan reka bentuk letupan yang disediakan pembedil bertauliah perlu diambil kira dan disahkan terlebih dahulu oleh Jurutera Perunding Perlombongan serta dikemuka kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebelum kerja peletupan dilaksanakan," katanya lagi.
Meenakshi mendakwa, selain insiden letupan itu, isu lain berbangkit seperti bunyi bising daripada mesin pemecah bongkah batu serta masalah lori keluar masuk juga masih diperkatakan penduduk.
Katanya, ini menunjukkan masih ada salah laku oleh pengusaha kuari terbabit walaupun perkara itu diambil maklum pihak berkenaan.
"Salah laku pengusaha kuari ini pernah dilaporkan media dan mendapat perhatian banyak pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS); JMG; Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) atas beberapa perkara lanjutan hasil aduan serta bantahan yang dikemuka penduduk.
"Hasilnya pihak kuari tidak diberi kebenaran menjalankan aktiviti kuari selama dua sehingga tiga bulan atas beberapa sebab pelanggaran syarat permit bahan batuan yang dikenakan terhadap mereka," katanya.
Sehubungan itu SAM sekali lagi menggesa pihak terbabit mengambil serius ke atas perkara yang berlaku dan menjalankan siasatan ke atas kejadian selain menggantung permit pengeluaran bahan batuan serta tidak diperbaharui kerana isu berulang berkenaan.
Pada Ogos tahun lalu, media pernah melaporkan projek kuari batu di kampung berkenaan diambil tindakan oleh JAS kerana didapati melanggar beberapa syarat kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA).