PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Syarikat penerbangan Thailand tangguh perjalanan kerana pencemaran udara

Bangkok: Salah satu syarikat penerbangan utama Thailand menangguhkan penerbangan antara Bangkok dan wilayah utara selama lebih sebulan kerana jarak penglihatan yang lemah disebabkan oleh pencemaran udara, syarikat penerbangan itu mengesahkan pada Rabu.

Pencemaran udara meningkat di Thailand, terutamanya di utara, antara Disember dan April apabila petani membakar tunggul untuk menyediakan tanah bagi musim tanaman seterusnya.

Syarikat penerbangan domestik Bangkok Airways menghentikan penerbangan dari Bangkok ke bandar barat laut Mae Hong Son kerana asap dijangka menyebabkan jarak penglihatan terlalu lemah untuk mendarat, kata seorang pegawai syarikat penerbangan kepada AFP.

"Kami mengalami masalah yang sama tahun lalu apabila paras asap sangat tinggi," kata pegawai Bangkok Airways di lapangan terbang Mae Hong Son.

Pihak berkuasa lapangan terbang di Mae Hong Son, perhentian popular di laluan pengembara di utara Thailand, mengumumkan di Facebook minggu lalu bahawa penerbangan akan digantung dari 15 Mac hingga 20 April.

"Kabus menjejaskan penglihatan dan keselamatan syarikat penerbangan," kata jawatan itu.

Indeks kualiti udara untuk Mae Hong Son adalah 7.9 kali lebih besar daripada garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, menurut data IQ Air, yang mengukur pencemaran udara global.

Thailand menjadi semakin bimbang tentang kesan pencemaran udara, yang menyebabkan berjuta-juta orang memerlukan rawatan perubatan setiap tahun.

Kerajaan mengharamkan pembakaran tanaman awal tahun ini, dengan mereka yang melanggar peraturan itu berdepan denda dan tindakan undang-undang, walaupun masih belum jelas kesan tindakan itu.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Negara diarah mengemas kini keadaan sebenar untuk memulihkan keyakinan dalam kalangan pengendali perniagaan, kata kerajaan dalam satu kenyataan selepas penggantungan penerbangan Bangkok Airways.

 

Hujan, salji reda kebimbangan kebakaran hutan terburuk di Jepun

OFUNATO: Hujan dan salji yang melanda wilayah ini memberi harapan baru kepada Jepun yang kini berdepan dengan kebakaran hutan terburuk sejak 50 tahun lalu.

Kebakaran hutan itu menyebabkan seorang maut manakala kira-kira 4,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka yang menjejaskan kawasan sekitar bandar utara Ofunato di wilayah Iwate sejak seminggu lalu.

Setakat ini, kebakaran hutan di Jepun memusnahkan kira-kira 2,900 hektar tanah menjadikannya kebakaran hutan terbesar pernah dicatatkan sejak 1975, apabila 2,700 hektar terbakar di Hokkaido.

Petani rumpai laut dan tiram, Mitsuo Otsubo, 85, yang melarikan diri ke rumah saudara untuk berlindung berkata, kebakaran hutan itu adalah luar biasa dan beliau tidak pernah mengalaminya sebelum ini kerana api menjulang tinggi dan merebak dengan pantas.

"Tiada langsung hujan atau salji turun pada tahun ini, tetapi syukur hari ini hujan. Saya harap ia dapat membantu mengawal keadaan," katanya.

Seorang wanita berusia 86 tahun, yang enggan dikenali, berkata beliau melihat asap tebal naik ke udara sebelum api marak.
 

"Angin bertiup kencang dan saya sangat terkejut hingga degupan jantung saya menjadi tidak menentu," katanya. Wartawan AFP melaporkan, kepulan asap putih kelihatan naik dari kawasan pergunungan ketika hujan dan salji turun hari ini.

Ramalan cuaca menjangkakan keadaan basah akan berterusan sehingga esok. Menurut penguatkuasa tempatan, anggota bomba bertugas sepanjang malam.

"Kami berharap salji yang mula turun pagi ini dapat membantu keadaan," katanya.

Cuaca buruk di Kedah, Perak malam ini

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir hampir di setiap negeri seluruh Malaysia sehingga pukul 10 malam ini.

Menerusi kenyataan daripada MetMalaysia, negeri terlibat adalah Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Bagi Kedah amaran cuaca buruk dikeluarkan bagi daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling.

“Selain itu di Perak, kawasan yang berisiko diramal melanda daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut MetMalaysia, hujan lebat juga dijangka melanda beberapa daerah di negeri Kelantan iaitu Jeli dan Gua Musang, manakala daerah Dungun dan Kemaman di negeri Terengganu.

“Di Pahang pula, cuaca buruk diramalkan berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera.

“Bagi Selangor hanya satu daerah diramalkan mengalami hujan lebat iaitu Hulu Selangor,” dalam kenyataan itu.

Hujan lebat dan angin kencang juga bakal melanda Sarawak di daerah Kuching (Bau dan Kuching), Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit, Bintulu (Sebauh), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.

“Bagi negeri Sabah keadaan cuaca buruk dijangka melanda kawasan pedalaman termasuk Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Ranau) kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE

Gempa bumi di sempadan Myanmar-India

PETALING JAYA – Gempa bumi sederhana melanda rantau sempadan Myanmar-India pukul 1.36 petang tadi.

Menerusi satu hantaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa sederhana tersebut dilaporkan berukuran 5.5 skala magnitud.

“Kejadian berlaku di 24.7 darjah Utara dan 94.7 darjah Timur dengan kedalaman 76 kilometer (km).

“Ia terjadi 293km Utara dari Monywa, Myanmar,” katanya.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan kepada Malaysia lanjutan daripada kejadian itu. -KOSMO! ONLINE

Bangunan Pusat Latihan APM hampir musnah dalam kebakaran

BALING: Bahagian hadapan sebuah Pusat Latihan Angkatan Pertahanan Awam (PULAPA) di Jalan Weng Kampung Seberang Pekan, di sini hampir musnah dalam kebakaran, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada jam 2.30 petang.

Beliau mengetuai sepasukan anggota dari BBP Baling dan dibantu sepasukan anggota dari BBP Pengkalan Hulu, Perak yang keseluruhannya seramai 20 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kuala Pegang, Sungai Lalang dan Belia 4B serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan struktur bangunan pada bahagian hadapan bangunan APM Baling.

"Ketika kejadian, 30 kakitangan APM pelbagai pangkat terselamat dalam kebakaran yang membabitkan bahagian struktur tambahan dan pusat kawalan operasi agensi berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, tindakan pemadaman membuat pengawalan di bahagian hadapan, sisi kiri dan kanan bangunan.

Beliau berkata, cabaran utama pemadaman adalah disebabkan faktor angin serta pili bomba yang berada pada jarak 500 meter manakala pili bomba berhampiran rosak akibat vendalisma.

"Bomba mengambil masa 50 minit untuk mengawal dan memadam kebakaran pada bahagian membabitkan struktur tambahan simpanan peralatan APM dan logistik serta bilik PKOD (Pusat Kawalan Operasi Daerah) dan bekalan elektrik masih ada ketika kerja-kerja pemadaman dilakukan.

"Punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search