KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada mulai esok hingga Rabu ini di beberapa daerah di Sarawak dan Sabah.
Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata di Sarawak, cuaca itu diramal di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat).
Di Sabah, katanya, ia membabitkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabarabgan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.
"Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.
"Amaran hujan berterusan tahap buruk pula dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh enam jam," katanya.
Beliau juga berkata, amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan. Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut," katanya.
PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) -- Agensi kerajaan di semua peringkat akan menggerakkan misi pascabanjir dalam usaha mempermudah urusan setiap mangsa di negeri terjejas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu berkata gerak atur misi pascabanjir akan dilaksana dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi kerajaan yang lain. “Lazimnya permasalahan yang berlaku adalah selepas bencana. Dalam soal ini, ramai bantu ketika berlaku bencana tetapi tak ramai membantu selepas itu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Pulau Meranti hari ini. Ahmad Zahid juga berkata bantuan kewangan untuk mangsa banjir hanya diberikan kepada mereka yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS). “Dari segi bantuan ihsan untuk mangsa banjir, NADMA melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana di peringkat daerah lazimnya memiliki nama yang disenaraikan mengikut mereka yang dipindahkan ke PPS tetapi kerap kali bila pembayaran ingin dibuat, mereka yang tidak dipindahkan ke PPS juga mahukan bantuan,” katanya. Ketika berucap, beliau meminta aspek pengurusan komunikasi krisis dan strategik dipertingkat di setiap lapisan pengurusan bencana kerana komunikasi berkesan adalah kunci utama terhadap usaha yang dilakukan.
CYBERJAYA: Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tanggungjawab bersama dalam soal pengurusan bencana negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mereka tidak seharusnya meletakkan sepenuhnya tanggungjawab berkaitan pengurusan bencana dibahu kerajaan Pusat semata-mata.
Mengambil contoh agihan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir, beliau menjelaskan, ada beberapa negeri dan PBT lewat dalam memberikan maklum balas bagi memenuhi keperluan operasi yang sudah ditetapkan.
"Soal kerjasama dengan kerajaan negeri, selama ini ada kalangan kerajaan negeri menganggap soal banjir dan bencana ini adalah tanggungjawab kerajaan Pusat.
"Kerjasama harus terjalin antara Pusat, negeri dan PBT. Ini bukan dalam soal (pelaksanaan projek) tebatan banjir saja, tapi pengurusan bencana. Kita kena ketepikan politik yang berbeza ini.
"Kami di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pusat, kita buta warna (terhadap sokongan politik kepartian), tapi adalah lebih baik jika negeri dapat berikan maklum balas dan tanggungjawab segera terhadap segala operasi yang kita lakukan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri bersama NADMA di Markas SMART di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sama juga dalam soal pengurusan bencana selepas banjir di mana usaha itu seharusnya digerakkan semua agensi baik dari negeri dan PBT terutama bagi kerja-kerja pasca banjir.
"Ini hal bantuan, permasalahan berlaku selepas bencana. Dalam soal ini, membantu ketika sedang berlaku bencana ada, tapi tak ramai bantu selepas pasca bencana.
"Untuk itu, perlu gerak atur terus dilakukan antara bomba, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan beberapa agensi negeri dan daerah. Kita juga memobilisasikan khidmat NGO (badan bukan kerajaan) yang gerakkan sukarelawan mereka untuk bantu mangsa selepas banjir," katanya.
Dalam pada itu, permasalahan lain yang wujud, kata beliau apabila ramai mangsa banjir yang tidak berpindah atau berdaftar dengan pusat pemindahan sementara (PPS) turut memohon bantuan wang ihsan banjir.
"Bantuan wang ihsan NADMA melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah, lazimnya nama disenarai mengikut mereka yang dipindah ke PPS, tetapi kerap kali bayaran dibuat kepada mereka yang tidak pindah pun. Ramai yang bising, datangnya pun daripada kumpulan ini.
"Saya juga terima maklumat peruntukan itu datangnya dari Kerajaan Persekutuan, tapi ada keadaan di mana bantuan itu hanya diberikan mengikut warna (penyokong parti politik) tertentu saja dan ini harus dihentikan," katanya.
Kulai: Waspada kemungkinan banjir gelombang keempat bakal melanda Johor dapat tempoh terdekat.
Susulan itu kerajaan negeri mengarahkan setiap agensi yang terbabit dengan operasi berkaitan bencana untuk bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan berlaku banjir gelombang keempat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, segala arahan kesiapsiagaan bagi agensi-agensi berkaitan juga sudah diselaraskan pegawai daerah terbabit.
Menurutnya, harapan kini adalah hujan tidak terlalu lebat, melebihi kuantiti biasa.
“Saya dimaklumkan sebelum ini, kuantiti hujan normal adalah 20 hingga 30 milimeter (mm) tiap jam, tetapi sekarang ini (sejak kebelakangan ini) meningkat tiga kali ganda, sampai 60 hingga 70mm tiap jam,” katanya ketika ditanya mengenai persediaan banjir gelombang keempat di Johor, semalam.- Bernama
Kulai: Waspada kemungkinan banjir gelombang keempat bakal melanda Johor dapat tempoh terdekat.
Susulan itu kerajaan negeri mengarahkan setiap agensi yang terbabit dengan operasi berkaitan bencana untuk bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan berlaku banjir gelombang keempat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, segala arahan kesiapsiagaan bagi agensi-agensi berkaitan juga sudah diselaraskan pegawai daerah terbabit.
Menurutnya, harapan kini adalah hujan tidak terlalu lebat, melebihi kuantiti biasa.
“Saya dimaklumkan sebelum ini, kuantiti hujan normal adalah 20 hingga 30 milimeter (mm) tiap jam, tetapi sekarang ini (sejak kebelakangan ini) meningkat tiga kali ganda, sampai 60 hingga 70mm tiap jam,” katanya ketika ditanya mengenai persediaan banjir gelombang keempat di Johor, semalam.- Bernama