KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir dipindahkan di enam negeri yang terjejas banjir terus meningkat kepada 28,310 orang setakat jam 6 pagi tadi, berbanding 25,938 orang petang semalam dengan Johor dan Sabah menjadi negeri terbaru dilanda bencana itu.
Laporan terkini kejadian bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan Kelantan kekal dengan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 17,466 orang yang dipindahkan ke 89 pusat pemindahan sementara (PPS), meningkat daripada 15,145 orang yang ditempatkan di 92 PPS pada jam 4 petang semalam.
Di Terengganu pula, jumlah mangsa sedikit menurun kepada 10,103 orang yang berlindung di 113 PPS berbanding 10,199 orang di 125 PPS petang semalam, begitu juga di Pahang yang merekodkan seramai 485 mangsa di sembilan PPS berbanding 590 mangsa di 13 PPS.
Selangor kekal dengan empat mangsa yang ditempatkan di PPS Kuala Langat, manakala dua negeri terbaru dilanda banjir, Sabah dan Johor masing-masing merekodkan seramai 169 mangsa di tiga PPS dan 83 mangsa di sebuah PPS.
Laporan itu turut memaklumkan daripada sembilan PPS yang masih dibuka di Pahang, satu daripadanya iaitu di Cameron Highlands yang membabitkan kejadian tanah runtuh, kekal menempatkan 87 mangsa daripada 17 keluarga.
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di enam negeri terjejas akibat bencana itu menurun kepada 25,329 orang setakat jam 5.49 petang ini, berbanding 28,310 orang pada jam 6 pagi tadi membabitkan 146 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi dipindahkan ke 64 PPS iaitu seramai 17,904 orang membabitkan 5,734 keluarga.
Terengganu juga masih kekal dengan angka tertinggi iaitu 7,026 mangsa membabitkan 1,967 keluarga di 71 PPS antaranya di Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman, Besut, Marang dan Kuala Nerus.
Bagi tiga negeri iaitu Sabah, Johor dan Pahang, masing-masing mencatat angka mangsa di bawah 200 orang iaitu Sabah mencatatkan 173 mangsa ditempatkan di tiga PPS (Beluran, Sabah, Sandakan), manakala di Pahang seramai 114 mangsa di tiga PPS ( Lipis, Kuantan, Jerantut).
Mangsa yang dipindahkan di Johor pula seramai 108 orang di tiga PPS iaitu di Mersing dan Segamat, manakala Selangor mencatatkan angka mangsa hanya seramai empat orang yang ditempatkan di satu PPS iaitu di Kuala Langat.
Info Bencana JKM turut memaklumkan Pahang dan Terengganu membuka satu PPS membabitkan kejadian tanah runtuh iaitu di Cameron Highlands, Pahang dengan 87 mangsa dipindahkan, manakala enam mangsa dipindahkan ke PPS Kuala Nerus, Terengganu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) memberi amaran hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku sehingga keesokan hari di beberapa negeri iaitu Pahang (Kuantan, Pekan, Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi, Johor Bahru).
Tiga kali setahun pindah ke PPS
- Admin UKK
- Berita
SEGAMAT: Impak Monsun Timur Laut (MTL) cukup memeritkan kehidupan mangsa banjir di Kampung Seberang Batu Badak, di sini sehinggakan ada antara mereka terpaksa berpindah sebanyak tiga kali ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Nur Sholihah Raja Shahrin , 29, dari Kampung Seberang Batu Badak, berkata kali pertama dia bersama suami, Aman Syafi Zainal, 28, serta seorang anak mereka, Nia Aurora Aman Syafi, 4 tahun diarah berpindah ke PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat pada awal Januari lalu.
"Dah pindah tiga kali. Kali pertama pindah PPS pada awal Januari akibat Sungai Segamat dan Sungai Muar berhampiran rumah melimpah selepas hujan lebat hinggakan air masuk ke dalam rumah.
"Pada hujung Januari air surut, jadi kami berkemas dan pulang bersihkan rumah. Hanya beberapa bulan sahaja kami dapat bermalam di rumah kerana pagi pertengahan Mac hujan lebat sehingga rumah sekali lagi ditenggelami bah dan kami diarahkan berpindah semula ke PPS.
"Kami dapat menetap di rumah lagi namun selepas sembilan bulan disebabkan hujan lebat dari petang kelmarin, kami dipindahkan buat kali ketiga tengah hari," katanya ketika ditemui di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, di sini, hari ini.
Hadir sama Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat, Azmi Abd.Karim dan Ketua Kampung Batu Badak, Abdul Manap Munaj.
Menurut suri rumah itu, saban tahun banjir melanda rumahnya sehinggakan dia sekeluarga pernah ditempatkan di PPS selama sebulan sebelum keadaan bah termenung benar-benar pulih.
"Kami tiga beranak telah 'lali' terpaksa berpindah berkali-kali dan terakhir meninggalkan PPS sehingga air sungai kembali ke paras selamat dan menanti debaran bila banjir yang akhirnya surut," katanya.
Situasi sama turut dialami Mohd Razali Mohd.Hasbul, 48, dari Batu Batu Badak yang sudah berpindah tiga kali ke PPS sama dalam tempoh setahun.
Menurut bapa kepada dua anak itu, kali pertama dia sekeluarga diarahkan berpindah adalah pada awal Januari lalu akibat limpahan Sungai Segamat.
"Kelmarin, air banjir sudah mulai memasuki bawah kediaman dan kami berpindah ke PPS tengahari tadi.
"Kegembiraan dalam setahun itu cukup singkat kerana petang semalam hujan lebat sehingga air banjir naik begitu cepat.
"Namun kami sekeluarga sempat berkemas dan berpindah semula ke PPS sama sebelum ini," katanya.
Mohd Razali berkata, bencana itu amat menjejaskan pendapatannya yang bekerja sebagai nelayan sungai kerana Sungai Segamat berarus deras sekali gus menghalangnya memukat.
"Sudah banjir nak buat macam mana wajib reda selain kena keluar cari rezeki di tempat lain yang bersesuaian," katanya.
PPS Balai Raya Batu Badak di sini, PPS yang menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 17 orang daripada 4 keluarga sehingga jam 4 petang tadi.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia menggerakkan 5,167 pegawai dan kakitangan, dibantu 157 kaunselor serta 864 Psychology Support Team (PST) untuk menjaga kebajikan mangsa banjir.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata seramai 8,543 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga bersedia memberikan bantuan, khususnya bagi menambah kelancaran pengoperasian di pusat pemindahan sementara (PPS).
"KPWKM menyeru orang ramai terutama yang berada di kawasan sering dilanda banjir untuk sentiasa bersiap sedia dan mengikut arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 8,481 PPS sudah dikenal pasti di seluruh negara yang mampu menampung 2.15 juta mangsa pada satu-satu masa.
"Sebanyak 5,063 atau 60 peratus PPS itu adalah premis sekolah, manakala bakinya terdiri balai raya, masjid dan sebagainya,"katanya.
Secara keseluruhan, Noraini berkata, KPWKM mempunyai lapan depoh simpanan bekalan bantuan, 137 stor negeri dan daerah, 60 mini depoh kontena dan 580 pangkalan hadapan JKM yang sedia diagihkan kepada kawasan terjejas.
"Sebanyak 860 pembekal barangan keperluan asas dan 1,224 pembekal makanan berbungkus sudah dilantik oleh JKM pada musim ini bagi memastikan bantuan keperluan asas dan makanan mangsa bencana dapat dibekalkan segera," katanya.
Beberapa kawasan di Pantai Timur terjejas teruk dengan banjir selepas ribuan kediaman penduduk di beberapa daerah, khususnya di Kelantan dan Terengganu ditenggelami air sejak beberapa hari lalu.
Laporan dikeluarkan NADMA memaklumkan, jumlah mangsa banjir dipindahkan di enam negeri yang terjejas terus meningkat kepada 28,310 orang setakat jam 6 pagi tadi, berbanding 25,938 orang petang semalam dengan Johor dan Sabah menjadi negeri terbaru dilanda bencana itu.
Sebuah lagi PPS dibuka di Hilir Perak
- Admin UKK
- Berita
IPOH: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Hilir Perak semalam iaitu di Dewan Serbaguna Chikus di Langkap yang menempatkan 13 orang penduduk terjejas banjir daripada enam keluarga.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, pembukaan PPS terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang dibuka di negeri ini sebanyak lima buah iaitu tiga di Hilir Perak dan dua di Kerian.
Katanya, kemasukan penduduk di PPS Dewan Serbaguna Chikus itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini seramai 471 orang daripada 145 keluarga.
“Jumlah tersebut meningkat berbanding seramai 458 orang daripada 139 keluarga.
“Setakat ini, bilangan mangsa banjir di dua PPS di Hilir Perak kekal iaitu Dewan Serbaguna Padang Tembak merekodkan seramai 162 orang daripada 50 keluarga manakala 142 orang daripada 46 keluarga di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap,” katanya di sini.
Sementara itu, bagi daerah Kerian, seramai 97 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala 57 orang daripada 19 keluarga pula di PPS SK Alor Pongsu.