PASIR PUTEH - Hujan lebat yang berterusan sejak Selasa menyaksikan Kelantan dilanda banjir gelombang keempat pada Rabu.
Pasir Puteh menjadi jajahan yang terjejas setakat ini apabila seramai 123 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Katanya, penduduk di kawasan rendah diingatkan supaya bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
KUALA TERENGGANU - Banjir kilat melibatkan beberapa kawasan sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada Selasa berlaku ekoran hujan lebat yang berterusan melebihi 100 milimeter (mm) beserta fenomena air laut pasang.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata, aliran air tidak mengalir lancar ke laut disebabkan berlaku pertembungan dengan air pasang.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan perumahan dan laluan di jalan utama khususnya yang berada di kawasan rendah dinaiki air bermula pagi Selasa.
"Pejabat Daerah Kuala Terengganu telah mengambil langkah segera dengan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengenal pasti sistem saliran dan perparitan yang tersumbat. Kerja-kerja penyelenggaraan juga akan dilaksanakan segera.Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, keadaan banjir kilat yang berlaku pada Selasa dilihat lebih teruk berbanding sebelum ini kerana terdapat kawasan bebas banjir turut dinaiki air.Jelas beliau, antara kawasan terjejas melibatkan kawasan tanah rendah yang tiada laluan air dan menjadi lokasi air bertakung."Saya telah hubungi JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) serta pegawai daerah untuk dilakukan siasatan lebih terperinci untuk mengetahui dengan lebih tepat punca lain yang mungkin ada tetapi tidak dikenal pasti sebelum ini.
"Setakat ini saya difahamkan, kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran yang lancar dan isipadu air yang tinggi tidak dapat ditampung oleh parit yang ada lebih memburukkan keadaan tambah dengan fenomena air laut pasang," katanya.
Menurut Azmad, beberapa cadangan pembinaan dan penambahbaikan parit sudah di kemukakan ke peringkat Persekutuan namun belum untuk pelaksanaan.
"Sebahagian lagi melibatkan pembinaan kolam tadahan dan pemasangan pam air untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Jalan Kamaruddin dan Taman Nirwana yang melibatkan peruntukan sangat besar.
"Ianya belum mendapat kelulusan untuk permohonan di peringkat Persekutuan," katanya.
Aliran trafik di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu menghala ke pusat bandar mengalami kesesakann tiga jalan utama ditutup setelah dinaiki air dalam pada Selasa.
KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di Terengganu dan sembilan lokaliti di Kelantan sehingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, antara kawasan terlibat di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Menurut kenyataan itu, amaran sama turut dikeluarkan di Kuantan, Pahang sehingga hari ini.
Selain itu, MetMalaysia turut memaklumkan hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Gua Musang, Kelantan sehingga esok manakala di Jerantut dan Pekan, Pahang sehingga hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Terengganu tidak berubah dengan mangsa kekal 63 orang daripada 17 keluarga setakat 6 pagi ini.
Menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa terjejas di negeri berkenaan.
Nadma dalam laporannya memaklumkan Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di enam negeri berada pada paras bahaya iaitu Sungai Muda di Sik dan Sungai Kedah di Kota Setar, Kedah; Sungai Sarang Buaya di Muar dan Sungai Johor di Kulai, Johor; Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Terengganu (Hulu Terengganu) dan Sungai Rompin (Pahang).
Sebanyak 16 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak dan cerun runtuh antaranya Jalan Boh di Cameron Highlands, Pahang, Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan dan Jalan Bukit Jugra di Hulu Langat, Selangor. - Bernama
KUALA TERENGGANU - Terengganu dilanda banjir gelombang keempat apabila seramai 29 mangsa daripada tujuh buah keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Marang.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, PPS pertama dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Parit mula diaktifkan sejak jam 9 pagi manakala dua lagi PPS di Dewan Sivik Wakaf Tapai dan SK Padang Mengkuang dibuka jam 11 pagi dan 1.50 tengah hari tadi.
"Banjir yang berlaku adalah disebabkan limpahan air sungai berdekatan ke rumah penduduk yang terletak di kawasan agak rendah.
"Ketika ini, situasi agak baik kerana air mulai surut namun penduduk tetap perlu berwaspada kerana Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan hingga esok," katanya.