Cuaca panas dijangka berlarutan sehingga Jun
- Admin UKK
- Berita
Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) meramalkan cuaca panas yang melanda negara ketika ini akan berlarutan sehingga Jun dengan kemuncaknya bermula bulan depan.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata cuaca panas yang melanda negara tahun ini bermula lebih awal, iaitu sejak bulan lalu.
“Daripada rekod pencerapan kami, cuaca panas di negara kita bermula Februari hingga Jun setiap tahun, tapi tahun ni bermula awal, iaitu sejak Januari lagi.
“Kemuncak kepada cuaca panas adalah antara Mac dan April ini,” katanya kepada BH, semalam.
Ketika ini, beberapa kawasan di negara ini diklasifikasi berada dalam cuaca panas pada tahap satu, iaitu suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Metmalaysia mengklasifikasikan suhu antara 37 hingga 40 darjah Celsius sebagai tahap dua dan lebih 40 darjah celsius sebagai tahap tiga.
Kesan La Nina
Mengulas berhubung cuaca panas yang berlaku lebih awal berbanding tahun sebelumnya, Mohd Hisham, berkata perkara berkenaan mungkin disebabkan oleh kesan fenomena La Nina.
Katanya, fenomena La Nina yang aktif di hemisfera selatan membawa lebih banyak hujan di Indonesia dan utara Australia serta berlaku lebih awal berbanding kelaziman.
“Sehubungan itu, ketika cuaca panas, orang ramai diminta mengurangkan aktiviti luar dan minum banyak air,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan, Metmalaysia mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi lima kawasan di Kedah.
Metmalaysia memaklumkan, status cuaca panas itu membabitkan kawasan Pokok Sena, Pendang, Baling, Padang Terap dan Kulim.
“Status Tahap 1 (berjaga-jaga) dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius,” menurut kenyataan itu.
Selain cuaca panas tahap satu, Metmalaysia mengklasifikasikan suhu antara 37 hingga 40 darjah Celsius sebagai tahap dua dan lebih 40 darjah celsius sebagai tahap tiga.
Untuk maklumat lanjut dan status terkini cuaca panas harian, orang ramai boleh melayari portal rasmi Metmalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas.
