PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Amaran ribut petir, hujan lebat beberapa negeri hingga jam 10 pagi

KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah hingga jam 10 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan, termasuk di Perak membabitkan Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Di Pahang, membabitkan daerah Raub, Bentong dan Bera.

Amaran sama turut dikeluarkan di Selangor, membabitkan kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Sepang; Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sementara itu, cuaca sama dijangka berlaku di Negeri Sembilan membabitkan Port Dickson manakala di Sabah, amaran dikeluarkan bagi kawasan Tawau serta Sandakan (Kinabatangan).

 

Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku berterusan melebihi satu jam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," kata jabatan itu.

Bayi antara 16 mangsa banjir ditempatkan di PPS

LAWAS, 2 Jan: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Trusan dibuka malam tadi dengan menempatkan 16 mangsa banjir termasuk seorang bayi dari Kampung Siang-Siang Lawas.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lawas Leftenan (PA) Maradona Tatah berkata, PPS itu dibuka pada jam 11 malam susulan hujan lebat yang melanda daerah itu semalam.

“Seramai 16 orang mangsa banjir dari Kampung Siang-Siang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Trusan setakat pagi ini.

“Jumlah itu merangkumi seorang bayi, seorang warga emas, lima kanak-kanak dan sembilan dewasa membabitkan tiga buah keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hujan yang berterusan dari petang hingga malam tadi menyebabkan kenaikan air sungai siang-siang dan air yang pasang bertembung dengan hujan telah menyebabkan air sungai melimpah ke jalan. -TVS

 

Banjir: 1,010 mangsa terjejas di Sarawak

KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak dibuka untuk menempatkan seramai 1,010 mangsa banjir, setakat jam 7 pagi ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada jumlah itu tujuh PPS dibuka di Kuching, manakala masing-masing satu PPS di Samarahan dan Limbang.

Tujuh PPS di Kuching ialah SJK (C) Chung Hua, Batu Kawa; Dewan Serbaguna Taman Malihah; Dewan Masyarakat Stapok; Dewan Raden Piang, Kampung Sinar Budi Baru; SJK (C) Chung Hua, Sungai Tengah; Surau Ar Rahman dan Surau Nurul Najhin, Kampung Stapok yang menempatkan 971 mangsa daripada 307 keluarga.

Di Samarahan, seramai 23 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di Dewan Suarah Kota Samarahan, manakala di Limbang, 16 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di Dewan Masyarakat Trusan.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap berwaspada (Kod Kuning) bagi beberapa kawasan di Sarawak sehingga esok.

Menurut MetMalaysia, hujan berterusan dijangka melanda kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu serta Miri termasuk daerah Subis, Beluru dan Marudi.

New York isytihar darurat berikutan ribut kuat musim sejuk

NEW YORK: Salji tebal melanda pusat bandar Rochester, New York semalam berikutan ribut musim sejuk yang kuat melanda sebahagian kawasan Midwest dan Timur Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjejaskan aktiviti harian dan operasi perniagaan.

Gabenor New York, Kathy Hochul, mengisytiharkan darurat di seluruh negeri sebagai langkah berjaga-jaga terhadap keadaan yang dijangka semakin buruk.

Hochul berkata, keutamaan kerajaan negeri adalah keselamatan rakyat New York dan menggesa orang ramai supaya mengelak perjalanan yang tidak perlu serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan sehingga 31.5 sentimeter salji dijangka turun sepanjang minggu di kawasan barat dan tengah New York.

Keadaan itu berpotensi menyebabkan gangguan bekalan elektrik, penutupan jalan raya serta kelewatan penerbangan di lapangan terbang utama.

 

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan menasihatkan penduduk supaya bersiap sedia dengan bekalan makanan, air dan sumber tenaga alternatif sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

 

Gempa bumi Jepun: Tiada ancaman tsunami di Malaysia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.5 melanda kawasan Kepulauan Ryukyu, Jepun, petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, gempa bumi itu dilaporkan berlaku pada jam 4.12 petang.

Kejadian berpusat pada koordinat 27.6 darjah utara dan 128.7 darjah timur, dengan kedalaman 10 kilometer (km).

Gempa bumi itu berlaku pada jarak 184 kilometer timur laut dari Naha, Jepun.

METMalaysia bagaimanapun memaklumkan, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan gempa bumi berkenaan. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search