PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Jerebu: Rakyat diingat supaya berwaspada, kurangkan aktiviti luar

SEREMBAN:  Rakyat di Negeri Sembilan diingatkan supaya berwaspada dan mengurangkan aktiviti luar susulan keadaan jerebu dan kualiti udara kurang sihat yang sedang berlaku termasuk di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keadaan ketika ini masih terkawal walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) menyaksikan peningkatan bacaan.

“Saya ingin menasihatkan masyarakat agar menjaga kesihatan, banyakkan minum air dan kurangkan aktiviti luar di kawasan terbuka. Jaga kesihatan terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MyPride Fair Peringkat Zon Tengah, Jabatan Penjara Malaysia di Seremban 2 di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Sementara itu, Aminuddin memberitahu, kerajaan negeri akan memantau situasi jerebu yang berlaku dan akan mengambil langkah sesuai jika keadaan bertambah buruk.

Setakat pukul 1 tengah hari tadi, sebanyak 14 kawasan di seluruh Semenanjung telah mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu melebihi 101.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), antara kawasan itu ialah Nilai dengan bacaan 163, Seremban (157) dan Port Dickson (155). - UTUSAN

 

Air naik tiga kali dalam tempoh 10 minit - Penduduk

BATU PAHAT: "Kami kelam-kabut bila air naik mendadak, mujurlah sempat alihkan kenderaan ke tempat lebih tinggi," kata Arfah Arifin, 64, selepas pekarangan rumahnya di Kampung Sungai Ayam ditenggelami air susulan fenomena air pasang besar, pagi ini.

 Fenomena air pasang bermula pada jam 11.34 pagi, adalah tertinggi iaitu 3.1 meter berbanding dua hari sebelumnya menyebabkan beberapa jalan utama di kampung terbabit serta kawasan lain ditenggelami air.Arfah berkata, air mula memasuki pekarangan rumahnya jam 11.25 pagi, namun tidak memasuki ke dalam rumah berikutan benteng penghadang sudah dibina."Sebelum itu, saya sedang menyapu sampah, tiba-tiba air dah masuk pekarangan rumah. Saya tahu air pasang berlaku tetapi ingatkan tidaklah setinggi ini kerana semalam, hanya melepasi jalan. -BERITA HARIAN
 

Negeri Sembilan catat IPU tidak sihat pagi ini

SEREMBAN: Tiga kawasan di negeri ini iaitu Seremban, Nilai dan Port Dickson mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kategori tidak sihat setakat pukul 11 pagi tadi.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Nilai merekodkan IPU dengan bacaan 163 manakala Seremban merekodkan bacaan 158 dan Port Dickson pula 155.

Bacaan kualiti udara tersebut juga dilihat tidak berubah jika dibandingkan dengan keadaan pada hari semalam. 

Baru-baru ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengingatkan orang ramai di negeri ini untuk tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Pengarahnya, Hamzah Mohamad berkata, sehubungan itu pihaknya akan menjalankan  penguatkuasaan bagi memastikan tiada sebarang aktiviti pembakaran terbuka dijalankan  susulan beberapa kawasan di negeri ini telah mencatatkan bacaan IPU tidak sihat sejak kebelakangan ini. -UTUSAN

466 titik panas di Kalimantan, Sumatera bawa jerebu ke Malaysia, ASEAN

KUALA LUMPUR: Sejumlah 353 titik panas dikesan di Kalimantan dan 113 titik panas lagi di Sumatera, Indonesia, yang dijangka mengakibatkan jerebu di beberapa negara selatan ASEAN.

Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata trajektori asap jerebu dari Kalimantan akan memberikan kesan kepada beberapa negeri di timur Malaysia.

Katanya, ia juga dijangka berlangsung selama beberapa hari bermula semalam.

"Output Model HYSPLIT menunjukkan ramalan trajektori jerebu bagi tempoh 72 jam bermula jam 0000 UTC (8 pagi) 30 September 2023 sehingga jam 0000 UTC (8 pagi) 3 Oktober 2023.

"Trajektori asap jerebu dari Kalimantan dijangka memberikan kesan jerebu kepada Kuching, Serian dan Samarahan, Sarawak pada pertengahan tempoh ramalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berdasarkan kepada imej satelit NOAA-20 pada 30 September 2023 yang direkodkan oleh Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC), tiada bilangan titik panas bagi kategori High Confidence Level direkodkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Namun di Kalimantan menunjukkan 353 titik panas manakala di Sumatera terdapat 113 titik panas dikesan," katanya.

Sementara itu menurut ASMC, kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan berpunca dari titik panas yang dikesan di bahagian selatan Sumatera dan ia diperhatikan bergerak ke arah barat laut.

"Berdasarkan imej satelit terkini (semalam), titik panas bertaburan dikesan di bahagian selatan Kalimantan dan Sumatera manakala beberapa titik panas dikesan di Sulawesi, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil.

"Di Kalimantan, jerebu asap sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi Kalimantan Selatan dan sebahagian besar Kalimantan Tengah. Jerebu juga diperhatikan bergerak ke timur laut dan ke Kalimantan Timur," katanya.

ASMC berkata, stesen kualiti udara di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta di Kalimantan Tengah melaporkan tahap tidak sihat. - BERITA HARIAN

Bomba kenal pasti hampir 5,000 lokasi berisiko banjir seluruh negara

KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti 4,795 lokasi berisiko banjir di seluruh negara, kata Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Ahmad Izram Osman,
Beliau berkata ketika ini negara mengalami musim peralihan Monsun Timur Laut (MTL) dengan hujan lebat dan banjir mula melanda beberapa negeri termasuk di kawasan Pantai Barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
 
Katanya sehubungan itu JBPM telah membuat persiapan rapi dari segi penyediaan anggota, aset dan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menghadapi segala kemungkinan bencana yang bakal tiba mengiringi musim peralihan monsun itu.
 
"Kita buat pemantauan dan tinjauan (cuaca) setiap tiga jam dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Dari segi ramalan, keadaan hujan dan angin, data-data akan dicerap oleh pusat pengurusan operasi di ibu pejabat dan juga setiap negeri untuk diambil tindakan atau langkah berjaga-jaga," katanya.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2023 Peringkat Zon Timur di sini, hari ini beliau berkata, selain khidmat 14,000 pegawai dan anggota tetap JBPM, kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa banjir juga akan disokong oleh 7,920 anggota bomba sukarela di seluruh negara.
 
Merujuk kepada program BiGIAR, beliau berkata 500 peserta termasuk kakitangan JBPM, agensi kerajaan dan pekerja sektor korporat dari Pahang, Kelantan serta Terengganu menyertai BiGIAR yang dianjurkan bagi tujuan meningkatkan tahap integriti warga kerja.
 
Sementara itu Ahmad Izram berkata 41 pegawai JBPM telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan tatatertib dalam tempoh antara Januari dan semalam.
Menurutnya antara kesalahan itu termasuk penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas, mengadakan hubungan sulit, khalwat, jenayah seksual, rasuah dan salah guna kuasa.
"Tindakan yang dikenakan pula melibatkan hukuman buang kerja, denda, penangguhan pergerakan gaji, turun gaji dan lucut hak emolumen," katanya.
Selain itu katanya JBPM turut menerima 50 aduan bagi tempoh Januari hingga semalam melibatkan kakitangannya dan sebahagian besar membabitkan kesalahan salah guna kuasa.-ASTRO AWANI
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search