Ribut petir, hujan lebat diramal badai KL, 7 negeri sehingga 1 tengah hari
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal membadai ibu kota selain tujuh negeri termasuk seluruh Melaka sehingga jam 1 tengah hari ini.
Selain kawasan Hilir Perak di Perak, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook berkata, cuaca itu turut dijangka berlaku di Selangor membabitkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.
Di Negeri Sembilan katanya, cuaca itu diramal di Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin.
“Di Johor, cuaca sama dijangka berlaku di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala Sabah membabitkan Sandakan (Beluran) dan Kudat (Pitas dan Kudat).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.